20 NOV — Sejak 1998, Hari Memperingati Transgender (Transgender Day of Remembrance) adalah pada 20 November bagi memperingati golongan transgender yang menjadi mangsa pembunuhan di seluruh dunia akibat keganasan kelompok anti-transgender.

Memanglah ia bukan hari yang diiktiraf di Malaysia tetapi saya percaya bahawa kesedaran mengenai transgender wajar ada dalam masyarakat kita supaya kezaliman dan penindasan terhadap kelompok minoriti ini dapat dielakkan dan dibendung.

Pada 14 November 2013, saya berpeluang berbual-bual dengan seorang individu transgender bernama Sharan Suresh. Beliau terlibat secara langsung dalam usaha-usaha memberikan penerangan dan kesedaran mengenai golongan transgender.

Berikut adalah sebahagian daripada isi perbualan kami (dalam Bahasa Inggeris) semasa bertemu di pejabat beliau di Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur.

Advertisement

Uthaya: Undang-undang dan peraturan menyebut mengenai “lelaki yang berpakaian seperti wanita”. Adakah transgender termasuk dalam kategori ini?

Sharan: Kalau dilihat pada undang-undang syariah di Malaysia, sangat jelas bahawa peraturan tertentu yang disangka ditujukan kepada golongan transgender sebenarnya ditujukan kepada golongan pondan atau bapok.

Enekmen undang-undang secara jelas menyebut mengenai “lelaki yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita untuk tujuan tidak bermoral”.  Undang-undang ini tidak merujuk atau bercakap mengenai transgender.

Advertisement

Hal ini kerana transgender atau mak nyah adalah golongan yang memiliki identiti seks (alat kelamin) lelaki dan identiti gender wanita (sejak dalam kandungan).

Sebaliknya, golongan bapok dan pondan pula golongan “lelaki sejati” – memiliki identiti seks lelaki dan identiti gender lelaki – yang suka berpakaian dan berkelakuan seperti wanita. Golongan cross-dresser inilah yang sebenarnya dimaksudkan dalam undang-undang. 

Malangnya, pihak berkuasa sendiri keliru dan tidak tahu membezakan antara transgender dan cross-dresser. Mereka gagal memahami hakikat bahawa transgender memiliki identiti gender wanita. Mereka hanya melihat transgender sebagai “lelaki yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita”. 

Tidak bolehkah seorang transgender cuba menerangkan hal ini kepada penguatkuasa yang menahannya?

Biasanya apabila transgender tampil memberikan penjelasan dan penerangan kepada pihak berkuasa, mereka secara mudah akan meminta kami merujuk kepada jantina yang tercatat pada sijil kelahiran.  Dalam hal ini, hakikat yang perlu difahami adalah bahawa sijil kelahiran diisi berdasarkan identiti seks (alat kelamin) sebaik bayi dilahirkan, sedangkan identiti gender (yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan) hanya diketahui apabila bayi berumur sekitar dua atau tiga tahun. 

Sharan menerima hakikat dirinya seorang transgender.
Sharan menerima hakikat dirinya seorang transgender.

Jawapan yang selalu diberikan pihak berkuasa adalah bahawa apa-apa yang tercatat dalam sijil kelahiran tidak boleh diubah. Jadi, persoalannya di sini, mengapa pula seseorang yang dilahirkan sebagai penganut agama Hindu, Kristian, Buddha, Sikh dan sebagainya boleh pula dibenarkan meninggalkan agama asal dan masuk Islam? Bukankah itu juga tindakan mengubah apa yang sudah tercatat pada sijil kelahiran?

Saya percaya semua ini berlaku berikutan tidak mendapat maklumat lengkap mengenai transgender. Misalnya tentang istilah-istilah yang digunakan itu sendiri; seperti “aravani” dan “bapok”.

Istilah “aravani” yang disering digunakan dalam filem Tamil sebenarnya merujuk kepada golongan cross-dresser dan bukannya transgender.  Sama juga seperti istilah “pondan” dan “bapok” yang selalu disalahguna untuk merujuk kepada transgender sedangkan ia sebenarnya merujuk kepada cross-dresser iaitu lelaki sejati yang suka berpakaian dan berkelakuan seperti wanita.

Golongan transgender pula bukan perpakaian dan berkelakuan seperti wanita kerana suka-suka, tetapi kerana identiti gender mereka memang wanita.  Identiti gender mereka boleh disahkan secara saintifik dan perubatan.  Berbalik kepada istilah “aravani”, semasa sambutan khas di Tamil, Nadu, India pada bulan Chittirai (April-Mei) setiap tahun, ia bukan bagi golongan transgender. Sebaliknya bagi cross-dresser, iaitu lelaki yang mahu “menjadi wanita” untuk suatu tempoh yang singkat dan kemudian kembali menjadi lelaki apabila perayaan itu selesai.

Beberapa tahun lalu, kerajaan Tamil Nadu memperkenalkan istilah “thirunangai” di mana “thiru” adalah panggilan hormat (seperti “encik” dan “tuan”) dan “nangai” bermakna wanita. Istilah ini khusus bagi transgender dan bukan bagi cross-dresser, pondan atau bapok.

Adakah setiap transgender akan melalui pembedahan alat kelamin bagi memastikan identiti seksnya sama dengan identiti gender? 

Identiti seorang transgender tidak mengambilkira sama ada identiti seks (alat kelamin) lelaki masih kekal atau sudah dibuang melalui pembedahan.  Tambahan pula, ramai transgender yang tidak mempunyai akses bagi pembedahan itu serta tidak mampu menampung kos yang tinggi.  Dalam hal ini, kita perlu faham akan pelbagai dilema dan masalah yang terpaksa ditanggung oleh golongan transgender. Mereka bukan sahaja dipinggirkan dan dipandang rendah oleh masyarakat yang jahil tentang realiti transgender (kerana tidak tahu membezakan antara transgender dan pondan).

Golongan transgender juga sukar mendapatkan pekerjaan kerana diskriminasi seks iaitu majikan hanya mahukan pekerja “lelaki” atau “wanita”.  Ramai juga transgender yang tidak ada pelajaran tinggi kerana turut menjadi mangsa tekanan dan ejekan sejak di sekolah.

Akibatnya, ramai pula yang menjadi pekerja seks kerana tidak ada pilihan lain. Maklumlah, perut masih perlu diisi. Dalam keadaan seperti ini, tentulah transgender tidak mampu menampung kos menjalani pembedahan bagi membuang identiti seks (alat kelamin).

Bercakap mengenai pembedahan, kita perlu fikirkan juga tentang pelbagai kos selepas pembedahan membuang alat kelamin itu dilakukan. Luka akibat pembedahan mengambil masa lebih 50 hari untuk sembuh.  Bayangkan seorang transgender yang tidak ada pekerjaan tetap, dipinggirkan oleh masyarakat dan keluarga, terpaksa pula menampung kos yang amat tinggi bagi pembedahan.

Atas sebab itulah juga transgender di Malaysia biasanya memilih untuk tidak membuat pembedahan. Mereka kekal dengan identiti gender wanita tanpa menghiraukan identiti seks (alat kelamin) lelaki yang dimiliki. Biasanya alat kelamin itu memang tidak berfungsi secara seksual.

Vadivelu sering tampil sebagai ‘bapok’ dan ‘pondan’ dalam filem Tamil.
Vadivelu sering tampil sebagai ‘bapok’ dan ‘pondan’ dalam filem Tamil.

Terangkan pula mengenai istilah “mak nyah” dan “pondan”. Adakah kedua-duanya sama?

Istilah “mak nyah” merujuk kepada golongan transgender dan berasal daripada gelaran “Madam Trans” yang digunakan dalam budaya Baba dan Nyonya di Melaka.

Istilah “pondan” pula merujuk kepada golongan transvestite yang sering pula suka menggelarkan diri mereka sebagai “tranny” dan “she-male”. Golongan ini adalah lelaki yang cuba mengubah penampilan diri mereka menjadi seperti wanita bagi tujuan tertentu, misalnya bagi seks, wang, sekadar suka-suka atau motif lain.

Perubahan mereka menjadi “wanita” adalah bagi tempoh tertentu sahaja.  Pada waktu lain, individu transvestite atau “pondan” ini akan kembali menjadi lelaki dan meneruskan hidup sebagai seorang lelaki, berkahwin dan mempunyai anak.

Berbeza dengan golongan transgender, individu transvestite tidak memiliki identiti gender wanita. Berbeza dengan transgender juga, golongan transvestite memiliki alat kelamin (zakar) yang masih berfungsi secara seksual.

Dalam kalangan kaum India dan penutur Bahasa Tamil, istilah yang betul adalah “thirunangai” (transgender). Istilah “aravani” pula terlalu umum dan turut merangkumi cross-dresser, transvestite dan sebagainya.  Istilah “aravani” berasal daripada gabungan kata “ara” (separuh, setengah) dan “vani” (wanita, perempuan). Ramai yang mengaitkannya dengan watak Aravan yang muncul dalam epik Mahabharata tetapi sebenarnya adalah dua kisah yang berbeza. Secara kebetulan sahaja nama “Aravan” dan “aravani” hampir serupa.

Maknanya gelaran “aravani” tidak sesuai digunakan? 

Penggunaan istilah “aravani” sebenarnya sangat menghina bagi golongan transgender kerana ia membawa makna “separuh lelaki, separuh wanita”.  Dalam kisah berdasarkan Mahabharata, Dewa Krishna memang mengambil rupa bentuk “separuh lelaki, separuh wanita” (aravani) untuk berkahwin dengan Aravan; bukannya muncul sebagai transgender.  Atas sebab itulah juga kisah Aravan yang dikaitkan dengan sambutan khas di Tamil Nadu sebenarnya tidak ada kaitan dengan golongan transgender.  Dalam pesta itu, ramai juga lelaki sejati dan berkerjaya seperti doktor dan peguam (maknanya bukan tidak berpendidikan) datang berpakaian menyerupai wanita.

Golongan cross-dresser dan aravani ini juga yang sering terlibat dalam memberikan “khidmat” seks lisan (oral sex) kepada golongan lelaki lain di sekitar kawasan di mana sambutan perayaan sedang berlangsung. Maknanya, mereka ini datang dengan motif dan tujuan seks. Mereka bukan golongan transgender.

Harus saya nyatakan bahawa golongan transgender tidak menghadiri upacara perayaan yang diadakan di Tamil Nadu pada bulan Chittirai (April-Mei). Sebaliknya ia dihadiri golongan cross-dresser, transvestite, pondan dan bapok; iaitu lelaki yang “berlakon” menjadi wanita. Malangnya, golongan transgender yang mendapat nama buruk.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]

** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.