13 OGOS — Orang kata kedatangan Aidilfitri satu masa yang menggembirakan, tetapi pemergian Ramadan yang sebulan bersamanya amat memilukan.

Sudah sebulan bermesra dengannya. Sejak petang orang sekampung atau setaman berkumpul di masjid atau surau bersama anak-anak untuk berbuka puasa. Surau dan masjid terang hingga tengah malam dimakmurkan orang yang beribadat Tarawih dan tadarus. Sekalian sudah terasa selesa dan seronoknya.

Dua hari sebelum kita ditinggalkan Ramadan, sudah terasa pilu dan sayunya. Jika boleh biar Ramadan jangan pergi. Betapa kasih pun kita pada Ramadan, ia tetap meninggalkan kita, bukan kita yang meninggalkannya.

Dulu kita rasa pelik betapa para sahabat Rasulullah SAW pilu dan menangis bila hendak ditinggal Ramadan. Sepatutnya mereka gembira kerana menyambut Hari Raya Puasa. Tetapi mereka muram dan dukacita.

Advertisement

Sejak beberapa tahun itu lalu tidak lagi pelik dengan kejadian di zaman Nabi dulu. Sebaik saja petang hariraya pertama, surau dan masjid lengang. Tidak sampai separuh jamaah yang hadir untuk solat maghrib. Selepas maghrib kebanyakannya hilang, beraya ke rumah jiran. Orang datang selepas maghrib hingga isya menunggu di rumah ibadat seperti berada di rumah hantu.

Menjelang isya baru ada yang datang dan lepas isya. Surau dan masjid pun gelap. Orang pulang ke rumah masing-masing dan kebanyakannya menjadi hamba di depan TV. Seronok dan nikmat Ramadan sudah hilang dan tidak dapat diganti oleh kegembiraan Aidilfitri.

Masing-masing mengambil lebih seminggu untuk membiasakan suasana muram dan dapat diselesakan oleh kuliah maghrib yang disambung semula.

Advertisement

Dulu saya terasa sangat kehilangan menjelang malam hari Aidilfitri itu. Tahun ini saya teresa kesunyian itu dua hari terakhir Ramadan. Imam jemputan Tarawih yang sudah sebelan bersamanya sudah pulang ke tempat asalnya untuk beraya bersama keluarga.

Mereka tidak dapat mengimamkan Tarawih terakhir itu. Setengah imam tempatan juga balik kampung beraya dengan keluarganya juga. Imam jemputan biasanya imam pilihan. Setelah sebulan bersamanya, telah membiasakan kita dengan imamnya itu. Bila mereka tidak ada, seolah-olah Ramadan sudah bersama mereka meninggalkan kita.

Sepuluh hari pertama Syawal biasanya orang menunaikan puasa enam. Orang puasa enam tidak berbuka di surau dan masjid. Tiada yang menyediakan makanan seperti berbuka Ramadan dulu. Masing-masing berbuka di rumah. Lepas berbuka barulah semuanya ke surau. Kebanyakan datang menjelang Isya. Itu yang menyebabkan pilu itu terasa.

Kita tidak perlu bicarakan lagi segala rahmat yang berganda bulan Ramadan. Adakah kita menjadi pilihan didatangi Lailatulqadr yang kita cari? Ada kita dapat semua syafaat dari ibadat sebulan itu? Keriangan biasa tiap-tiap malam Ramadan yang sudah meninggalkan itu saja cukup untuk menjadi kita sayu dan kesepian.

Yang diharap kini ialah menunggu Ramadan datang kembali sebelum bulan lagi. Amat bertuah kiranya kita ada lagi bila datang semula. Mengapa Ramadan itu tidak bersama kita sepanjang tahun supaya cerianya itu dinikmati berterusan? Adalah hikmat Allah jadikan begitu. Kerana ia datang sebulan saja itu menjadikan kita merasa akan keistimewaannya.

Memanglah bagi ahli ibadat cinta adalah sejati kepada Ramadan. Tiada kata pada mereka akan kemanisannya. Bahkan yang yang mendatar ibadatnya Ramadan itu satu rahmat besar, kerana mereka mengaut untung besar berniaga di Pasar Ramadan.

Kata MB Khalid Ibrahim tahun ini peniaga Ramadan untung besar kerana tidak hujan. Mereka berniaga setiap hari. Bagi mereka pemergian Ramadan juga dikira satu kerugian. Kalau boleh mereka juga mahu Ramadan itu sepanjang tahun.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.