FEB 9 ― Beberapa insiden panas yang berlaku di ibu negara sepanjang minggu ini, cukup menggusarkan kita semua.
Apa tidaknya, tindakan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menawarkan ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM1,200 kepada sesiapa yang dapat menampar Ahli Parlimen Seputeh gara-gara kerana penerbitan sebuah video parodi menghina kepimpinan negara adalah sesuatu yang cukup asing dan bukan budaya negara kita.
Bukan itu sahaja, gesaan oleh segelintir pemimpin politik dan NGO agar rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu diusir keluar dari Malaysia, seolah-olah membayangkan semangat toleransi yang menjadi tunjang utama kepada kekuatan negara semakin luntur.
Apa yang berlaku itu sesungguhnya suatu perkembangan yang tidak sihat untuk masa depan Malaysia. Tatkala Malaysia sering melaung-laungkan bahawa ia merupakan negara contoh kepada negara-negara lain di dunia terutamanya dalam pengurusan hubungan kaum, gesaan dan desakan oleh kumpulan-kumpulan NGO terbabit dilihat agak radikal dan tidak kena pada tempatnya.
Yang pasti, majoriti rakyat Malaysia yang sebenar-benarnya tidak akan bersikap sedemikian dan tidak mungkin akan menyokong sebarang tindakan yang kurang wajar itu. Sebaliknya, kebanyakan rakyat Malaysia adalah mereka yang cintakan kedamaian, keharmonian dan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama.
Inilah wajah Malaysia yang kita kenal selama ini. Inilah juga senjata utama yang paling ampuh dalam berhadapan dengan musuh. Sebuah negara yang mana masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya hidup di bawah satu bumbung tanpa menaruh perasaan syak-wasangka dan hasad-dengki. Sebuah negara yang mana masyarakat sentiasa meraikan perpaduan dalam kepelbagaian dan membantu antara satu sama lain semasa susah dan senang.
Kedua-dua insiden itu adalah unprecedented dalam konteks hubungan kaum di negara ini. Ini kerana, semua sedia maklum bahawa hubungan antara kaum di Malaysia sejak sekian lama adalah baik dan situasi tersebut cukup terserlah khasnya di kawasan luar bandar.
Pada masa sama, kita faham mengapa beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu marah dan geram terhadap Ahli Parlimen Seputeh yang dimaksudkan itu. Kita juga faham mengapa mereka sanggup berkelakuan sedemikian. Semuanya gara-gara ingin menghantar satu mesej keras kepada Ahli Parlimen Seputeh itu agar tidak berkelakuan biadap.
Mereka yakin dan percaya bahawa itulah satu-satunya cara terbaik untuk menghantar amaran kepada individu yang biadap.
Bagi mereka, amaran keras berfungsi sebagai deterrent yang mampu menghalang perkara sama daripada berulang.
Benar kedua-dua pihak bertelagah mempunyai pandangan dan pendirian tersendiri dalam hal ini tetapi, apakah dengan meluahkan kemarahan akan menyelesaikan isu yang berbangkit? Sampai ke tahap mana kemarahan dan kebencian ini akan berpanjangan? Apakah sebenarnya yang ingin dicapai melalui tindakan mereka itu?
Dalam konteks video parodi yang dikatakan menghina kepimpinan negara umpamanya, tawaran wang tunai kepada mana-mana individu untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh ibarat satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat di negara ini. Apakah rakyat negara kita begitu mudah terpedaya dengan sogokan wang ringgit sehinggakan mereka sanggup untuk melakukan sesuatu di luar batasan?
Sekiranya rakyat tidak gembira dengan mana-mana wakil rakyat, mereka boleh meluahkan ketidakpuasan hati mengikut saluran yang dibenarkan umpamanya menerusi sistem pilihan raya. Saluran pilihan raya merupakan medan terbaik untuk mana-mana pihak yang ingin mengajar pemimpin-pemimpin politik yang biadap. Biarlah kuasa rakyat menentukan nasib pemimpin-pemimpin sebegini.
Realitinya, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Seputeh itu juga tidak kena pada tempatnya. Beliau seharusnya sedar bahawa dalam keadaan suhu politik yang cukup panas ini, sebarang usaha untuk memprovokasi pihak musuh wajar dihentikan. Beliau sepatutnya tahu bahawa provokasi yang ditimbulkan pastinya mengundang reaksi balas yang negatif daripada pihak satu lagi. Sebagai seorang pemimpin politik yang berpengalaman, beliau sepatutnya tahu untuk membezakan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, bukannya berpura-pura atau berlagak bodoh.
Bagi kebanyakan rakyat marhaen seperti penulis, perkembangan semasa yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini, amat menggusarkan. Menggusarkan kerana emosi dan kesabaran pihak tertentu terus dicabar. Menggusarkan juga kerana setiap isu baik pendidikan, ekonomi mahupun politik terus dipolitikkan oleh pihak-pihak berkepentingan seolah-olah tidak ada hari esok untuk mereka. Pihak-pihak berkepentingan ini nampaknya lebih berminat untuk meraih sokongan politik tanpa melihat sesuatu isu itu secara holistik.
Apapun, nasihat penulis kepada pihak-pihak berkepentingan ini ialah hentikanlah segala amalan atau tabiat yang boleh memudaratkan perpaduan nasional negara tercinta ini. Jika ada yang tidak berpuas hati dengan keadaan semasa, luahkan mengikut saluran yang betul. Gunakan saluran yang telah disediakan agar segala input berguna dapat dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.
Sesungguhnya, marah tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, ia hanya akan mengundang musibah yang lebih buruk. Marah membuatkan kita hilang kawalan dan marah juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan. Justeru, marilah kita hayati bersama-sama pepatah Melayu ini yang berbunyi: kerana setitik nila, rosak susu sebelanga. Pastinya, kita tidak mahu melihat kerana angkara seorang individu, segala usaha dan pengorbanan yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu, berkubur begitu sahaja.
Belajarlah daripada sejarah zaman silam!
* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
