OKTOBER 16 — Saya terpanggil untuk menulis pandangan balas terhadap tulisan saudari Alicia Izharuddin bertajuk “Asal-usul obsesi Melayu dengan tudung”. Umum mengetahui bahawa perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu seperti yang dinyatakan dalam tulisan tersebut.

Acapkali kita membaca kritikan dan luahan perasaan golongan wanita yang dikatakan terancam ini. Tidak dinafikan terdapat segelintir golongan wanita berhijab dalam masyarakat Melayu 

Islam yang bersikap ‘holier than thou’ terhadap wanita yang tidak berhijab.

Ada pula yang memakai hijab semata-mata kerana trend semasa dan ada pula yang memakai hijab itu setelah menghadapi pelbagai proses doktrin yang disengajakan mahupun tidak.

Advertisement

Golongan feminis sepatutnya lebih tahu bahawa setiap wanita itu berhak memilih gaya hidup dan penampilan masing-masing. Apa yang penting adalah kita saling hormat-menghormati. Memperlekehkan golongan berhijab dengan stigma bahawa mereka ini hanyalah produk Islamisasi pasca-Iran ataupun hasil obsesi buta masyarakat Melayu semata-mata adalah bersalahan dengan prinsip tersebut.

Malahan, ia juga mencerminkan sikap memandang rendah atau ‘holier than thou’ oleh golongan yang tidak sependapat ini. Samada wanita Muslim itu dipaksa berhijab atau dikecam kerana berhijab, kedua-duanya menafikan hak dan kebebasan memilih wanita dalam menentukan identiti mereka sendiri (Othman 2006).

“Masyarakat perlu faham bahawa tidak semua orang yang memakai tudung mempunyai fikiran yang sama kerana masing-masing mendapat pendedahan dan pengetahuan agama daripada sumber yang berlainan” (Salleh and Samsudin 2008)

Advertisement

Jika penulis merasa dipinggirkan kerana penampilan yang berbeza dengan majoriti wanita Melayu Islam yang lain pada hari ini, ketahuilah bahawa telah banyak wanita Melayu Islam berhijab yang lain sejak berzaman dipandang kolot terutamanya dalam bidang korporat dan perniagaan. Secara peribadi, bukan sekali dua saya dikasihankan kerana terkurung dalam helaian kain di atas kepala apabila menyertai dialog-dialog feminis.

Kadangkala, lontaran buah fikiran dan hujah dipandang enteng mentah-mentah lantaran prejudis terhadap keterbukaan kami kepada idea-idea kontemporari. Bahkan, ia menjadi sesuatu yang mengejutkan apabila wanita bertudung labuh tampil yakin berbahas dalam Bahasa Inggeris. Ia menunjukkan betapa golongan berhijab ini dipandang rendah hanya kerana penampilan mereka yang dikira konservatif. Sikap seperti ini adalah salah dan tidak patut diterima daripada mana-mana pihak.

Menghukum manusia dengan pandangan fizikal dan nilai kosmetik adalah sangat dangkal. Betul, tudung kini telah menjadi komoditi pasaran zaman sekarang sama juga seperti beg, kasut dan lain-lain produk fesyen. Maka, apa yang harus ditekankan di sini adalah pendidikan pengguna bukanlah menyalahkan si pemakai tudung serta memperkecilkan pilihannya.

Seharusnya, kebangkitan wanita itu melangkaui simbol-simbol fizikal. Penekanan dan penghargaan sepatutnya ditumpukan ke atas ketinggian ilmu, intelektual, keyakinan diri, jatidiri dan budi pekerti. Bertudung atau tidak, itu pilihan masing-masing. Ada wanita yang berhijab tetapi tiada kesedaran sivik sedangkan ada yang tidak bertudung tetapi berakhlak mulia.

Begitu juga terdapat wanita bertudung labuh yang begitu tinggi nilai intelektualnya dan memilih gaya hidup sendiri sedangkan ada pula wanita yang tidak berhijab yang merelakan diri ditindas dan tunduk kepada sikap misogyny lelaki. Meneliti pandangan Muhammad Quraish Shihab, biarpun beliau menyatakan bahawa hijab itu tidaklah wajib dan tidak boleh dipaksakan ke atas golongan wanita, namun beliau tetap mengiktiraf bahawa ianya sesuatu yang baik dan menjaga kehormatan wanita.

Mempraktikkannya haruslah datang daripada kesedaran dan keinginan diri individu itu sendiri (Budiningsih 2013). Hijab pada diri saya adalah satu manifestasi kepercayaan terhadap Tuhan dan terhadap diri sendiri. Biarpun panas, renyah ataupun kolot, ia adalah satu keputusan yang disedari dan diusahakan setiap hari.

Setiap daripada kita berhak untuk memilih jalan hidup yang kita inginkan. Namun, harus diingat bahawa kita sama sekali tidak berhak untuk menentukan pilihan bagi orang lain hanya kerana kita terlalu yakin dan percaya dengan kefahaman sendiri. Kita tidak suka dihukum, maka mengapa perlu kita menghukum orang lain?

* Ini adalah pandang peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.

Budiningsih, D. Y. S. (2013). Pandangan Muhammad Quraish Shihab Tentang Hukum Hijab Muslimah, Institut Agama Islam Negeri Walisongo. Magister Studi Islam.
Othman, N. (2006). “Muslim women and the challenge of Islamic fundamentalism/extremism: An overview of Southeast Asian Muslim women’s struggle for human rights and gender equality.”
Women’s Studies International Forum 29(4): 339-353. Salleh, S. N. F. and N. H. M. Samsudin, Eds. (2008). Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung, PTS Millenia Sdn. Bhd.