28 NOVEMBER ― Sebagai seorang figura awam, mereka dituntut untuk sentiasa berkelakuan sopan dan menjaga tutur-kata.

Sebagai seorang figura awam yang dikenali, segala gerak-geri, ucapan, mahupun apa yang mereka lakukan akan menjadi perhatian dan teguran orang awam.

Malah sebagai figura awam seperti pemimpin politik atau Wakil Rakyat, mereka seharusnya mempamerkan teladan dan sikap yang baik kepada awam. Pendek kata, tidak seharusnya ada dua “wajah” dan sikap yang berlainan.

Maka kerana itu, sebarang perbuatan untuk mencabar, memaki-hamun ataupun menjerit tidak seharusnya berlaku. Apa yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini antara dua wakil rakyat amatlah mengecewakan.

Daripada tindakan memanggil seorang Ahli Parlimen dengan panggilan yang menjijikkan kepada tindakan menyelar seorang Timbalan Menteri dengan panggilan sial hinggalah serangan oleh sekumpulan orang awam terhadap Ahli Parlimen yang dimaksudkan, perkembangan ini merupakan sesuatu yang unprecendented dan seolah-olah menunjukkan undang-undang yang sedia ada sudah tidak diendahkan.

Perlu ditegaskan, tidak ada pihak termasuk wakil-wakil rakyat sendiri mempunyai hak untuk melakukan sesuatu di luar batasan secara sewenang-wenangnya. Insiden-insiden yang kurang menyenangkan itu secara tidak langsung mengundang pelbagai persoalan mengenai tingkah laku dan standard sebenar ahli-ahli Parlimen kita.

Ahli-ahli Parlimen kita seharusnya sedar dan memahami bahawa mereka dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Mereka tidak boleh menganggap kuasa yang dimiliki itu hak mutlak mereka tetapi sebaliknya lebih sebagai satu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat kepada mereka.

Ternyata dalam isu kelakuan ahli-ahli Parlimen kita, ini bukan kali pertama seumpamanya kelakuan ahli-ahli Parlimen negara menjadi bualan hangat para netizen di media sosial. Sebelum ini, ada juga segelintir ahli-ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata berbaur seksis yang turut dikecam hebat.

Dalam isu pertikaman lidah antara seorang Timbalan Menteri dengan ahli Parlimen pembangkang, apakah yang mereka capai dengan meninggikan suara di Dewan Rakyat tempoh hari? Tidakkah mereka sedar bahawa kelakuan mereka itu sebenarnya disiarkan secara langsung di televisyen dan berkemungkinan sudah disebar luas dalam media sosial?

Mengapa mereka tidak sebaliknya memikirkan nasib dan keluh-kesah rakyat ketika itu? Mereka sepatutnya memanfaatkan sesi perbahasan di Parlimen dengan membahaskan isu-isu penting yang melibatkan kebajikan rakyat. Ini yang mereka harap-harapkan dan bukannya bersikap kebudak-budakan.

Beginikah standard dan sikap ahli-ahli Parlimen yang kita ada sekarang? Jika begitulah keadaannya, maka rakyat mempunyai sebab untuk berasa bimbang dan pesimis dengan kemampuan wakil-wakil rakyat untuk memperjuangkan kebajikan mereka.

Tatkala Malaysia kini dalam proses untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, kemajuan yang ingin dicapai itu bukan sahaja daripada aspek fizikal atau material semata-mata tetapi juga daripada segi tingkah-laku dan tutur kata kita baik dari kalangan pemimpin dan juga rakyat keseluruhannya.

Jika ada kalangan wakil-wakil rakyat yang suka mencabar ataupun bertegas untuk memaki-hamun antara satu sama lain, lakukan di tempat-tempat lain. Hormatilah kemuliaan dan institusi Parlimen. Parlimen sesungguhnya bukanlah tempat yang sesuai untuk menunjukkan sikap yang kurang sopan sebegini.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.