25 NOV — Kekurangan maklumat sebenar mengenai seksualiti membuatkan orang ramai menganggap transgender sebagi perosak masyarakat.

Pada masa sama, media yang dikuasai politikus pula melaksanakan agenda jahat dalam memberikan gambaran paling negatif mengenai golongan minoriti ini.

Demikian antara pandangan yang dikongsikan oleh Sharan Suresh semasa kami berbual-bual di pejabatnya di Kuala Lumpur menjelang Hari Memperingati Transgender (Transgender Day of Remembrance) pada 20 November 2013.

Catatan perbualan saya bersama-sama advokator hak kemanusiaan ini mungkin dapat memainkan peranan yang gagal dimainkan oleh media arus perdana dalam tugas mendidik dan menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakat.

Advertisement

Uthaya: Apakah sifat-sifat feminin yang ditunjukkan bermakna seseorang lelaki itu adalah transgender?

Sharan: Keadaan feminin dan maskulin adalan aspek personaliti seseorang. Ia tiada kaitan dengan identiti gender dan identiti seks individu terbabit.

Seksualiti atau orientasi seks merujuk pada persoalan “sebagai seorang individu, kepada siapakah saya tertarik?” Kalau seseorang tertarik kepada individu dari jantina yang sama, orientasi seks itu dikenali sebagai homoseksual.

Advertisement

Individu yang tertarik kepada kedua-dua jantina dirujuk sebagai biseksual manakala individu yang hanya tertarik kepada individu daripada jantina bertentangan dikenali sebagai heteroseksual.

Itulah maksud “seksualiti” secara mudah. Bagaimanapun, semua itu hanyalah label yang digunakan untuk memudahkan pemahaman. Dalam realiti kehidupan, keadaan adalah lebih rumit untuk dilabelkan secara mudah seperti itu.

Misalnya, jika anda seorang lelaki heteroseksual, adakah anda tertarik kepada semua wanita heteroseksual yang dilihat? Begitu juga jika anda seorang wanita heteroseksual, adakah anda tertarik kepada semua lelaki heteroseksual?

Keadaan seseorang tertarik (attracted) kepada seorang individu lain berlaku apabila individu itu melihat atau merasakan sesuatu pada orang tadi. Mungkin reaksi kimia (chemical reaction), reaksi berciri fizikal atau tertarik pada gaya hidup orang berkenaan.

Atas sebab itulah saya melihat istilah gay, homoseksual, lesbian, bisexual dan heteroseksual sebagai label semata-mata. Bolehkah kita mengawal atau menentukan kepada siapa seseorang boleh tertarik?

Akan tetapi, bukankah selalunya hubungan homoseksual dilihat sebagai salah? Kononnya naluri seperti itu perlu dibetulkan?

Kalaulah ada orang tampil mengatakan bahawa keadaan atau naluri homoseksual boleh dikawal — iaitu kita boleh menentukan dengan siapa kita tertarik — maka bukankah bermakna naluri heteroseksual juga boleh dikawal dan diubah kepada naluri homoseksual atau bisexual?

Apabila seorang individu tertarik kepada seorang individu lain, mustahil sesiapa pun boleh menghalang atau mengubah perasaan itu. Peminat filem Tamil dan Hindu pasti memahami falsafah mudah ini.

Sekadar contoh, katakanlah Wanita A tertarik (attracted) kepada Lelaki B tetapi dihalang oleh keluarga. Kemudian Wanita A dipaksa berkahwin dengan Lelaki C. Adalah mustahil untuk mengharapkan Wanita A tidak lagi tertarik kepada Lelaki B atau pun mula tertarik kepada Lelaki C semata-mata kerana Wanita A dan Lelaki C berkahwin.

Begitulah juga dengan orientasi seksual yang dilabelkan sebagai homoseksual, gay dan lesbian. Seksualiti tidak boleh diubah secara paksaan seperti yang selalu dinyatakan dalam kempen anti-LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) oleh pihak yang tidak cukup ilmu.

Seksualiti termasuk dalam “identiti gender” iaitu apa yang sudah terakam dalam minda seseorang sejak dalam kandungan ibu. Identiti seks pula merujuk kepada alat kelamin (zakar/faraj) yang dimiliki seseorang.

Harus saya akui, ada juga situasi dan kes di mana orientasi seksual itu diubah oleh individu itu sendiri. Misalnya, ada kes di mana lelaki sudah banyak kali ditipu oleh wanita dalam soal cinta.

Akibatnya, lelaki heteroseksual itu membuat keputusan dan ketetapan tidak mahu lagi bercinta — tertarik secara seksual — dengan wanita. Maka dia mula menyalurkan perasaan cinta dan naluri seksual itu terhadap lelaki lain.

Kempen dilakukan pihak yang kurang tahu isu sebenar.
Kempen dilakukan pihak yang kurang tahu isu sebenar.

Maknanya seorang lelaki heteroseksual boleh berubah menjadi homoseksual?

Tidak boleh. Dalam contoh tadi, lelaki tersebut tidak akan kekal lama dalam situasi itu kerana dia tetap seorang heteroseksual. Seksualitinya bukan homoseksual tetapi dia hanya bereksperimen akibat dikecewakan wanita. Akhirnya dia tetap akan kembali tertarik dengan wanita dan bercinta dengan wanita.

Apa yang mahu saya tekankan menerusi contoh ini adalah bahawa seksualiti atau identiti gender seseorang tidak boleh diubah atau dipaksa untuk berubah.

Masalah dalam masyarakat kita adalah bahawa terdapat golongan yang tidak memahami secara tepat dan mendalam segala maklumat berkaitan topik-topik yang dianggap terlalu sensitif ini.

Lebih malang apabila kelompok itu sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman ke atas golongan minoriti seperti transgender, homoseksual dan lesbian. Kononnya LGBT musuh masyarakat, punca segala masalah sosial, mengamalkan cara hidup bertentangan dengan agama dan sebagainya.

Bercakap tentang soal agama, setiap agama di dunia ini menekankan bahawa Tuhan mencintai setiap manusia yang merupakan ciptaan-Nya. Jadi kenapa pula ada pihak yang pandai-pandai bercakap mewakili Tuhan; kononnya Tuhan akan melaknati golongan transgender?

Apa yang jelas adalah bahawa nama Tuhan dimanipulasi dan dipergunakan oleh golongan tertentu dengan niat menzalimi, meminggirkan dan menindas golongan minoriti seperti LGBT.

Dalam media arus perdana, transgender semakin banyak dikaitkan dengan masalah sosial. Apakah pandangan anda terhadap perkembangan ini?

Semasa Seksualiti Merdeka diharamkan dahulu, alasan yang diberikan adalah kononnya acara itu melibatkan pesta seks bebas. Alasan itu memang amat menjijikkan dan ternyata mempunyai motif politik.

Media tempatan sering memaparkan golongan LGBT secara amat negatif kerana walaupun mengikut Perlembagaan, Malaysia bukan sebuah negara Islam seperti sering digembar-gemburkan, penduduk majoriti adalah beragama Islam.

Pada penelitian saya, kelihatan seolah-olah politikus menindas golongan LGBT dalam usaha mendapatkan sokongan penduduk majoriti (Melayu-Islam). Pihak penguatkuasa agama Islam (tidak semestinya agamawan atau pakar agama) pula menggunakan isu LGBT untuk menunjukkan mereka ada kuasa.

Secara logik, sekiranya politikus dan penguatkuasa agama tidak menggembar-gemburkan isu LGBT dari semasa ke semasa, mereka tidak akan ada penyokong daripada kalangan majoriti (Melayu-Islam).

Media arus perdana pula hanya berminat (kerana diarahkan pihak tertentu) memaparkan berita negatif mengenai golongan transgender; selalunya sebagai pekerja seks (pelacur).

Amat menghairankan dan menyedihkan kerana golongan transgender yang berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya dan dunia korporat tidak pula dipaparkan dalam media arus perdana. Segala kejayaan mereka “terlepas” daripada pandangan media.

Secara purata, 72 transgender dibunuh setiap tahun tetapi tidak ada pula laporan yang adil di media arus perdana. Seolah-olah segala kes pembunuhan, penindasan dan kezaliman ke atas golongan LGBT tidak berlaku; lalu tidak dilaporkan langsung.

Baru-baru ini, di Kuantan, Pahang, seorang transgender diserang secara ganas dan parah dicederakan dengan senjata tajam. Malangnya berita tentang kejadian itu tidak dilaporkan di media.

Sharan mahu mendidik masyarakat tentang transgender.
Sharan mahu mendidik masyarakat tentang transgender.

Mungkinkah ada ‘tangan-tangan halus’ di sebalik semua ini?

Hal ini berlaku kerana kerajaan mengawal media; politikus menguasai media. Agenda politikus adalah untuk menimbulkan rasa benci orang ramai — khususnya penduduk majoriti Melayu-Islam — terhadap golongan transgender bagi tujuan mendapatkan sokongan undi untuk kekal berkuasa.

Malah, kempen anti-LGBT menyusup masuk ke sekolah baru-baru ini melalui garis panduan mengenal pasti pelajar gay dan lesbian. Politikus terbukti sanggup melakukan apa sahaja untuk terus memegang kuasa. Cara paling mudah adalah dengan menjadikan golongan minoriti (termasuk LGBT) sebagai kambing hitam.

Pada penelitian saya sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja advokasi transgender, politikus di Malaysia bersikap hipokrit. Mereka sanggup memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadi.

Misalnya politikus dan penguatkuasa agama seolah-olah bergabung tenaga menjadikan transgender sebagai “alat” untuk mencapai agenda politik masing-masing; demi mendapatkan sokongan masyarakat majoriti Melayu-Islam.

Cara paling mudah adalah dengan tidak memberikan maklumat sebenar kepada orang ramai menerusi media arus perdana yang dikuasai dan dikawal oleh politikus.

Sebaliknya mereka menyebarkan maklumat salah dengan niat menghasut orang ramai membenci golongan transgender. Contoh paling mudah adalah apabila transgender digambarkan sebagai “lelaki yang berpakaian seperti wanita di tempat awam untuk tujuan tidak bermoral”.

Manipulasi dilakukan ke atas undang-undang dan hukum syariah yang sebenarnya merujuk kepada golongan lelaki cross-dresser. Masyarakat dikelirukan sehingga mereka turut mempercayai bahawa transgender (individu yang memiliki “identiti gender” wanita sejak dalam kandungan) adalah sama dengan pondan, bapok atau transvestite iaitu “lelaki sejati” yang gemar berpakaian dan berkelakuan seperti wanita.

Adakah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjadi penghalang kepada gologan transgender kerana dianggap sebagai lelaki yang berpakaian seperti wanita?

Kita perlu faham bahawa enekmen dan undang-undang kecil itu berasaskan undang-undang syariah. Maknanya, hanya tertakluk ke atas orang beragama Islam. Malah, usah kita lupa bahawa undang-undang syariah tertakluk di bawah kuasa negeri; dan berbeza-beza mengikut negeri.

Definisi tehadap “lelaki yang berpakaian seperti wanita di tempat awam untuk tujuan tidak bermoral” juga berbeza-beza mengikut beberapa negeri. Lebih parah apabila penggubal undang-undang syariah itu sendiri tidak tahu membezakan antara transgender (mak nyah) dan transvestite (bapok/pondan).

Apa-apa pun, undang-undang syariah ini tidak mengatasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahu pun kuasa Mahkamah Persekutuan. Apatah lagi apabila melibatkan transgender Bukan Melayu-Islam.

Walau bagaimanapun, politikus dan penguatkuasa agama sentiasa suka memetik daripada undang-undang syariah kerana mereka mahu orang ramai “tertipu” dan mempercayai bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Akan tetapi, sekiranya orang ramai — khususnya transgender — mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan, undang-undang serta bidang kuasa PBT dan penguatkuasa agama, maka politikus dan penguatkuasa agama tidak boleh terus-menerus memperbodohkan kita.

Statistik menunjukkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 30,000 transgender yang celik huruf di Malaysia; khususnya di kawasan bandar. Pasti ada ramai lagi transgender yang buta huruf, kurang berpendidikan dan tidak mengetahui hak mereka serta tinggal di kawasan pedalaman.

Saya berharap dapat memberikan kesedaran dan maklumat bukan hanya kepada golongan transgender, tetapi juga kepada orang ramai supaya kita sama-sama memahami isu sebenar berhubung transgender. Supaya wujud empati dan bukannya simpati atau rasa benci.

Sekurang-kurangnya kita semua tidak akan terus diperbodohkan,  diperalatkan dan diperkuda golongan politikus dan penguatkuasa agama yang sentiasa mabuk kuasa.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]

** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.