29 APRIL — Dalam kehidupan seharian, kita pasti berhadapan ataupun terserempak dengan individu-individu yang mempunyai perwatakan menarik dan pelbagai. 

Ada yang suka memuji, ada pula yang suka mengutuk dan tidak kurang juga, mereka yang bersikap talam dua muka, maksudnya depan cakap lain, belakang cakap lain.

Ada pula manusia yang tidak akan berpuas hati walau apa sahaja yang cuba diusahakan oleh orang lain. Dalam konteks ini, mereka sentiasa mengutamakan kesempurnaan.

Apabila kita berbicara mengenai soal kepelbagaian perwatakan manusia, teringat penulis tentang kritikan yang dilemparkan oleh parti pembangkang dan netizens terhadap usaha-usaha oleh Kerajaan Persekutuan dalam membawa Malaysia kembali ke landasan yang sepatutnya. Wah, bukan main senang untuk mengkritik. Buat betul pun kena, tak buat pun kena.

Advertisement

Berpandukan kepada komen-komen yang diberikan dalam media sosial, nampaknya ramai yang tidak berpuas hati. Dalam kalangan pemimpin pembangkang pula, mereka menggunakan segala kesempatan yang ada untuk memburuk-burukkan kredibiliti kerajaan baharu ini.

Barangkali, inilah tugas dan peranan mereka untuk mengkritik tetapi tidak bersedia untuk memberi pandangan atau penyelesaian kepada sesuatu isu di hadapan mata mereka.

Apakah adil untuk hanya mengkritik dan tidak bersedia untuk memberi sebarang sumbangan kepada isu yang berbangkit? Inilah ‘keunikan’ segelintir rakyat kita. Saya tidak salahkan mereka yang mengkritik kerana dengan kritikan itu, mereka sebenarnya mengambil berat terhadap keadaan semasa dalam negara.

Advertisement

Namun, sebaik-baiknya kritikan yang diberikan biarlah bertempat dan kena pada masanya. Sebarang kritikan seharusnya berupaya untuk merubah keadaan kepada yang lebih positif dan bukan sebaliknya. Apapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa sebarang percubaan untuk melaga-lagakan antara rakyat dan kerajaan tidak akan membawa sebarang manfaat.

Proses pemulihan negara masih berjalan dan adalah tidak adil untuk mendesak kerajaan sedia ada menyelesaikan masalah-masalah yang ditinggalkan oleh kepimpinan terdahulu dalam sekelip mata. Mustahil. Usaha berkenaan memakan masa. 

Hanya mereka yang berada di tampuk kekuasaan sahaja tahu betapa besar dan seriusnya proses pemulihan ini. Maka kerana itu, kita harus memberikan masa kepada mereka untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh negara. 

Akan tetapi, sekiranya ada yang masih tidak berpuas hati dengan keadaan semasa, luahkan perasaan itu semasa di peti undi nanti dan tunaikan kewajipan anda sebagai seorang pengundi.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.