JUNE 8 — Akhir-akhir ini, begitu banyak isu panas yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu baik dari kalangan pemimpin politik, pemimpin NGO mahupun orang-perseorangan.

Rata-ratanya, isu-isu yang dibangkitkan itu pula tidak banyak berbeza daripada apa yang kita lihat selama ini. Kebanyakannya berkisar kepada isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Yang pasti, ini bukan kali pertama insiden sedemikian berlaku di negara kita. Sebaliknya, ia sudah menjadi satu kebiasaan dan amalan oleh golongan sebegini untuk mencetuskan kekecohan, kemarahan malah ketidaksenangan kepada pihak-pihak lain dengan harapan untuk merosakkan segala yang dikecapi selama ini.

Semuanya ini memperlihatkan satu trend yang tidak sihat di negara kita. Acapkali isu-isu panas yang dibangkitkan, akan timbul reaksi balas daripada pihak-pihak berkepentingan. Lazimnya, reaksi balas yang ditunjukkan merangkumi tindakan membuat aduan kepada polis dan protes secara besar-besaran.

Masyarakat di negara ini nampaknya begitu cepat melatah terhadap sesuatu isu tanpa menilainya terlebih dahulu. Dengar sahaja isu-isu yang dibangkitkan menyentuh kaum dan agama, mereka terus ‘melompat’ dan mahukan tindak balas. Bagi mereka, lebih banyak mereka bersuara, lebih ramai pihak akan memberikan perhatian kepada keluhan yang disuarakan.

Penulis percaya, tidak salah untuk masyarakat kita bangkit bersuara dan melakukan sesuatu jika kepentingan mereka diperlekehkan. Sekurang-kurangnya tindak balas yang ditunjukkan membuktikan mereka peka dan prihatin terhadap keadaan semasa yang melanda negara.

Namun demikian, apakah rakyat Malaysia harus berasa marah tidak tentu pasal sehinggakan fokus mereka dalam menangani isu-isu panas dikesampingkan begitu sahaja?

Persoalannya, apakah perlu masyarakat kita melatah terhadap isu-isu berkenaan sehingga heboh satu negara? Apa gunanya untuk kita berasa marah dan mengadakan protes tetapi punca permasalahan tidak ditangani secara tuntas?

Kita semua pernah berasa marah terhadap seseorang atau sesuatu perkara. Tetapi dalam keghairahan untuk melepaskan geram kerana tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, mungkin ada baiknya jika masyarakat Malaysia lebih bijak dalam meluahkan perasaan mereka.

Mereka mungkin melihat perasaan marah itu adalah perlu bagi menghantar satu mesej jelas terhadap ketidakpuasan hati mereka tetapi apakah mereka akan mencapai objektif yang dimahukan ataupun hanya sekadar mencari publisiti?

Akan tetapi, jangan sesekali membiarkan kemarahan yang meluap-luap itu mengawal emosi sehinggalah menyebabkan kita melakukan sesuatu di luar kawalan. Sebaik-baiknya teliti terlebih dahulu sesuatu masalah sebelum mengeluarkan komen. Ibarat kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Kebijaksanaan rakyat mengawal perasaan dan mulut mereka boleh menjadi penentu kepada keharmonian atau perpecahan negara ini. Dari satu sudut, mereka mungkin tidak menyedari impak tindakan mereka kepada negara dalam jangka pendek tetapi jika tindakan sedemikian dibiarkan berterusan, ia pasti memberi kesan negatif kepada kestabilan negara dalam jangka panjang.

Sebenarnya, tidak salah untuk seseorang meluahkan kemarahan tetapi kemarahan yang ingin diluahkan haruslah dilakukan secara berpada-pada dan bertempat. Masalah utama yang sedang berlaku di negara kita ialah terdapat begitu ramai pihak yang cuba menangguh di air keruh.  Semuanya ingin menjadi juara kepada sesebuah kaum.

Disebabkan terlalu ghairah untuk bersuara, mereka kadangkala terlupa bahawa perbuatan dan tutur katanya boleh mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat lain. Ingat bahawa apa yang dirasakan betul dan boleh diterima tidak semestinya pada pandangan orang lain. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita haruslah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam tingkah laku serta tutur kata kita.

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia, tidak ada mana-mana pihak yang seharusnya “dictate” pandangan mereka kepada pihak lain. Sebaliknya, mereka harus saling hormat-menghormati, menerima kepelbagaian dan bertolak-ansur antara satu sama lain.

Sesungguhnya, kunci kepada kejayaan dan keharmonian negara yang dikecapi selama ini tidak datang secara bergolek. Malah, kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama, persefahaman dan kesanggupan ketiga-tiga kaum untuk menerima keadaan seadanya.

Mahukah kita melihat Negara tercinta ini diheret ke kancah konflik yang memudaratkan? Mahukah kita melihat negara tercinta ini menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa? Tepuk dada, tanyalah selera!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak perlu mewakili pandangan The Malay Mail Online.