7 DISEMBER — Sewaktu berusia 13 tahun, ‘ikon’ saya dalam muzik adalah Ebiet G.Ade, folk singer songwriter dari Indonesia yang popular dengan lagu lagu puitisnya. Waktu itu abang saya yang baru pulang dari Indonesia telah membeli beberapa buah album Ebiet seperti Camellia 1 dan 2.

Saya sangat kagum dengan kualiti lagu dan senikata hasil karya Ebiet. Kagum kerana muka Jawa dan gayanya yang sangat sederhana itu berjaya menambat hati syarikat rakaman yang besar dan berani melaburkan sejumlah modal yang besar juga untuk rakaman albumnya yang berkualiti gred A.

Itu membuatkan saya bercita cita untuk menjadi seperti beliau. Waktu itu Dylan pun saya suka, cuma bahasa Indonesia lebih kurang sama dengan bahasa Melayu, jadi saya lebih faham berbanding bahasa Inggeris waktu itu.

Sudahnya menyanyipun ikut cara Ebiet. Nak kata serupa tapi tak sama. ya lah, suara kita waktu itu belum matang, masih dalam proses. Cipta lagu pun macam Ebiet, cuma tidaklah sesedap lagu Ebiet. Garapan lirik juga begitu, tidaklah seindah bait bait yang Ebiet hasilkan.

Advertisement

Kesannya tahun 1983 saya telah menghasilkan sebuah demo yang terkandung 16 lagu dan lirik ciptaan saya sendiri. walaupun demo dan lagu lagu yang saya cipta tidaklah berkualiti sangat, itu tetap penting kerana proses itu perlu untuk kita terus melangkah dalam menuju kesempurnaan.

Bagi saya ikon penting dalam mimpi dan cita seorang pengkarya. Kita perlu mempunyai ‘ikon’ untuk motivasi dan semangat untuk menjadi apa yang kita nak jadi.

Apabila datang Dylan dan Cat Steven, saya turut menjadikan mereka sebagai ‘ikon’. Apabila kita punya banyak hero, secara tidak langsungnya karya karya yang kita hasilkan semakin berkembang dan tidak hanya pengaruh yang datang dari Ebiet sahaja.

Advertisement

Pertengahan tahun 80an saya mula mengkagumi Jim Morrison dan The Doors. Sehingga tergantung dalam bilik saya poster Jim Morrison dan berasa bangga memakai t-shirt gambar Jim Morrison.

Waktu itu saya melalui proses peralihan dan pencarian jiwa yang kadang rebel dan tenang. Jadi muzik The Doors yang progresif dan psychedelic dengan sajak sajak Morrison sesuai dengan mood rebel saya di musim itu.

Awal tahun 90an saya mula mengkagumi Nick Drake pula. Sebabnya waktu itu saya suka melayan mood yang murung dan pasif, membawa ke pencarian jiwa yang penuh warna dalam menuju hening.

Saya juga berminat dalam seni lukis dan pernah bercita cita untuk menjadi pelukis komik. Hero saya waktu itu Mohd Zohri Sukimi atau Zoy, komik karya beliau selalu saya beli jika berada di pasaran. Begitu juga dengan Jaafar Taib, saya cukup kagum dengan bakat melukis yang beliau miliki.

Apabila musim bola tiba saya menjadikan Zico, Socrates dan Maradona , lagenda bolasepak dunia sebagai hero. Waktu itu saya gila bola sekejap dan turut dipilih mewakili sekolah dalam sukan bolasepak.

Apabila minat terhadap bola dan lukisan makin berkurangan lantaran bakat yang tidak mencukupi dalam kedua dua bidang tersebut, saya hanya fokus pada muzik dan penulisan.

Dalam penulisan dan falsafah, saya punya banyak hero. Banyak karya karya dari Indonesia yang saya kagumi. Kalau di Malaysia saya suka penulisan Datuk A.Samad Said, Suhaimi Hj Muhammad dan Zaen Katuri antaranya. Indonesia pula Achdiat K.Mihardja, Hamzah Fansuri antaranya. Juga karya karya dari para pujangga tersohor dunia seperti Iqbal, Khalil Gibran, Fari uddin Attar, Rumi dan banyak lagilah.

Sehingga sampai satu tempoh yang saya anggap matang, apabila segala acuan dan ramuan disatukan, saya tidak memerlukan siapa siapa lagi sebagai ikon atau hero.

Semua lagenda dalam muzik, seni mahupun sukan, mereka punya ikon atau mentor untuk menjadi pencetus semangat dalam menuju cita dan mimpi dalam proses menjadi apa yang mereka cita dan impikan.

Salah seorang anak saya berminat dalam seni muzik tapi minatnya itu tidaklah setinggi minat saya dalam muzik. Masalahnya anak saya itu tidak punya ikon atau mentor. Dia tidak tahu siapa yang dia harus minat dan suka. Mungkin dia masih di alam remaja dan perlukan masa untuk itu.

Ikon atau hero bukanlah atau tidak semestinya subjek atau watak yang sempurna. Mereka hanyalah manusia sama seperti kita. Kebanyakan hero yang saya kagumi ending hidup mereka tidaklah cemerlang, gemilang dan terbilang di kalangan masyarakat mahupun dunia.

Apa yang saya ambil dari mereka adalah isi dan karya mereka yang jika bermanfaat dapat membantu kita dalam mencari kesempurnaan dan kepuasan mengikut versi kita sendiri.

Cuma jika kita mahu menjadikan seseorang yang hebat dan berkharisma itu sebagai mentor kita, janganlah kita taksub pula sehingga segalanya kita nak tiru sepenuhnya.

Sebagai contoh jika kita minat dengan Jamal Abdillah, suarapun kalau boleh nak macam Jamal, cara nyanyi, lenggok mahupun gaya semuanya nak macam Jamal. Kenyataannya Jamal sudah berjaya sebagai penyanyi terkenal, sedang kita baru nak merangkak.

Ikon, mentor atau guru itu penting untuk memotivasikan diri kita, menjadikan kita bersemangat untuk menjadi apa yang kita impi dan citakan dalam hidup. Mentor itu pembimbing secara tidak langsungnya untuk melangkah dalam menuju kesempurnaan, mengikut versi dan kefahaman kita.

Kesudahannya, menjadikan diri sendiri sebagai mentor, itulah yang terbaik. Sebelum itu, kita perlukan proses dan jadikanlah watak watak yang kita kagumi itu sebagai ikon, kerana kita perlukan ‘guide’ sekurang kurangnya untuk satu tempoh.

 

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.