9 DIS — Setiap kali saya menulis sebuah cerpen, saya akan mengingatkan diri sendiri: “Suatu hari nanti, anak-cucu-cicit saya akan membaca apa-apa yang saya tulis dan mereka harus berbangga dengan hasil tulisan saya.”

Pendirian itu saya tegaskan menerusi catatan pada ruangan status Facebook pada 3 Disember 2013. Saya berharap akan mampu membaca semula paparan itu sekitar 20 tahun dari sekarang — dengan andaian Facebook masih wujud — dan mampu menarik nafas lega.

Sebagai individu yang terlibat dalam bidang penulisan tanah air sejak 1992 — serta memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa mulai 2011 — saya tidak rela “melacurkan” hasil tulisan saya; khususnya karya kreatif seperti cerpen dan novel.

Petikan kata-kata saya pada ruangan status Facebook nampaknya menarik minat beberapa rakan — termasuk mereka yang terlibat dalam bidang media — untuk mendapatkan komen saya berhubung etika penulisan; khususnya penulisan cerpen sebagai salah satu cabang karya sastera.

Topik berkaitan etika penulisan memang menjadi salah satu perkara yang saya tekankan sejak mula mengendalikan ceramah dan bengkel penulisan pada tahun 1994. Setiap individu yang pernah menyertai bengkel cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pasti tahu akan perkara ini.

Baru-baru ini, rakan-rakan media bertanya sama ada cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang bercerita secara terlalu terbuka tentang isu-isu sensitif dan bertentangan dengan norma masyarakat/agama akan disiarkan di akhbar dan majalah.

Tanpa perlu berfikir panjang, saya menegaskan bahawa cerpen-cerpen yang terlalu “terbuka” dalam membicarakan soal-soal sensitif seperti agama, perkauman dan seks biasanya tidak akan disiarkan di mana-mana media arus perdana Bahasa Malaysia; sama ada media cetak atau media alternatif.

Walau bagaimanapun, harus kita akui bahawa karya-karya seperti itu mungkin sahaja masih disiarkan dalam majalah/risalah terbitan sendiri atau apa yang sering disebut sebagai “indie” (independent) dan “underground”.

Karya sastera perlu ada seni

Malah, mungkin sahaja disiarkan di blog dan laman sesawang milik sendiri atau rakan-rakan. Penyiaran seperti itu juga termasuk dalam takrif “terbit” (publish) dalam bidang penerbitan.

Namun begitu, hasil tulisan yang agak menyimpang daripada norma “etika penulisan karya sastera” memang mustahil untuk diterbitkan dalam mana-mana media bermaruah dan bermutu yang diterbitkan secara beretika serta memenuhi syarat-syarat dan peraturan ISSN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Lalu saya ditanya pula mengenai novel-novel dan kumpulan cerpen terbitan Buku Fixi yang secara nyata berciri “pulp fiction” dan mendapat sambutan hangat daripada pembaca; khususnya masyarakat Melayu-Islam.

Dalam hal ini, saya perlu menegaskan bahawa Amir Muhammad selaku pemilik Buku Fixi sudah menetapkan buku-buku terbitannya adalah “pulp fiction”, sekali gus bukan karya sastera (literature) mahu pun separa sastera (semi-literature).

Untuk memudahkan pemahaman, ambillah contoh cerpen-cerpen yang disiarkan dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); khususnya Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Tunas Cipta.

Mungkin ada pula pihak yang mengatakan buku-buku dan majalah sastera terbitan DBP terlalu membosankan. Atau cuba pula menegaskan bahawa ada juga buku dan majalah terbitan DBP memuatkan cerpen yang menyentuh (contohnya) isu agama, perkauman dan seks.

Ya, benar. Akan tetapi, sebagai sebuah karya sastera, kita perlu pula melihat bagaimana isu-isu sensitif yang “kurang enak” dan di luar norma masyarakat dipaparkan dalam karya berkenaan.

Adakah dipaparkan secara bulat-bulat dan terang-terangan tanpa sebarang penapisan atau disampaikan secara simbolik dan berseni; sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah karya sastera?

Penulis perlu ada etika dan tanggungjawab sosial.
Penulis perlu ada etika dan tanggungjawab sosial.

Bezakan karya sastera, popular dan picisan

Para penulis dan pembaca perlu tahu membezakan antara “karya sastera” dan “cerita”. Kalau kita sudah menulis sebuah cerita yang ada watak, plot, latar, persoalan, konflik, dialog dan sebagainya, tidak bermakna kita sudah menghasilkan sebuah karya sastera.

Demikianlah secara umum pandangan yang saya kongsikan bersama-sama rakan-rakan yang bertanya. Tentulah semua ini adalah pandangan peribadi saya dan tidak semestinya sama dengan pendirian orang lain.

Saya merasakan perkongsian pandangan ini amat penting dalam situasi semasa di mana khalayak (terutama remaja dan belia) tidak dapat membezakan antara “karya sastera bermutu”, “karya popular bukan sastera” dan “karya picisan bukan sastera”.

Lebih malang jika golongan penulis sendiri tidak dapat membezakannya lalu menganggap apa-apa sahaja cerita yang ditulisnya dan sudah disiarkan (misalnya di blog atau laman sesawang milik rakan) sebagai sebuah karya sastera!

Dalam perbualan saya bersama-sama seorang rakan media, beliau bertanya secara khusus apakah pandangan saya jika sebuah karya/cerita Bahasa Tamil mengangkat kisah tentang watak anak lelaki (remaja) yang mengaku bernafsu seks terhadap ibu kandungnya, serta mahu mengintip ibunya mandi.

Pada pendirian saya, seorang penulis yang bertanggungjawab dan beretika (harap maklum bahawa bukan semua “penulis” bersikap bertanggungjawab dan beretika) perlu tahu tugas serta peranan menghasilkan karya bermutu.

Memanglah setiap penulis berhak menulis apa sahaja, tetapi apabila karya itu mahu disiarkan (diterbitkan) di media untuk bacan umum, maka perlu ada beberapa perkara yang wajib diambil kira oleh si penulis dan juga si editor (jika ada).

Saya tidak pula mengatakan semua karya “sastera” bebas sepenuhnya daripada unsur-unsur yang dianggap sensitif dalam masyarakat; misalnya contoh yang diberikan oleh rakan wartawan tadi.

Jangan salah guna bakat penulisan

Kita perlu sedar bahawa dalam sebuah cerpen yang layak dianggap karya sastera, tidak semua perkara yang berlaku dalam realiti (atau dalam hidup sang penulis) diceritakan secara langsung dengan alasan kononnya mahu menyajikan “realiti” kepada pembaca.

Biar saya tekankan bahawa sebuah karya bermutu (tidak semestinya sebuah karya sastera) bukan sekadar “bercerita apa sahaja”. Sebaliknya turut berperanan memberikan nilai-nilai sastera dan kemanusiaan kepada khalayak yang menjadi “pengguna sasaran”.

Maka, jika ada penulis yang menulis mengenai pengalaman dirinya (atau pengalaman orang lain, atau khayalan semata-mata) menghendap ibu, adik perempuan, kakak, nenek atau jiran mandi bogel secara “gambaran reliti” serta digambarkan pula secara “realiti” perihal nafsu seks yang muncul dalam dirinya, maka itu bukan karya sastera.

Rakan-rakan yang menghubungi saya mengemukakan dua lagi contoh kisah dalam sebuah cerpen Bahasa Tamil yang telah mereka baca baru-baru ini di sebuah majalah dalam talian.

Mengulas perkara itu, saya mengatakan bahawa tentulah amat tidak wajar untuk menggambarkan secara amat realistik, terperinci dan terang-terangan babak sepasang kekasih mengadakan hubungan kelamin sambil ditonton oleh seorang rakan yang sempat pula membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit.

Memanglah terdapat pelbagai teori yang mungkin dijadikan alasan untuk mewajarkan apa-apa yang ditulis dalam bentuk cerita. Akan tetapi, usah dilupakan bahawa aplikasi teori masih perlu kena pada tempat. Bak kata perumpamaan Tamil, janganlah kerana melihat orang lain makan tahi maka kita pun mahu makan tahi.

Nafsu dan seksualiti memang sesuatu yang lazim dan semula jadi dalam kehidupan manusia. Akan tetapi, hal ini tidak bermakna bahawa penulis — khususnya sasterawan selaku penulis karya sastera — boleh menulis apa sahaja mengenai topik berkenaan dan menyiarkan atau menerbitkannya untuk tatapan khalayak umum.

Demikianlah juga pandangan saya terhadap satu lagi contoh yang diberikan iaitu watak pemuda dalam sebuah cerpen ghairah dan bernafsu seks melihat berhala dewi di sebuah kuil iaitu rumah ibadat penganut agama Hindu.

Karya kita akan dibaca oleh generasi akan datang.
Karya kita akan dibaca oleh generasi akan datang.

Kontroversi bagi publisiti murahan

Mungkin akan ada pihak yang mempertikaikan pula cara saya menggambarkan berhala Dewa Shiva menerusi cerpen “Interlok dan Siru Kambam”, “Kisah Cik Timun Busuk” dan “Persuhabatan Encik Limau” (Kisah dari Siru Kambam, 2013). Saya serahkan kepada para pembaca untuk mengemukakan kritikan selepas membaca cerpen-cerpen itu.

Bagi sebuah cerpen yang secara terang-terangan berbaur unsur kelucahan melampau, penulis dan editor mungkin akan cuba menegakkan benang yang basah dengan mengatakan bahawa tindakan itu adalah selaras kebebasan bersuara dan freedom of expression.

Benar, tetapi jangan sesekali tampil mencanangkan bahawa cerpen itu sebuah karya sastera — literature (Inggeris) atau ilakiyam (Tamil). Bukan semua cerita yang ditulis dan berjaya disiarkan boleh dikategorikan sebagai karya sastera.

Kononnya ada mesej dan moral dalam cerpen. Bayangkan misalnya sebuah cerpen sepanjang 2,000 patah perkataan. Sekitar 1,990 perkataan digunakan untuk menggambarkan secara terperinci nafsu seks si pemuda terhadap ibunya, aksi kawannya berasmara dengan kekasih, dan keinginan untuk mengadakan hubungan seks dengan berhala di kuil.

Baki 10 perkataan digunakan untuk menulis bahawa pemuda tadi menyesali segala perbuatannya dan sudah bertaubat. Atau pemuda tadi menerima balasan; hukum karma. Bayangkan betapa jahilnya sesiapa yang memberikan alasan kononnya cerpen seumpama itu adalah karya sastera yang menyajikan unsur moral (pengajaran).

Saya faham bahawa penulis dan editor majalah terbabit mungkin berusaha untuk sengaja menimbulkan kontroversi bagi tujuan publisiti murahan. Jika itulah sahaja etika penulisan, etika penerbitan, tanggungjawab sosial, bakat kesenian dan kreativiti yang ada dalam diri penulis dan editor terbabit, maka saya tidak berhak menghalang mereka.

Akan tetapi, apa yang mengecewakan rata-rata rakan-rakan yang menghubungi saya adalah tindakan penulis dan editor terbabit mencemarkan kemurnian dunia sastera dan penulisan — mana-mana bahasa — dengan mencanangkan hasil tulisan seburuk itu sebagai sebuah karya sastera yang layak diterbitkan dalam sebuah majalah sastera.

Suatu hari nanti, anak-cucu-cicit kita akan membaca apa-apa yang kita tulis dan mereka harus berbangga dengan hasil tulisan kita.

* Uthaya Sankar SB adalah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 dan 1998/99.

** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.