MEI 26 — Kesemua 15 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Siru Kambam, Taiping dijangka lulus cemerlang, sekali gus membuktikan bahawa murid-murid SJKT mampu mendapat 7A.
“Kami yakin bahawa sekolah ini akan mencipta rekod baru yang bakal menggegarkan negara. Saya sendiri tidak sabar menanti ketibaan tarikh UPSR,” kata guru besar sekolah berkenaan yang lebih mesra dengan panggilan Puan Guru Besar.
.jpg)
Beliau berkata demikian semasa dikunjungi untuk mendapatkan sedikit maklumat bagi menghasilkan sebuah faksyen (fakta + fiksyen) berkaitan isu UPSR di SJKT.
Pada Mac 2013, seorang pesara guru, Puan Parameswari (bukan nama sebenar) mendedahkan bahawa pernah ada usaha oleh Pertubuhan Politik India (PPI) untuk menjual tanah milik SJKT Ladang Siru Kambam.
“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu kerana tumpuan saya hanya terhadap kecemerlangan akademik murid-murid sejak saya menjadi guru besar di sini. Saya tidak mahu ambil tahu apa-apa perkara lain,” kata Puan Guru Besar dengan tegas.
Beliau lebih berminat untuk bercakap mengenai UPSR yang dianggapnya sebagai cabaran terbesar dalam kehidupan mana-mana murid Tamil di SJKT. Beliau juga mengakui bahawa PPI selalu membantu bagi memastikan kecemerlangan UPSR.
“Saya tidak tahu dan tidak mahu komen tentang mana-mana 523 SJKT lain di negara kita. Apa yang penting bagi saya adalah untuk memastikan murid-murid saya (SJKT Ladang Siru Kambam) lulus cemerlang dalam UPSR. Kita perlu buktikan bahawa murid-murid kita memang hebat. Itu juga impian PPI,” katanya dengan penuh semangat.
Semasa tinjauan dilakukan baru-baru ini, murid-murid Tahun Enam (calon UPSR) didapati sedang mengikuti kelas khas melibatkan belon berwarna merah, biru, kuning dan hijau. Tanggapan saya bahawa mereka sedang belajar mata pelajaran Sains ternyata meleset jauh.
“Saya ditugaskan untuk mengajar murid-murid ini pada setiap hari untuk menghafaz bahawa belon merah mewakili A, belon biru mewakili B dan seterusnya. Perkara ini penting bagi semua kertas melibatkan soalan objektif dalam UPSR nanti,” seorang guru muda menjelaskan sambil tersipu-sipu.
Selepas diberikan penerangan dan demonstrasi ringkas, saya faham apa yang dimaksudkan. Semasa UPSR berlangsung, Puan Guru Besar akan melintas di luar dewan peperiksaan sambil memegang sebiji belon.
Kalau belon itu berwarna kuning, murid-murid akan tahu bahawa jawapan bagi soalan objektif yang pertama adalah C. Kalau belon hijau, jawapan adalah D. Murid-murid boleh menjawab tanpa perlu membaca soalan!
Guru-guru diarah tulis jawapan
Selepas guru besar melintas, guru-guru lain juga akan melintas seorang demi seorang sambil memegang belon yang mewakili jawapan bagi soalan kedua, ketiga dan seterusnya.
“Kami terpaksa recycle atau guna semula enam orang guru sahaja,” kata guru berkenaan sambil masih tersipu-sipu. “Puan Guru Besar pula hanya melintas sekali iaitu supaya murid-murid tahu itulah jawapan bagi soalan pertama.”
Bagi soalan subjektif, membina ayat dan menulis karangan pula, teknik dan taktik lain terpaksa digunakan. Saya mendengar dengan penuh rasa hairan dan terkejut apabila diceritakan oleh beberapa guru yang sempat diwawancara tanpa pengetahuan Puan Guru Besar.
Sekitar dua jam sebelum ujian bermula, murid-murid dikumpulkan di bilik darjah. Guru mata pelajaran terbabit akan cepat-cepat menulis jawapan bagi soalan-soalan subjektif, membina ayat dan karangan pada papan putih.
“Murid-murid akan diminta menghafaz dengan cepat sebagai persediaan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Menerusi cara ini, kami yakin bahawa murid-murid kami akan mampu menulis jawapan yang hebat dan layak diberikan markah penuh,” kata seorang guru panitia Bahasa Tamil.
Walaupun SJKT Ladang Siru Kambam hanya wujud dalam khayalan dan dunia faksyen, amalan di sekolah itu masih tetap membimbangkan. Malah, beberapa guru sekolah itu sendiri meluahkan rasa tidak bersetuju dengan apa yang berlaku.
.jpg)
“Apa gunanya kami bersusah-payah dan bertungkus-lumus mengajar murid di kelas kalau akhirnya Puan Guru Besar hanya mahukan mereka menghafaz jawapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan?” Demikian tanya seorang guru yang meminta identitinya dirahsiakan.
Beberapa lagi guru sekolah berkenaan – turut meminta identiti dirahsiakan – risau memikirkan masa depan murid-murid SJKT sekiranya amalan tidak beretika itu diteruskan. Namun, mereka tidak berani melawan Puan Guru Besar yang dikatakan turut memegang jawatan penting dalam PPI Cawangan Siru Kambam.
“Rata-rata murid kami, apabila mereka masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Che’ Wan Thani, mereka akan menghadapi kejutan budaya kerana tidak ada sesiapa yang akan membantu mereka untuk menipu dalam peperiksaan. Keputusan cemerlang dalam UPSR langsung tidak membantu. Akhirnya mereka tercicir dalam pelajaran dan terlibat dalam pelbagai masalah disiplin.”
Apabila perkara ini kemukakan kepada Puan Guru Besar, beliau hanya ketawa sambil membetulkan kedudukan cermin matanya. Mukanya kelihatan sedikit merah; mungkin kerana tidak menyangka guru-gurunya akan mendedahkan terlalu banyak maklumat dan rahsia semasa diwawancara.
Murid SJKT “rosak” apabila ke SMK
“Tugas dan tanggungjawab kami hanya sehingga mereka menduduki UPSR. Apabila masuk ke SMK, biarlah guru-guru Tamil di sana memikul tanggungjawab membantu budak-budak ini. Tetapi guru-guru Tamil di SK (sekolah kebangsaan) dan SMK memang kurang semangat membantu kaum sendiri,” kata Puan Guru Besar seketika kemudian dengan selamba.
Dia berpendapat bahawa guru-guru Melayu di SK dan SMK juga membantu pelajar Melayu menipu dalam ujian dan peperiksaan. Bagaimanapun, dia tidak mampu mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong tuduhan liar itu.
Pada pandangannya, murid-murid Tamil (kaum India) amat cemerlang, berhemah, bermoral, berdisiplin, berilmu, berbudaya dan mempunyai nilai-nilai murni sepanjang belajar di SJKT selama enam tahun.
“Saya tidak akan bercakap mewakili mana-mana SJKT lain tetapi inilah realiti murid-murid kami (SJKT Ladang Siru Kambam). Apabila mereka ke SMK Che’ Wan Thani, mereka menjadi rosak dari semua segi. Kami menghantar produk yang baik dari SJKT tetapi mengapa mereka boleh rosak? Tentulah kerana kelemahan di SMK,” katanya dengan tegas tanpa memberi ruang berhujah.
Murid-murid SJKT Ladang Siru Kambam turut cemerlang dalam UPSR 2013. Bagaimanapun, apabila dihubungi editor sebuah majalah kanak-kanak yang mahu membuat liputan khas serta mewawancara murid-murid yang mendapat 7A, Puan Guru Besar menolak.
“Saya terpaksa melindungi murid-murid saya. Mungkin wartawan majalah akan tanya soalan yang macam-macam dan murid-murid saya yang tidak berdosa akan mendedahkan rahsia sebenar kejayaan mereka.
“Bagi UPSR tahun lalu, sejam sebelum masuk ke dewan peperiksaan, saya mengarahkan para guru tolong tulis jawapan pada jari murid-murid. Guru pengawas yang datang dari sekolah lain juga membantu memberikan jawapan semasa peperiksaan berlangsung. Kami melakukannya atas semangat saling membantu sebagai orang Tamil. Kalau bukan orang Tamil membantu sesama sendiri, siapa lagi?”
Tanpa mengendahkan soalan retorik itu, saya segera teringat akan “khabar angin” melibatkan beberapa SJKT di sebuah negeri tertentu yang kononnya didapati “saling membantu” semasa UPSR, beberapa tahun lalu.
Saya tidak pasti bagaimana SJKT Ladang Siru Kambam boleh terselamat daripada dicekup pihak berkuasa sedangkan ia secara terang-terangan melakukan jenayah penipuan serta menghancurkan masa depan generasi muda kaum India.
Jawapannya tentulah mudah: SJKT Ladang Siru Kambam tidak wujud dalam realiti. Segala amalan penipuan yang didedahkan menerusi makalah ini mungkin hanya berlaku dalam dunia faksyen.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
