3 NOVEMBER ― Aku merasakan ini

Kamu tau aku sakit hati

Melihat semua mati di hadapanku

Dan yang tersisa cuma debu

Advertisement

 

Ini serius

Tentang bumi ini

Advertisement

Alam ini

Dan kebun di depan rumahku

 

Tentang pohon pisang

Tentang rumput liar

Tentang capung, tentang burung

Tentang kenyataan bahwa semuanya tak seindah dulu

 

Kita harus menanam kembali

Hijau saat ini dan nanti

Kita harus menanam kembali

Satu saja sangat berarti untukmu

 

Tanam saja

Tanam sajalah

Alam sehat, tanggung jawab

Lagu berjudul Tanam Saja dengan mesej indah di atas dinyanyikan oleh kumpulan muzik Nosstress. Kumpulan berasal dari Bali ini dianggotai tiga pemuda; Angga, Cokorda dan Kupit. Trio ini pernah penulis undang ke Malaysia pada 2012 sempena “Bali Beza”, sebuah festival yang bertujuan membawa isu-isu terpinggirkan di Bali kepada dunia luar.

Nosstress dalam berkarya banyak membawa isu-isu alam sekitar di dalam lagunya. Selain Tanam Saja, tema serupa ada pada lagu Ini Judulnya Belakangan yang mengkritik tentang Bali yang dikatakan “indah.” Cermati saja lirik di bawah:

Bali aku pergi sebentar ya

pergi dari pantaimu yang katanya indah

yang disekelilingnya berdiri hotel megah, wah

 

Esok ku kembali semoga

esok ku kembali semoga

beton (konkrit) tak tumbuh lebih subur daripada pepohonan

Pemicu Nosstress mencipta lagu-lagu bertemakan alam sekitar atau kritik sosial adalah akibat rasa resah. Menyuarakan keresahan sangat penting kerana keresahan adalah bahagian dari kepedulian. Bagi Nosstress banyaknya penggemar menyukai lagu-lagu resah yang mereka buat menunjukkan bahawa banyak manusia Bali yang resah. Keresahan muncul dari situasi sosial politik yang kacau bilau dan kerosakan alam sekitar.

Nostress tidak hanya menggunakan karya-karyanya untuk mencari wang namun disumbangkan untuk mendukung gerakan seperti Bali Tolak Reklamasi. Nosstress seringkali tampil di acara-acara NGO dan komuniti tanpa dibayar selagi mana sesuai dengan idealisme. Namun bukan penghargaan yang diterima sebaliknya banyak label-label negatif dilekatkan kepada Nosstress. Mereka dilabel hanya mencari sensasi, populariti atau pura-pura aktivis. Bagi Nosstress anggapan itu menyesatkan kerana dukungan mereka kepada gerakan Bali Tolak Reklamasi adalah jujur dari dari sanubari.

Bagi Nosstress, mereka tidak mahu menunggu takdir dan hanya menonton. Manusia Bali harus berani menunjukkan dirinya menolak kerana seandainya projek reklamasi (pulau buatan) ini jadi dibuat maka akan merugikan masyarakat keseluruhan. Bukan hanya kelompok yang resah akan dirugikan tetapi mereka yang tidak peduli  juga akan terkena dampak buruknya.

Sudah tentu banyak kumpulan muzik melakukan hal yang sama terutama di belahan dunia lainnya, sebut saja band tersohor Radiohead. Cuma di sini penulis lebih teruja menceritkan kumpulan muzik yang menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia dalam liriknya kerana lebih akrab. Band asal Jakarta bernama Efek Rumah Kaca salah satunya.

Secara peribadi, penulis mengenali Efek Rumah Kaca terlebih dahulu kerana kewujudannya lebih awal dan sempat penulis undang pada 2010 ke Kuala Lumpur. Ketika itu Efek Rumah Kaca tampil dua kali; pertama di diskusi tentang sosial politik yang diadakan di Annexe Central Market dan esoknya gig di One Cafe yang bertemakan alam sekitar.

Ketika ditanya apa yang mendorong Efek Rumah Kaca menulis lirik yang sarat dengan kritik sosial? Jawabnya, “Muzik adalah hidup kami. Kalau hidup kami terlibat dengan sosial, alam sekitar, politik, cinta dan peristiwa-peristiwa lainnya, maka semua itu harus terlihat dalam muzik kami.” Tidak hanya cakap kosong, anggota Efek Rumah Kaca turut melakukan tindakan untuk mengurangkan pemanasan global seperti menanamMtumbuhan di rumah, menjimatkan penggunaan air dan elektrik, mengurangkan pemakaian plastik dan seboleh mungkin menggunakan pengangkutan awam.

Tipis ozon berlubang

Debu kosmik hujan asam

Matahari tiada tirai

Bakal bunga tak mekar

Daun-daun berlubang

Tak berputar energi

Wajah bumi menangis

Sedang kita tak mengerti

Kita akan terbakar

Kita akan wariskan

Untuk anak dan cucu kita

Lirik di atas berjudul Efek Rumah Kaca yang kemudiannya diambil sebagai nama kumpulan muzik mereka. Minggu lalu Efek Rumah Kaca dan Nosstress tampil di atas panggung yang sama dalam acara Malam Kreatifitas dan Seni Mahasiswa (Maksis) anjuran pelajar Fakulti Pariwisata (Pelancongan) Universiti Udayana. Sebuah kombinasi sempurna dalam usaha mewujudkan kesedaran terhadap alam yang semakin rosak terutama di Bali atas nama pelancongan.

Menurut Ketua Panitia Maksis, I Putu Surya Partha Wijaya, “Kalau tidak ditanggapi secara bijak, maka pelancongan memberikan dampak negatif.” Maksis hadir tepat pada waktunya di kala Bali diancam dengan projek reklamasi di Teluk Benoa, krisis air bersih, pengalihan fungsi sawah menjadi villa, banjir dan pelbagai kerosakan lainnya.

Jika dulu ramai yang tidak peduli terhadap isu alam sekitar kononnya tidak berdampak pada diri sendiri, namun jerebu yang terjadi akhir-akhir ini telah menyedarkan bahawa ketidakpedulian itu sangat merbahaya. Usaha kecil penyedaran melalui muzik yang dilakukan

Nosstress dan Efek Rumah Kaca harus dihargai dan diperbanyak.

Kedua-dua kumpulan ini mengingatkan penulis kepada hukuman masuk neraka yang sering dijatuhkan ustaz dan ustazah di Malaysia terhadap muzik terutama yang bertali seperti gitar. Penulis sering bertanya dulu kenapa Islam melarang muzik, jawabnya Islam tidak melarang muzik selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dari penulis kecil ke dewasa jawapannya masih bersifat umum dan tidak mencerahkan.

Tatkala penulis memberikan contoh kumpulan Ungu dari Indonesia yang mendendangkan Sholawat (judul Shalawat) dan kalimah Talbiyah (judul Surga Hati) dengan iringan gitar dan ketukan drum. Jawabnya itu Indonesia, Islam di sana pelik dan belum sempurna. Begitulah biasanya jauh dari menjernihkan jawapannya.

Bagi penulis Islam “pelik” di Indonesia lebih mencerahkan. Muzik dimainkan di kawasan masjid tidak menjadi isu. Aktivis teater Malaysia Khalid Salleh menyebut seperti dilaporkan Republika Online (1/11), “Saat itu saya diundang Tutup Ngisor di kaki Gunung Merapi. Saat itu ada panggung dan tiba-tiba terdengar suara dari masjid yang jaraknya sangat dekat dengan tempat pementasan. Ini menunjukkan seni dan agama bisa sejalan, tidak ada yang mempermasalahkan.”

Tidak masalah muziknya atau keseniannya jenis apa selagi mana menyerukan kebaikan dan pencerahan pemikiran, penulis akan hadam. Lagu berjudul Cinta Bumi Kita yang katanya menepati ajaran Islam kerana dinyanyikan kumpulan nasyid Bangsar Boyz sekalipun penulis masukkan dalam senarai lagu kegemaran sepanjang hidup. Tiada masalah.

Indah permai bumi kita

Aman sentosa sejahtera

Lihat sungai yang mengalir

Deru ombak yang berdesir

 

Hijaunya nusantara

Penyegar pandangan mata

Damai suasana

Ciptaan Allah Maha Esa

 

Tetapi oh mengapa

Ada saja dalangnya

Mencemari bumi ini

Indahnya do kotori

 

Oleh itu hai kawan

Bersama kita pastikan

Keindahan bumi tak lagi di nodai

Keindahan bumi tak lagi di cemari

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online