11 FEB — Isu sistem pendidikan di Malaysia adalah antara isu hangat yang sering dibincangkan oleh masyarakat Malaysia. Ini adalah isu “wajib bincang” baik pada peringkat pembuat dasar mahupun ke peringkat rendah sesama pelajar sendiri.

Pada pendapat saya, sistem pendidikan kita berada pada satu tahap yang boleh dikatakan di satu persimpangan. Sistem kita masih mencari haluan yang jelas walaupun seringkali kerajaan tampil dengan dasar dan idea baru. Saya tidak mempunyai akses maklumat bagaimana dasar atau gagasan idea baru dibentuk pada peringkat Kementerian Pelajaran. 

Namun begitu, sistem kita seolah-olah terganggu dengan isu konsistensi; baik daripada isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehinggalah ke sistem penilaian yang digunapakai sekarang untuk menilai pelajar setelah pemansuhan beberapa peperiksaan awam yang utama. Kita juga masih bergelut dalam isu guru yang berkemahiran tinggi dalam Bahasa Inggeris. Isu-isu ini jikalau tidak diselesaikan dengan baik akan menghalang fokus kita dalam menghasilkan pelajar yang matang dan kreatif.

Setakat pemerhatian saya sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat sistem pendidikan kita tidak menyediakan pelajar-pelajar untuk menghadapi sepenuhnya alam universiti dan alam pekerjaan. Pemerhatian saya, kebanyakan daripada rakan-rakan saya masih bergelut dalam isu penguasaan Bahasa Inggeris yang baik (saya sendiri masih bergelut dalam usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris).

Advertisement

Ramai yang berpendapat jikalau sudah menguasai Bahasa Inggeris secara asas itu sudah memadai. Ini adalah sesuatu yang tidak benar kerana penguasaan yang baik sebenarnya akan meletakkan seorang mahasiswa lebih jauh ke depan. Kebanyakan daripada rakan-rakan saya (mahasiswa undang-undang) mempunyai pelbagai idea untuk dilontarkan ketika berbincang tetapi mengalami masalah untuk menyatakan dengan baik dalam Bahasa Inggeris.

Peluang yang terhad untuk menyatakan pendapat dalam Bahasa Inggeris sebenarnya ada kesan yang jauh lebih besar kepada mahasiswa. Mahasiswa tidak mempunyai keyakinan penuh untuk bersuara dan menyatakan pendapat dengan matang dalam Bahasa Inggeris. Disebabkan mereka tidak yakin, mereka menjadi tidak aktif dalam perbincangan, gemar berdiam diri dan akhirnya hanya mengambil pendirian untuk bersetuju dengan pendapat rakan yang dilihat agak fasih berbahasa Inggeris (walaupun hujah mungkin sedikit mengarut dan tidak tepat). 

Dalam dunia yang semakin mengecil, penguasaan Bahasa Inggeris bukan lagi satu kelebihan, sebaliknya satu kemestian. Saya berpendapat sistem pendidikan rendah dan menengah tidak berupaya menghasilkan pelajar yang mahir berbahasa Inggeris secara sepenuhnya. Hal ini dapat dijelaskan apabila beberapa subjek khas diwujudkan di universiti hanya untuk memastikan penguasaan Bahasa Inggeris mahasiswa menjadi semakin baik. 

Advertisement

Saya berpendapat subjek-subjek ini mengambil masa dan membebankan mahasiswa apabila masa itu lebih baik digunakan untuk membuat kajian ataupun bacaan berkaitan dengan kursus yang diambil di universiti. Universiti terpaksa mengambil tanggungjawab untuk memajukan mahasiswa dengan kemahiran-kemahiran ini sedangkan sistem pendidikan rendah dan menengah yang sepatutnya mengambilalih tanggungjawab ini.

Ada pihak menggesa agar PPSMI dikembalikan. Saya secara peribadi berpendapat bahawa PPSMI tidak perlu kembali. Untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, pendekatan yang patut diambil adalah dengan memperkasa subjek Bahasa Inggeris, bukannya mengajar dengan subjek lain. Ada yang berpendapat tidak mengapalah diajar dengan subjek lain asalkan pelajar tahu beberapa istilah dan terma dalam bahasa Inggeris. Kita tidak boleh mengambil pendekatan “separuh-separuh” kerana sudah tentulah nanti hasilnya juga “separuh-separuh”.

Saya berharap kerajaan akan terus menumpukan usaha kepada memperkasa subjek Bahasa Inggeris dan menambah jumlah guru mahir berbahasa Inggeris. Jikalau masalah ini dapat diatasi, rungutan daripada industri bahawa graduan lemah berbahasa Inggeris akan dapat diselesaikan.

* This is a personal opinion of the columnist.