10 MEI ― Pertubuhan yang mendakwa diri mereka membawa mesej perpaduan berlandaskan agama nampaknya telah merendahkan martabatnya setaraf dengan pertubuhan ultra perkauman, Perkasa.
Isma telah berjaya menarik perhatian umum dan mengambil alih tugas Perkasa dan golongan ultra perkauman dalam UMNO untuk melabelkan warganegara dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya, malah mendustai sejarah demi kepentingan politik mereka.
Tindakan ini juga telah berjaya membuatkan kita semua lupa tentang perkara-perkara yang lebih penting seperti isu kelemahan kerajaan BN menangani tragedi kehilangan pesawat MH370, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kejadian pencerobohan perairan Sabah di bawah kawalan Esscom untuk kesekian kalinya, yang turut melibatkan penculikan.
Pun begitu, adalah tidak wajar bagi Isma disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, sebuah akta drakonian yang digubal oleh penjajah untuk membungkam kebebasan bersuara dan memberi pandangan, serta menindas lawan politik mereka.
Akta itu kini menjadi alat kepada BN untuk menyerang pemimpin-pemimpin parti pembangkang, termasuk mendiang Fan Yew Teng, mendiang Karpal Singh, Saudara Lim Guan Eng dan terbaru Saudari Teresa Kok.
DAP sebagai sebuah parti yang tegas berprinsip mengutuk sebarang usaha untuk menyiasat dan mendakwa ISMA di bawah Akta Hasutan. Peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan sudah lebih dari cukup untuk digunakan untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan menggugat perpaduan masyarakat.
Oleh yang demikian saya menyeru supaya Isma janganlah dijadikan mangsa akta yang telah ditentang oleh DAP untuk sekian lama.
Biarlah “stunt” politik Isma yang barangkali diarah oleh tuan-tuan politiknya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada hal-hal yang lebih penting dan memberikan kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama ini diadili menggunakan undang-undang yang tidak menindas secara politik dan bersifat drakonian.
* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.