3 JUN — Mutakhir ini dengan kewujudan platform media sosial, bermacam-macam isu menjadi bualan netizens.

Sekalipun isu yang dibangkitkan itu tidaklah sebesar mana, namun disebabkan perbuatan segelintir pihak menyebarkan adakalanya isu itu kepada orang lain hingga ia menjadi tular.

Sekiranya isu yang disebarkan tular adalah baik dan memberi impak positif kepada kehidupan orang lain, tidak mengapa.

Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, terdapat kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memanfaatkan kebebasan bersuara yang diberikan untuk memanipulasi dan mengapi-apikan isu-isu tertentu.

Advertisement

Paling membimbangkan, isu-isu yang membabitkan agama dan kaum. Pelbagai helah diguna pakai seolah-olah memberi gambaran isu-isu yang dibangkitkan itu adalah benar belaka lantaran mengundang kegusaran.

Keghairahan untuk hanya mendengar, dipengaruhi oleh emosi dan tidak menganalisis secara mendalam isu-isu yang dibangkitkan hanya memburukkan keadaan lagi.

Lebih menyedihkan, ada juga pihak yang lebih cenderung mencari perbezaan dan kesalahan pihak lain hanya kerana mereka berbeza ideologi politik dan tidak suka dengan apa yang dilakukan mereka.

Advertisement

Jujur kata, perkembangan sedemikian adalah tidak baik buat negara kita. Untuk Malaysia bergerak ke hadapan, setiap daripada kita tidak kira Melayu, Cina, India mahupun masyarakat suku kaum lain perlulah menerima kepelbagaian pandangan yang wujud di negara ini.

Disebabkan kepelbagaian ini juga, ia menjadi kekuatan kepada kemakmuran negara sejak sekian lama. Dalam artikel-artikel saya sebelum ini, saya sering menekankan kepentingan konsep perpaduan dalam kepelbagaian ataupun Unity in Diversity dalam pembangunan negara. Konsep ini pernah pujian daripada negara-negara luar yang mahu belajar daripada Malaysia bagaimana untuk menguruskan sebuah negara yang berbilang kaum.

Hakikatnya, perbezaan yang wujud tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memisahkan kita semua. Sebaliknya, perbezaan yang wujud ini sebenarnya memberi kesempatan kepada kita semua untuk mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam antara satu sama lain.

Apa salahnya untuk kita mempelajari mengenai budaya dan adat-resam kaum lain? Tidaklah bermakna dengan mempelajari budaya dan adat-resam kaum lain, maka diri kita akan terancam ataupun dipengaruhi oleh budaya mereka.

Isu sebegini tidak sepatutnya timbul kerana selagi seseorang itu bijak dan tahu membezakan apa yang boleh diterima dan selagi ia tidak bercanggah dengan agama masing-masing, melainkan individu itu sendiri berada dalam sindrom penafian.

Dalam konteks ini juga, seseorang itu haruslah berfikiran terbuka dan bersedia untuk menerima pandangan orang lain. Biarpun pandangan yang diberikan adakalanya tidak sama, tetapi kepelbagaian pandangan itu adalah satu petanda bahawa demokrasi di dalam negara masih subur.

Berbeza pendapat tidak bererti seseorang itu tidak menyokong sesuatu yang dicadangkan. Barangkali ia lebih menjurus kepada cara seseorang itu meluahkan pandangan atau hujah sebelum memberikan keputusan sama ada menyokong atau sebaliknya isu yang dibangkitkan.

Oleh yang demikian, di kesempatan ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa menjunjung tinggi semangat muafakat, hormat-menghormati dan bertolak-ansur antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Usahlah membenarkan pihak tertentu untuk memecah-belahkan kita semua dengan dakyah-dakyah yang negatif. Gunakanlah akal yang dikurniakan oleh Tuhan untuk membezakan apa yang baik dan patut daripada apa yang tidak sepatutnya.

Ketika berinteraksi dalam platform media sosial pula dalam menyampaikan pandangan, sentiasa beringat bahawa apa sahaja yang dimuat naik akan kekal selama-lamanya biarpun anda cuba memadamkannya.

Justeru, fikir dahulu sebelum mengeluarkan sebarang komen atau pandangan. Jangan sesekali membenarkan emosi mengawasi diri kita sehingga membuatkan diri kita hilang pertimbangan.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.