15 FEBRUARI — Kenyataan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini mengenai sikap pengguna jalan raya memandang remeh terhadap kompaun RM300 mencuri perhatian.
Menurut Khalid, jumlah kompaun sebanyak RM300 yang dikenakan ke atas pesalah jalan raya seolah-olah begitu mudah dibayar oleh mereka. Malah, sikap pengguna jalan raya masih di takuk lama apabila statistik Ops Selamat 8 masih tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.
Apa yang diluahkan oleh Khalid itu sebenarnya bukanlah perkara baharu. Sebaliknya, ia merupakan cerminan kepada sikap dan belang sebenar kebanyakan pengguna jalan raya di negara ini. Apa yang diluahkan itu memang ada asasnya. Jika anda tidak percaya, cuba lihat di sekeliling anda ketika anda memberhentikan kereta di persimpangan jalan. Ataupun ketika anda cuba menyeberangi sebatang jalan raya yang sibuk?
Apa yang anda nampak? Apakah anda rasa selamat ketika melakukan kedua-dua perkara tersebut? Kebarangkaliannya, anda mungkin akan ternampak pembonceng motosikal cuba memecut laju biarpun lampu isyarat sudah menunjukkan warna merah. Tak kurang juga, terdapat kalangan pemandu kereta atau lori yang akan terus memecut apabila lampu isyarat tidak berfungsi.
Apa sudah jadi dengan sikap pengguna kita? Kenapa begitu cepat merah? Mengapa enggan mematuhi peraturan-peraturan di jalan raya? Adakah ia begitu sukar untuk dipatuhi ataupun kurangnya dan lemahnya penguatkuasaan oleh pihak penguatkuasa?
Untuk menjawab persoalan ini, ada baiknya juga kita mengimbas kembali kepada tindakan-tindakan yang pernah diambil oleh pihak penguatkuasa selama ini. Jika kita masih ingat satu ketika dahulu, pesalah jalan raya diberikan diskaun untuk melangsaikan kompaun mereka.
Soalnya, mengapakah pesalah-pesalah jalan raya perlu diberikan diskaun untuk melangsaikan kompaun mereka? Keputusan untuk memberikan diskaun bukan sahaja tidak kena pada tempat bahkan memberikan isyarat kepada pesalah jalan raya bahawa pihak penguatkuasa seolah-olah menghalalkan tindakan berkenaan. Ia juga seolah-olah memberi gambaran bahawa aspek penguatkuasaan begitu lemah.
Yang pasti, mereka yang melakukan kesalahan haruslah berhadapan dengan muka pengadilan dan menerima hukuman yang sewajarnya, bukannya berlindung seperti seorang pengecut. Undang-undang yang dirangka dan digubal bagi mewujudkan kestabilan dan ketertiban dalam sesebuah masyarakat.
Cuba bayangkan jika sesebuah negara yang tidak ada undang-undang. Bayangkan juga apakah yang akan berlaku jika semua batang jalan raya di negara ini tidak ada lampu isyarat dan undang-undang. Pastinya dalam fikiran umum, keadaan akan menjadi kacau-bilau.
Mematuhi peraturan atau undang-undang negara bukanlah sesuatu yang sukar. Seperti mana kita diajar di bangku sekolah dahulu untuk mematuhi segala peraturan, sikap sedemikian seharusnya dibawa ke mana sahaja kita berada.
Kepada pesalah-pesalah jalan raya, bermuhasabah dan tanyalah kepada diri sendiri apakah manfaat yang anda peroleh apabila anda terus memecut kenderaan biarpun lampu isyarat sudah menunjukkan warna merah? Apakah ego anda lebih penting daripada nyawa pengguna-pengguna jalan raya yang lain? Apakah anda akan mendapat sesuatu apabila anda memecut kenderaan anda?
Ingatlah, jalan raya ini bukan milik seseorang individu sahaja tetapi ia adalah milik semua pengguna. Oleh yang demikian, sentiasalah bertolak-ansur dan memikirkan juga keselamatan orang lain.
Tidak dinafikan, kompaun RM300 bukanlah satu jumlah besar untuk sesetengah pesalah jalan raya lebih-lebih lagi mereka yang datang daripada keluarga berada. Akan tetapi, itu bukanlah alasan utama untuk mereka memandang remeh peraturan jalan raya.
Apapun, jaminan oleh Tan Sri Khalid bahawa PDRM akan terus menguatkuasakan undang-undang jalan raya dan tidak memberikan sebarang pengurangan kompaun wajar disambut baik dan seharusnya semua pengguna jalan raya memberikan kerjasama kepada polis. Tentunya kita tidak mahu melihat jalan raya di negara ini dipenuhi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan di merata tempat gara-gara kerana kecuaian pemandu sendiri.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
