14 MEI — Bahang Pilihan Raya Umum ke-14 baru sahaja berakhir.

Disifatkan sebagai bapa kepada segala pilihan raya, buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara, PRU-14 menyaksikan kemenangan parti pembangkang menewaskan parti pemerintah sekaligus membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. Kemenangan tersebut sekaligus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) dalam persada politik negara.


Sepanjang kempen dan tempoh PRU ini, begitu banyak sekali tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang bertarung dengan harapan untuk meraih kemenangan.


Begitu juga dengan kecenderungan pihak-pihak yang bertarung untuk memburuk-burukkan imej dan personaliti calon-calon dengan melemparkan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas.


Advertisement

Tidak kurang juga, kalangan orang ramai yang taksub dengan semangat kepartian sehinggakan ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan parti masing-masing.


Namun, apakah orang ramai perlu sampai ke tahap sedemikian? Adakah mereka telah berfikir semasak-masaknya akibat yang mungkin perlu ditanggung mengenai tindakan yang ingin diambil itu?


Disebabkan terlalu benci dan marah terhadap sesuatu pihak atau individu, mereka sanggup mengetepikan sikap rasional dan timbang rasanya semata-mata untuk melepaskan geram yang membuak-buak.


Advertisement

Segala tindak-tanduk berkenaan bukan sahaja tidak mencerminkan budaya matang rakyat dalam berpolitik bahkan juga memperlihatkan sifat berdendam yang hanya akan menjerumus negara ke kancah yang lebih parah.


Oleh yang demikian, tatkala negara kita memasuki fasa baharu dalam konteks politik semasa, mungkin ada baiknya jika mereka yang terlibat berlapang dada dan melihat ke hadapan. 

Dalam usaha untuk memastikan hala tuju dan masa depan negara terus terjamin, semua pihak tak kiralah pihak pemerintah, pembangkang, masyarakat madani mahupun rakyat marhaen haruslah memainkan peranan masing-masing bagi merealisasikan aspirasi itu.


Ini bermakna, segala kepentingan peribadi perlulah diketepikan. Manakala, matlamat jangka panjang yang memanfaatkan rakyat keseluruhan wajar diberi keutamaan. Pada masa yang sama juga, bagi mereka yang tidak mendapat jawatan pula, usahlah merajuk ataupun cuba menjadi perosak dengan melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.


Malaysia perlu melangkah ke hadapan dan inilah detiknya. Tidak dinafikan bahawa pelbagai keputusan yang diambil tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak tetapi itulah lumrah kehidupan. 


Justeru, rebutlah peluang ini untuk melakukan perubahan yang lebih baik bukan sahaja untuk diri sendiri sahaja tetapi juga demi masa depan bangsa, agama dan negara tercinta ini. Keluarlah dari zon selesa dan menyahut cabaran untuk memajukan negara demi manfaat bersama.


*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.