20 JUN — Cuba lihat perkembangan semasa di negara-negara lain — Turki, Iraq, Yaman, Afghanistan, selatan Thailand, Pakistan, Somalia, Nigeria dan banyak lagi.
Apakah persamaan yang dapat kita simpulkan mengenai negara-negara yang disebutkan tadi?
Pertama, kesemua negara yang disebutkan tadi merupakan penduduk yang didiami oleh mereka yang beragama Islam.
Kedua, negara-negara tersebut kini berhadapan dengan pelbagai krisis yang meruncing mencakupi daripada perang saudara kepada isu ancaman keganasan oleh puak militan IS hinggalah persengketaan antara puak. Hakikat pahit di sebalik kemelut demi kemelut itu ialah rakyat yang tidak berdosa tersepit di tengah-tengah. Mereka menangis, mereka pasrah dan ada yang hanya menanti masa untuk menerima takdir dan ketentuan Ilahi.
Tajuk artikel yang ditulis oleh Zin Mahmud dalam akhbar Mingguan Malaysia iaitu Rakyat Malaysia Beruntung semalam amat mendalam maknanya dan merupakan satu peringatan penting buat 30 juta rakyat Malaysia yang ada kalanya mengambil mudah dan tidak bersyukur dengan apa yang dikecapi oleh negara selama ini.
Di Malaysia, tidak kedengaran masalah kebuluran dalam kalangan rakyat. Malah, bekalan makanan yang diperlukan adalah jauh mencukupi malah wujud pembaziran makanan seperti yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini. Di Malaysia juga, tidak ada peperangan saudara seperti yang berlaku di negara-negara Islam yang lain yang membawa kepada pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.
Syukur juga kepada Ilahi negara kita masih selamat daripada ancaman pengganas seperti IS dan al-Qaeda walaupun ancaman daripada kumpulan-kumpulan pengganas sebegini sentiasa wujud.
Sememangnya, banyak lagi kelemahan dan masalah yang melanda negara ketika ini namun ada baiknya juga jika rakyat tidak hanya cenderung mengeluh, mengadu tetapi tidak menyumbang idea dan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi.
Mengadu adalah sesuatu yang normal. Kita boleh mengadu namun haruslah mengadu isu yang sepatutnya, dengan cara yang betul dan tampil dengan penyelesaian atau solusinya. Apa gunanya jika kita berani mengadu tetapi bila diminta untuk menyelesaikan sesuatu perkara ataupun menyumbang idea, mereka tidak kelihatan?
Mungkin ada baiknya jika rakyat Malaysia mengubah takuk pemikiran mereka dan bersikap lebih proaktif dalam menyelesaikan permasalahan negara. Daripada mengadu secara kerap, apa kata gunakan ruang yang ada untuk bertindak mengikut saluran yang betul?
Kita sentiasa mengadu mengenai segala perkara di hadapan mata kita biarpun ada kalanya perkara yang diadu itu sebenarnya tidaklah sebesar mana. Apakah itu perlu? Mengapakah kita tidak berfikir sejenak dan bertanya kepada diri kita, apakah perlu untuk mengadu hanya semata-mata untuk mengadu?
Kita wajar bersyukur di atas nikmat yang telah dikurniakan kepada negara bertuah bernama Malaysia ini. Jika anda merasakan diri sendiri tidak bernasib baik dan malang, maka cuba fikirkan nasib saudara seagama kita di negara-negara yang bergolak yang jauh lebih malang daripada kita di Malaysia.
Oleh itu, usahlah mengadu secara keterlaluan. Gunakan kesempatan yang ada untuk membangunkan dan memajukan negara. Gunakan juga akal fikiran yang dikurniakan oleh Ilahi untuk membetulkan segala kepincangan yang wujud secara rasional dan tertib.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
