22 SEPTEMBER ― Kita semua sedia maklum, pemimpin politik atau politikus adalah golongan yang paling oportunis.

Malah, tidak keterlaluan untuk menyifatkan mereka sebagai golongan yang paling kurang dipercayai oleh masyarakat. Persepsi ini disokong oleh beberapa tinjauan pendapat yang dikendalikan oleh badan tinjauan pendapat.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga adalah individu yang paling cepat menukar topengnya apabila keadaan semasa tidak memihak kepada mereka. Akan tetapi, siapa yang boleh salahkan mereka?

Hakikat bahawa keperluan untuk survival dan menjaga periuk nasi mereka adalah terlalu penting untuk diketepikan begitu sahaja. Maka kerana itu jugalah, sebarang harapan rakyat untuk melihat kemunculan pemimpin-pemimpin politik yang berintegriti mungkin hanya tinggal impian semata-mata.

Di Malaysia umpamanya, pemimpin-pemimpin politik kita begitu berani dan tidak segan-silu mempamerkan kebodohan serta keangkuhan mereka. Kebanyakan daripada mereka tidak kira daripada pihak pemerintah mahupun pembangkang merasakan sebagai pemimpin politik, mereka kebal daripada dikenakan tindakan biarpun melakukan kesalahan.

Namun, ada satu jenis pemimpin politik yang tidak wajar dan perlu dibela oleh rakyat.  Jenis pemimpin politik yang dimaksudkan adalah mereka yang sengaja melakukan provokasi biarpun menyedari provokasi itu adalah salah dan tidak patut berlaku.

Apabila seorang ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini menyamakan tindakan memainkan lagu Negaraku dengan nasionalisme yang diperkenalkan oleh Mao Tze Tung apabila rakyat China secara terbuka meluahkan taat setia mereka, komen yang dilontarkan itu dilihat kurang bijak dan tidak kena pada tempat.

Ia bukan sahaja tidak kena pada tempat bahkan juga tidak sepatutnya berlaku. Apakah pemimpin politik berkenaan sudah ketandusan isu sehingga perlu mempertikaikan lagu Negaraku? Ataupun apakah ahli Parlimen tersebut sebenarnya tidak memahami sejarah serta asal-usul Negaraku? Tambah membingungkan adalah tindakan beliau menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf sejurus selepas menyedari kesilapannya.

Persoalannya, kenapakah ahli Parlimen yang dimaksudkan itu tidak membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang sensitif itu? Tidakkah sebagai seorang ahli Parlimen, anda sepatutnya lebih peka dan prihatin dengan isu sebegini?

Apabila timbul bantahan serta kemarahan orang ramai, barulah pemimpin berkenaan membuka mata dan telinganya. Oleh yang demikian, jangan pula menyalahkan masyarakat jika mereka mempunyai tanggapan yang negatif terhadap anda. Mereka juga tidak perlu cepat melatah apabila “backlash” kini menghantui pemimpin terbabit.

Episod ini sebenarnya mengajar semua pemimpin politik untuk lebih berwaspada ketika mengeluarkan kenyataan. Bermakna, mereka perlulah lebih bijak mengawal emosi. Sebagai pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat, mereka perlu menunjukkan teladan yang baik. Apa yang keluar dari mulut pemimpin akan dianggap sebagai sesuatu yang benar.

Benar pemimpin politik pembangkang itu sudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf atas keterlanjurannya namun kecenderungan pemimpin-pemimpin sejak kebelakangan ini untuk terlepas daripada hukuman seolah-olah memberi gambaran mereka boleh terlepas, hanya dengan memohon maaf.

Sepatutnya, mereka yang cuba mempersoalkan isu yang fundamental seperti Negaraku harus dikenakan tindakan yang setimpalnya. Pihak berkuasa mestilah menghantar satu mesej jelas kepada mana-mana individu yang cuba mempersoalkan lagu Negaraku tidak boleh dikompromi. Jika lagu Negaraku boleh dipertikaikan, tidak ada jaminan lain isu-isu fundamental lain tidak akan dicabar selepas ini.

Perlu ditegaskan di sini, tidak timbul soal “witch-hunt” terhadap mana-mana pemimpin politik dalam konteks ini. Jika ada kalangan pemimpin pemerintah yang turut melakukan kesalahan sama, mereka juga wajar dikenakan tindakan yang serupa. Ingatlah, “no one is above the law.”

Tiada gunanya jika seseorang pemimpin politik memohon maaf jika kesalahan serupa berulang.  Sejauhmanakah pemimpin-pemimpin politik kita benar-benar bermuhasabah diri dan belajar daripada kesilapan yang dilakukannya?

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang dahagakan integriti, penulis menolak budaya dan sikap pemimpin politik oportunis yang berhasrat untuk memecah-belahkan masyarakat. Pemimpin-pemimpin politik sebegini akan mendengar suara hati daripada rakyat di peti undi, tidak lama lagi.

Justeru, perbaikilah sikap anda sebelum terlambat.

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.