30 MEI — Pepatah Melayu ada mengatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Begitu juga dengan pepatah berikut yang berbunyi sebab santan pulut binasa, sebab mulut badan binasa.
Kedua-dua pepatah tersebut jelas mengandungi pelbagai maksud tersurat dan tersirat yang wajar dijadikan sebagai iktibar kepada kita semua tatkala kita bergaul dan berurusan dengan orang lain.
Dalam kehidupan seharian, kita perlulah sentiasa berhati-hati ketika bercakap ataupun bergaul dengan orang lain. Ini kerana, tahap sensitiviti dan sikap toleran masyarakat adalah berbeza antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi, dengan negara kita yang didiami oleh masyarakat berbilang kaum, sudah pastinya, masing-masing mempunyai sensitiviti, budaya mahupun pemahaman tersendiri.
Dan apabila dua belia bernama Alvin Tan dan teman wanitanya ketika itu, Vivian Lee telah melakukan pelbagai adegan kurang sesuai khasnya memuat naik imej mereka memakan hidangan bak kut teh semasa bulan Ramadan, ianya ternyata suatu perbuatan yang biadap, tidak sensitif malahan dilakukan secara sedar dan disemgajakan.
Keputusan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan kepada Vivian baru-baru ini merupakan satu keputusan yang tepat dan diharap akan menjadi satu pengajaran berharga kepada semua agar lebih berwaspada ketika bercakap atau melakukan sesuatu perkara.
Tempoh penjara selama enam bulan itu biarpun mungkin dianggap sebagai terlalu ringan wajar membuka mata mereka yang berniat untuk mencetuskan ketegangan untuk berfikir dua kali sebelum berbuat demikian.
Bagi pasangan berkenaan, mereka beranggapan bahawa tindakan tersebut sebagai satu gurau senda namun sebarang gurau senda harus ada batas dan hadnya lebih-lebih lagi yang melibatkan perkara yang sensitif seperti agama.
Mereka sebenarnya mengetahui bahawa tindakan mereka yang kurang sopan itu bakal mencetuskan kemarahan umat Islam dan disebabkan itu mereka tekad dengan tindakan berkenaan semata-mata untuk menguji kesabaran serta reaksi umat Islam.
Hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah tempoh hari terhadap Vivian seharusnya membuka mata semua individu di negara ini agar lebih berwaspada dengan kelakuan dan cara mereka bercakap sesuatu di khalayak.
Tidak kira anda orang Melayu, Cina, India mahupun lain-lain, semua pihak perlulah menjaga kelakuan mereka dan sentiasa memastikan kelakuan mereka itu tidak sesekali berupaya mencetuskan ketegangan yang tidak diingini.
Apa yang dilakukan oleh Alvin dan Vivian itu hanyalah “tip of the iceberg” dan berkemungkinan masih ada ramai lagi individu sedemikian yang berniat untuk melakukan perkara yang sama. Pokoknya, masalah sebegini perlu ditangani terlebih dahulu sebelum ianya membarah nanti.
Adalah menjadi harapan penulis agar pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam isu-isu sebegini dan mengenakan tindakan setimpal terhadap mereka yang cuba memporak-perandakan keharmonian negara.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
