10 SEPTEMBER — Malaysia barangkali adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai cuti umum yang paling banyak. Semakan ke atas kalendar menunjukkan, tidak kurang daripada 16 hari cuti umum untuk tahun 2018 sahaja.

Antara cuti-cuti umum yang dimaksudkan itu termasuklah Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Awal Muharram, Hari Raya Korban, Maulidur Rasul dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Setiap cuti umum atau perayaan  yang diumumkan itu pastinya mempunyai pengisian dan maksud yang tersendiri.

Untuk bulan Ogos dan September sahaja, sudah ada 4 hari cuti umum. Seperti kelazimannya, cuti-cuti umum tadi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh rakyat untuk beriadah, melancong mahupun kembali ke kampung halaman masing-masing untuk bersama-sama dengan keluarga tercinta.

Ternyata, rakyat Malaysia adalah rakyat yang cukup bertuah. Dengan adanya cuti-cuti umum yang banyak sebegini, mereka tidak ada alasan lagi selepas ini untuk mengatakan mereka tidak mempunyai masa cukup untuk merancang sesuatu.

Advertisement

Namun demikian, dalam keghairahan menikmati cuti-cuti umum ini, sejauhmanakah signifikan sesuatu cuti umum itu yang diraikan umpamanya sambutan yang bersejarah seperti Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Agong dan Hari Malaysia disedari oleh rakyat secara keseluruhannya?

Ataupun mereka sekadar tidak peduli dan menganggap sambutan-sambutan sedemikian sebagai cuti umum biasa yang tidak penting? Jawapan tipikal yang mungkin kedengaran umumnya adalah pelbagai dan bergantung kepada kumpulan umur.

Biarpun tidak ada perangkaan untuk membuktikan kesahihan tanggapan yang berbangkit itu, mungkin ada baik sekiranya signifikan sesuatu cuti umum tidak harus dilupakan atau diketepikan begitu sahaja. Saranan yang diberikan ini bagaimanapun bukanlah bertujuan untuk mempersoalkan mana-mana pihak mengenai pandangan mereka terhadap isu yang dibangkitkan tetapi lebih kepada langkah berjaga-jaga seandainya perkara itu benar-benar menjadi kenyataan kelak.

Advertisement

Bayangkan sekiranya majoriti rakyat di negara ini tidak lagi menganggap sambutan Hari Kebangsaan sebagai satu cuti umum yang bersejarah. Apakah yang akan terjadi kepada negara kita jika masyarakat khasnya generasi muda tidak didedahkan dengan pengorbanan dan sumbangan yang dicurahkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu? Mungkinkah satu hari nanti, mereka buta sejarah dan langsung tidak tahu-menahu mengenai asal-usul negara?

Begitu juga keadaannya jika rakyat di negara ini tidak kenal akan Sultan atau Agong yang memerintah di negara mereka. Apabila situasi berkenaan berlaku, ia memberikan satu tanggapan yang cukup negatif kepada orang awam mengenai sikap rakyat yang sebenarnya terhadap keadaan yang berlaku di dalam negara. Sikap acuh tak acuh itu akhirnya bukan sahaja merugikan diri sendiri bahkan juga negara secara keseluruhan untuk jangka panjang.

Oleh yang demikian, amat penting untuk seseorang itu untuk mengambil peduli apa yang berlaku di sekelilingnya. Dengan mengambil peduli, sekurang-kurangnya mereka tahu apa sebenarnya yang mereka raikan dan mengapa sambutan yang diraikan itu begitu penting.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis