12 MAC — Bahang Pilihan Raya Umum ke-14 kian dirasai.

Sama ada di arena politik, media, cakap-cakap di kedai kopi mahupun segala gerak-geri dan tindak-tanduk si pelaku, nampaknya semua menjurus kepada demam PRU.

Biarpun tarikh PRU-14 masih belum diumumkan lagi, namun sudah kelihatan dan kedengaran aktiviti berkempen dalam kalangan parti-parti politik. Di pihak media pula, gaya pemberitaan dan penceritaan kini sudah bergerak pada kadar “full-swing” dalam melaporkan berita-berita politik.

Disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya oleh segelintir pihak, PRU-14 bakal menjanjikan aksi, gelagat dan barangkali juga keputusan di luar dugaan. Ada yang mungkin kekal, ada juga muka baharu dan tidak ketinggalan juga, ada yang mungkin akan kecundang, bergantung kepada pilihan pengundi.

Advertisement

Pada tempoh ini juga, segala belang dan perangai sebenar pihak-pihak bertanding akan terdedah jua. Disebabkan mereka perlu meraih undi bagi memenangkan parti-parti mereka, maka apa sahaja strategi akan diguna pakai untuk memenuhi misi terbabit.

Antaranya, tindakan memaki-hamun, menghentam keperibadian seseorang dan menyebarkan berita-berita yang tidak benar sehingga mencetuskan suasana yang kurang selesa di dalam negara ini.

Sebagai rakyat marhaen, penulis tidak kisah jika pemimpin parti-parti politik ingin berpolitik dan meraih undi pada musim pilihan raya ini, cumanya mereka yang terlibat buatlah secara berpada-pada serta menjaga tingkah laku anda di khalayak.

Advertisement

Akhir-akhir ini, kelihatan begitu banyak kenyataan demi kenyataan media dikeluarkan oleh kedua-dua pihak baik dari pemerintah dan pembangkang, masing cuba menghalalkan apa yang mereka lakukan. Lebih membingungkan, hujah serang balas yang diberikan tidak mencerminkan status dan keperibadian mereka sebagai wakil rakyat yang cerdik dan intelektual.

Nasihat penulis kepada pihak-pihak sedemikian, jangan buang masa dan hentikan segala polemik yang bersifat kebudak-budakan. Usahlah terlibat dalam budaya berpolitik yang tidak sihat ini tetapi berikan fokus kepada usaha memajukan negara dan memakmurkan rakyat. Rakyat tidak berminat dengan polemik demi polemik yang dicetuskan terapi mereka ingin tahu bagaimanakah kerajaan yang dipilih nanti boleh membela nasib mereka.

Keghairahan untuk berpolitik yang keterlaluan secara tidak langsung memberi tanggapan serong kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin politik sebenarnya lebih mengutamakan kepentingan peribadi mereka. Dan realitinya, ini yang sedang berlaku sekarang gara-gara ketaksuban segelintir untuk berpolitiking.

Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin politik di negara ini boleh bersikap lebih profesional, prihatin dan peka dengan sensitiviti masyarakat berbilang kaum ketika berpolitik. Jika nak berpolitik sekalipun, berpolitiklah secara matang dan beradab. Jagalah tutur kata, jaga juga niat dan tindak-tanduk anda.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.