6 APRIL — 1 APRIL lalu, secara rasminya bermulalah pelaksanaan sistem percukaian baharu di negara kita. Cukai yang diberi nama Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau ringkasnya GST dikenakan ke atas perkhidmatan dan barangan yang boleh dicukai.
Selama beberapa tahun yang lalu, rakyat dimaklumkan mengenai pelaksanaan cukai GST yang antara lain dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Pelbagai kempen kesedaran dan jerayawara telah pun dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat benar-benar faham akan pelaksanaan GST ini.
Tidak dinafikan ramai daripada kalangan kita yang masih keliru dan kabur mengenai cukai GST khasnya berkenaan dengan jenis barangan yang tertakluk dengan cukai GST serta senarai barangan yang dikecualikan daripada cukai tersebut.
Buktinya cukup jelas apabila sejumlah 815 aduan diterima pada hari pertama pelaksanaan GST. Biarpun masalah ini sudah dijangka, namun ia tidak harus dijadikan sebagai alasan untuk menutup mata dan melepaskan batuk di tangga sahaja.
Kekaburan yang berlaku ini sesungguhnya tidak harus dipandang remeh sebaliknya membuka mata pihak berkuasa untuk lebih teliti dan menyelaraskan kordinasi mereka. Apa yang berlaku tempoh hari agak mendukacitakan.
Barangkali inilah kelemahan paling ketara ketika sesuatu dasar baharu cuba diperkenalkan. Mungkin disebabkan ini merupakan kali pertama sistem ini diperkenalkan, pastinya ada berlakunya ketidakselarasan, kekeliruan dan tidak kurang juga ketidakpuasan hati terhadap cukai baharu ini.
Dalam melaksanakan sesuatu dasar, ada baiknya jika segala lompong-lompong yang timbul ini diperhalusi terlebih dahulu sebelum ia benar-benar dilaksanakan. Langkah ini bagi memastikan golongan rakyat tidak ditindas dan dibebani dengan sistem yang membebankan selain memastikan pihak berkuasa pula tidak dipersalahkan secara sewenang-wenangnya.
Sekadar memberikan hujah bahawa ini adalah kali pertama Malaysia melaksanakan percukaian baharu ini dan maka kerana itu, kewujudan masalah adalah sesuatu yang dijangka, merupakan hujah yang lemah dan longgar. Itu sebabnya, pihak kerajaan perlulah tangkas dalam menangani kekeliruan yang timbul sebelum kekeliruan mengundang lebih banyak kemarahan daripada rakyat.
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan sebelum GST dilaksanakan ialah bagi memastikan segala lompong dan kekeliruan yang berbangkit, ditangani secara tuntas. Logiknya, sesuatu dasar atau sistem yang belum dipastikan, tidak harus dilaksanakan secara terburu-buru.
Kekeliruan yang timbul itu tidak sepatutnya berlaku kerana kelazimannya, apa sahaja kekeliruan yang berbangkit perlu ditangani secara dalaman bagi mengelakkan masalah itu berubah menjadi masalah besar yang akhirnya akan mengaibkan imej baik kerajaan. Kegagalan untuk menyelesaikan kekeliruan itu hanya menguatkan lagi teori sesetengah pihak bahawa GST dilaksanakan secara terburu-buru biarpun realiti adalah sebaliknya.
Malangnya, igauan buruk itu menjadi kenyataan. Kelihatan ketidakseragaman yang ketara dan kekeliruan yang seolah-olah meranapkan harapan pihak kerajaan untuk memastikan pelaksanaan GST berjalan seperti yang dirancang.
Kekeliruan yang timbul turut mendapat perhatian mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menggesa agar kerajaan mengeluarkan senarai barangan yang dikecualikan daripada GST bagi mengatasi kekeliruan yang dihadapi.
Hakikatnya, Kerajaan tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak dalam pelaksanaan sistem percukaian baharu ini. Sememangnya di pihak kerajaan, mereka melihat keperluan untuk melaksanakan GST ini dengan segera manakala rakyat marhaen melihatnya sebagai satu percukaian yang membebankan.

Dalam kalangan pemimpin negara pula, mereka akan menyokong dan mempertahankan pelaksanaan GST sambil menyatakan ia adalah lebih baik untuk negara. Itu hak mereka tapi mereka harus berpaksi pada bumi nyata bahawa kebajikan rakyat marhaen khasnya yang berpendapatan rendah dan sederhana merupakan golongan paling terjejas dengan pelaksanaan GST 6%.
Bukan sahaja kuasa membeli semakin merosot, bahkan kuantiti barangan yang dibeli semakin berkurangan gara-gara kerana kos yang semakin tinggi.
Rakyat marhaen bukan mengeluh tidak tentu pasal. Pastinya ada sebab mengapa keluhan ini disuarakan kerana beban kos sara hidup yang semakin melampau. Apakah yang harus kita lakukan? Ikut perut? Bagaimana pula dengan para pemimpin negara? Adakah mereka juga bersedia untuk berbuat demikian atau cakap tak serupa bikin?
Pengenaan cukai GST sebanyak 6% sememangnya membebankan. Baru-baru ini, ketika penulis membeli-belah di sebuah gedung terkemuka, penulis terpaksa membelanjakan lebih RM400 untuk membeli barangan keperluan asas berbanding dengan kebiasaannya, RM250 sebelum pelaksanaan GST.
Sampai bilakah golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu bertahan dengan keadaan sebegini? Hanya Tuhan dan masa sahaja yang dapat menentukannya. Golongan rakyat kini tidak mempunyai banyak pilihan selain memastikan mereka hanya berbelanja mengikut keperluan sahaja. Mahu tidak mahu juga, ada yang mungkin terpaksa bekerja lebih keras bagi memastikan kelangsungan mereka terjamin.
Sistem percukaian baharu negara iaitu GST akan bersama dengan kita untuk suatu tempoh masa yang lama. Persoalannya, bagaimanakah kita sebagai pengguna dapat menyesuaikan diri dengan sistem percukaian baharu ini?
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
