18 APRIL ― Dimanakah kewajaran kerajaan apabila memotong bajet sebanyak RM120 juta kepada hospital pendidikan UM yang menjadi tempat bergantung rakyat disekitar Petaling dan Lembah Pantai untuk mendapatkan bantuan kesihatan.
Tatkala peningkatan jumlah pesakit saban tahun meningkat, serta rakyat menderita dengan peningkatan bebanan kos sara hidup apatah lagi selepas implementasi GST, yang mana rakyat akan beralih daripada hospital swasta kepada kerajaan.
Kerajaan perlu sedar bahawa penjagaan pesakit akan terjejas selepas bajet hospital pendidikan dikurangkan kepada RM387 juta bagi 2015 berbanding RM510 juta tahun lepas. Sudah pasti potongan bajet akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diberikan kepada pelajar perubatan.
Bajet kesihatan merupakan satu kewajiban yang sangat penting dan tidak boleh diendahkan kepentingannya kerana ia melibatkan nyawa rakyat dan bukannya mainan.
Rakyat tidak meminta untuk dikurangkan bajet kesihatan tetapi desak untuk membasmi ketirisan seperti 1MDB dan amalan kroni kerajaan yang saban hari semakin parah. Kerajaan dibawah Datuk Seri Najib perlu bijak menguruskan dana dan meletakkan prioriti rakyat dihadapan.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.