6 MEI — Saya ada terbaca liputan media mengenai teknologi generasi kelima atau 5G yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini. Jujur kata, saya bukanlah seorang yang arif mahupun celik mengenai isu teknologi sebegini.

Bagi rakyat marhaen seperti saya sendiri, apa yang lebih penting adalah sebarang pelaksanaan inisiatif yang dibuat haruslah memberi manfaat dan kemajuan bukan sahaja kepada kehidupan rakyat bahkan juga kepada negara secara keseluruhannya.

Dikhabarkan pelbagai teknologi terkini daripada 5G telah diketengahkan seperti kereta tanpa pemandu, hologram, simulasi dron dan bermacam-macam lagi. Sambutan yang diberikan oleh para pengunjung juga amat baik apabila dianggarkan 10,000 orang mengunjungi pameran berkenaan.

Di sebalik euforia atau kegembiraan terhadap kejayaan Pameran 5G itu, terdapat juga perdebatan yang berlangsung ketika ini mengenai sejauhmanakah selamatnya teknologi 5G kepada kesihatan manusia.

Advertisement

Masing-masing dengan pendapat, teguran mahupun kritikan tersendiri berpandukan apa yang mereka tahu dan faham mengenai 5G. Ada yang menyokong dan melihat teknologi ini mampu merubah kehidupan mereka. Hakikatnya, manfaat daripada teknologi 5G adalah cukup jelas. Kelajuan meningkat dan kadar kependaman rangkaian rendah membolehkan pelbagai perkara dilakukan.

Para petani umpamanya boleh mengesan kadar kelembapan tanah dan keasidan secara masa nyata dengan adanya teknologi 5G sekaligus memaksimumkan hasil tuai mereka. Para nelayan pula memaksimumkan hasil tangkapan mereka menggunakan teknik-teknik yang tepat. Begitu juga dengan para doktor yang kini berupaya untuk menjalankan sesi konsultasi dan pradiagnosis melalui panggilan video terhadap pesakit-pesakit mereka tanpa perlu berada di lokasi.

Namun begitu, terdapat pihak atau pengkritik yang berpendapat bahawa teknologi 5G membawa kesan negatif kepada kehidupan mereka khasnya daripada aspek kesihatan.

Advertisement

Benarkah begitu?

Jika anda melayari laman-laman sesawang di Internet, maklumat atau input mengenai isu berkenaan ada di merata tempat dan dalam kuantiti yang banyak.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan daripada mana input-input sedemikian diperoleh oleh mereka yang berkenaan.

Apa yang berbangkit barangkali timbul lantaran daripada kurangnya kefahaman orang awam mengenai isu 5G. Apa yang diperolehinya adalah cakap-cakap atau khabar angin daripada sumber-sumber yang boleh dipertikaikan.

Apabila ada pihak yang mengatakan 5G membawa mudarat kepada kesihatan manusia, persoalannya apakah kebimbangan itu didasari oleh cakap-cakap oleh pihak tertentu yang tidak berasaskan kepada fakta yang sahih?

Hakikatnya, tidak ada bukti konkrit mahupun keputusan yang konklusif yang membuktikan bahawa 5G membawa mudarat kepada kesihatan manusia.  Profesor di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Komunikasi Tanpa Wayar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Tharek Abd Rahman memberitahu, kajian-kajian yang dijalankan setakat ini mendedahkan, pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (Radio Frequency Electromagnetic Field atau RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection(ICNIRP).

Selain itu, menurut beliau lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandukan kepada 25,000 artikel penyelidikan yang diterbitkan sepanjang 30 tahun lepas merumuskan, bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

Kalangan saintis juga bersetuju bahawa sebarang kesan kesihatan hasil daripada pendedahan terhadap tahap EMF yang rendah, adalah sangat kecil berbanding dengan risiko-risiko kesihatan yang dihadapi oleh orang awam saban hari.

Pihak Scientific Committee on Emerging and Newly Identified Health Risks (SCENIHRdalam satu laporan mengenai potential health effects of exposure to Electromagnetic Fieldsyang dikeluarkan pada Januari 2015 turut mendedahkan, kajian epidemiologi terhadap pendedahan RF-EMF telefon bimbit tidak menunjukkan peningkatan risiko kepada ketumbuhan otak dan jenis kanser yang lain pada bahagian kepala dan leher.

Ingin ditegaskan juga, tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan terhadap EMF berskala rendah adalah kurang tepat. Bukti-bukti saintifik tidak menunjukkan sebarang perkaitan dengan simptom-simptom tersebut.

EMF tergolong di bawah kategorinon-ionizing radiation yakni gelombang yang kuantumnya tidak cukup kuat untuk memecahkan atau menganggu struktur sesuatu molekul berbanding dengan ionizing radiation.

Dalam konteks ini, pendedahan terhadap non-ionizing radiation hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu-tisu badan. Ionizing radiation pula mempunyai kesan yang sebaliknya. Bermakna, apabila struktur molekul telah berubah, fungsi-fungsi molekul yang berkaitan juga mungkin akan berubah.

Justeru, usahlah kita membuat sebarang tanggapan atau tuduhan melulu mengenai isu ini tanpa menyelami atau memahami dahulu latar belakang isu berkenaan. Jika tak faham, tanya bukannya membuat kesimpulan yang melulu. Lagipun pelaksanaan secara komersial teknologi 5G di Malaysia dijangka mengambil masa beberapa tahun lagi, mungkin pada 2021 atau 2022.

Jika berkesempatan juga, buat kajian dan nilai sendiri sejauhmana kebenaran tanggapan berkenaan. Itu sebabnya adalah kritikal kempen kesedaran dan pemahaman dipertingkatkan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memberi penerangan jitu mengenai isu yang berbangkit.

* Tulisan di atas hanya pandangan peribadi penulis.