1 APRIL — Dalam kehidupan seharian, kita harus berterima kasih kepada banyak pihak.

Kita berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita kerana bertungkus-lumus membesarkan kita dengan didikan dan tunjuk ajar yang baik.

Tanpa didikan dan tunjuk ajar mereka, siapakah kita di muka bumi ini.

Penghargaan juga ditujukan kepada guru-guru sekolah kita.

Advertisement

Berkat didikan dan pengorbanan oleh guru-guru sekolah akhirnya membolehkan kita menikmati kehidupan sebagai seorang insan yang berjaya.

Begitu dengan ucapan terima kasih yang harus dilafazkan kepada “boss” atau penyelia di tempat kerja anda.

Kemampuan untuk melakukan pekerjaan dengan baik dan peluang untuk naik pangkat banyak dibantu oleh penyelia yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan anak-anak buahnya.

Advertisement

Dalam memperkatakan mengenai perkara ini, saya tidak pernah lupa dan tidak akan lupa kepada individu-individu yang telah banyak membantu dan berjasa dalam hidup saya.

Malahan, budi baik dan sumbangan mereka akan dikenang sehingga ke akhir hayat..

Untuk nukilan artikel hari ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seorang doktor kiropratik bernama Dr Yama Zafer.

Beliau merupakan seorang doktor kiropratik warga Amerika-Afghan. Dr Yama merupakan doktor yang menyelamatkan saya daripada kesakitan tulang belakang yang berpanjangan.

Bagi mereka tidak mengenali Dr Yama, beliau merupakan seorang doktor yang berdedikasi dan berterus-terang dengan para pesakitnya.

Mudah diajak untuk berbincang dan sentiasa bersedia untuk membantu jika memerlukan.

Kalangan pesakit-pesakit yang pernah menjalani rawatan di pusat kiropraktik kendaliannya amat senang dengan profesionalisme beliau.

Apa yang membezakan beliau dengan doktor-doktor di pusat kiropraktik yang lain ialah kejujurannya ketika memberikan diagnosis kepada pesakit. Tambah meyakinkan adalah jenis rawatan yang digunakan untuk merawat sakit tulang belakang.

Selain itu, Dr Yama tidak pernah menjanjikan bahawa rawatan yang ditawarkan di pusatnya akan dapat memulihkan 100 peratus sakit tulang belakang kerana segalanya banyak bergantung juga kepada kondisi dan tahap kecederaan yang dialami oleh seseorang pesakit.

Kejujuran dan sikap berterus-terang inilah yang membuatkan saya yakin bahawa beliau merupakan doktor yang mampu membantu saya mengatasi sakit tulang belakang. Ternyata, Dr Yama tidak menghampakan saya.

Beliau juga merupakan seorang doktor yang amat prihatin dengan keadaan pesakitnya. Walaupun sudah lebih satu dekad berlalu, beliau masih sempat bertanya khabar dan bertanyakan kondisi saya.

Inilah sikap seorang doktor yang bertanggungjawab dan sukar dicari ganti.

Semoga kebaikan dan jasa yang dicurahkan oleh doktor berkenaan akan diberkati olehnya. Terima kasih Doktor atas sokongan dan bantuan perubatan yang diberikan selama ini.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.