23 MAC — Nampaknya, ketika ini merupakan musim kenaikan harga pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan di negara kita.
Daripada barangan runcit, perkhidmatan hinggalah kepada sistem pengangkutan awam, semuanya dinaikkan gara-gara kerana pihak yang mengusahakan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan sudah tidak dapat menampung kos operasi yang semakin tinggi.
Bukan itu sahaja, selain kenaikan kos tambang pengangkutan awam dalam negara, rakyat Malaysia kini bakal berhadapan dengan pelaksanaan sistem percukaian baharu iaitu GST yang akan berkuatkuasa pada 1 April depan.
Pengumuman kenaikan harga tambang pengangkutan awam oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD beberapa hari lalu untuk perkhidmatan teksi, bas dan kereta api nyata satu tamparan hebat kepada kelangsungan rakyat di negara ini.
Kenaikan harga tambang dan pelaksanaan sistem percukaian baharu GST pada 1 April ini mengundang pelbagai reaksi negatif dari pelbagai pihak baik dari kalangan pemimpin politik, persatuan-persatuan pengguna mahupun rakyat marhaen sendiri.
Ada yang mempersoalkan tarikh pelaksanaan kedua-dua perkara tersebut seolah-olah satu percubaan untuk membebani kehidupan rakyat. Tidak kurang juga, ada yang pula sangsi sama ada kenaikan yang dimaksudkan itu benar-benar akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
Bagaimanapun, beberapa hari selepas pengumuman kenaikan harga tambang teksi, bas dan kereta api diumumkan oleh SPAD, pengumuman berkenaan kini tidak sah selepas Kabinet memutuskan untuk menangguhkan kenaikan tambang sistem pengangkutan awam buat masa ini.
Dalam konteks ini, ucapan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan harus diberikan kepada kerajaan atas keprihatinan mereka dengan kesusahan hidup rakyat yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang makin meningkat. Di sebalik penangguhan kenaikan harga tambang untuk pengangkutan awam negara ketika ini, terdapat pelbagai persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa mengenai penangguhan mengejut ini.
Pertama, mengapakah kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang Menteri Kabinet yang menggesa SPAD untuk merujuk terlebih dahulu kepada Kabinet berhubung soal kenaikan tambang pengangkutan seolah-olah menunjukkan mereka tidak tahu-menahu apa yang sedang berlaku?
Keduanya, bagaimana perkara ini boleh terjadi? Apakah Kabinet tidak dimaklumkan berhubung kenaikan tambang pengangkutan tersebut? Ataupun terdapat wujud salah faham antara kedua-dua pihak berhubung keputusan berkenaan?
Apa yang pasti, satu pengajaran berguna yang boleh diambil di sebalik penangguhan kenaikan tambang pengangkutan awam ini adalah penyelarasan informasi secara bersepadu dan kordinasi antara agensi-agensi terlibat. Berita penangguhan kenaikan tambang pengangkutan awam secara mengejut hanya beberapa hari selepas pengumuman kenaikannya, jelas satu “PR disaster” yang perlu dielakkan sama sekali di masa hadapan.
Jangan salah faham semua. Penulis amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh Kabinet berhubung isu tersebut namun sebarang ketidakpastian dan “flip-flop” tidak boleh sama sekali dibenarkan untuk berlaku kerana ini seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan tidak pasti apa yang dilakukannya.
Dengan keputusan terbaharu ini, pastinya para pemandu teksi dan pengusaha sistem pengangkutan awam lain merupakan mereka yang paling kecewa dan marah. Apa tidaknya, kali terakhir kenaikan berlaku ialah pada 2009 yang lalu. Lebih mendukacitakan, ada pemandu-pemandu teksi yang sudah pun memasang meter baharu selepas mendengar kenaikan tambang baharu. Justeru, bagi mereka yang sudah membeli meter-meter baharu, bagaimana mereka ini akan dibela?
Satu alasan yang diberikan oleh SPAD dalam sebuah laporan akhbar berbahasa Inggeris iaitu kegagalan untuk menaikkan tambang baharu untuk perkhidmatan teksi akan menyebabkan para pemandu teksi mengambil kesempatan ke atas pelanggan-pelanggan mereka, adalah tidak tepat.
Jika apa yang dikatakan di atas adalah benar, maka apa gunanya diadakan undang-undang dan sebuah suruhanjaya pengangkutan awam darat? Peraturan tetap peraturan dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Para pemandu teksi tidak seharusnya menggunakan taktik-taktik sedemikian untuk mendesak kerajaan dan rakyat agar tunduk kepada desakan-desakan mereka. Jika mereka melanggar peraturan secara terang-terangan, bagaimanakah anda boleh mengharapkan para penumpang untuk mempercayai para pemandu terbabit?
Sebelum ini, sudah pun ada beberapa siri kenaikan tambang baharu untuk pengangkutan awam namun begitu kualiti perkhidmatan tidak banyak berubah. Apakah dengan kenaikan yang akan dikenakan selepas ini, ada jaminan bahawa kualiti perkhidmatan teksi serta pengangkutan awam negara lain akan berubah? Realitinya, kualiti pengangkutan awam seperti teksi tidak akan berubah hanya dengan kenaikan tambang baharu tetapi juga menjurus kepada sikap, profesionalisme dan disiplin para pemandu.
Justeru, pemandu-pemandu teksi sebaliknya wajar menumpukan usaha mereka untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan yang diberikannya bagi meraih semula keyakinan para penumpang yang nampaknya lebih cenderung untuk memilih sumber pengangkutan awam lain.
Sebagai barisan hadapan yang akan membawa nama Malaysia kepada pelancong-pelancong asing, mereka perlu ingat bahawa mempertingkat kualiti perkhidmatan adalah perkara paling mustahak dalam sektor perkhidmatan. Dalam sektor perkhidmatan, semuanya berkisar kepada kualiti perkhidmatan yang diberikan. Keadaan ini juga boleh disamakan dengan kita membayar cukai perkhidmatan ketika makan di restoran tetapi tidak mendapat layanan yang setimpalnya. Apa perasaan anda jika ini berlaku?
Oleh yang demikian, sebarang tindakan untuk menaikkan tambang baharu untuk pengangkutan awam negara wajar dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan bukannya secara melulu seperti apa yang berlaku ketika ini. Pihak pembuat dasar mungkin tidak faham betapa dahsyatnya kenaikan beberapa peratus tambang baharu boleh memberi kesan kepada survival mereka.
Hidup rakyat ibarat kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang. Mereka mungkin tidak faham erti kesusahan dan bebanan hidup sehingga mereka turun sendiri ke padang untuk meninjau sendiri kesusahan yang perlu ditanggung oleh rakyat.
Sesungguhnya, rakyat negara ini wajar mendapat pembelaan yang lebih baik daripada apa yang ada ketika ini.
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
