17 FEBRUARI — Di sebalik banyaknya aura negatif di Malaysia. Sebut saja karut marut perpolitikan negara yang mengkedepankan kaum dan agama baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang. 

Kita diberi aura positif dengan kehadiran sebuah filem yang diberi judul Ola Bola. Berlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola adalah cerita kejayaan pasukan bola sepak Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1980.

Tidak seperti negara tetangga Indonesia dan Thailand yang lebih jelas identiti nasionalnya, Malaysia sang keliru masih kehausan identiti bersama yang menyatukan. 

Maka filem Ola Bola seperti minuman penghilang dahaga buat rakyat Malaysia yang cemas dengan maraknya chauvinis dan ekstremis dari semua kaum dan agama. 

Advertisement

Ola Bola berjaya menghidupkan kembali semangat satu bangsa satu negara melalui filem-filemnya. Beza-beza bahasa percakapan tetapi menyanyikan lagu Negaraku yang sama.

Penulis berbulan-bulan sebelumya sudah meletakkan filem ini di dalam senarai mesti tonton selain filem Jagat. Syukur keterujaan itu hasilnya seperti yang diharapkan. Kenangan pada filem Sepet hadir secara automatik. 

Seperti filem Ada Apa Dengan Cinta yang mengubah banyak cara pandang penulis terhadap Indonesia, begitulah juga filem Sepet. Perasaan yang sama penulis dapat rasakan usai menonton filem Ola Bola. Wajah berbilang bangsa dengan mudah membuat penulis menitis air mata.

Advertisement

Penulis menonton pada hari pertama tayangan dan ketika tulisan ini ditulis, kutipan filem Ola Bola telah melebihi 12 juta dalam tempoh 18 hari. Secara automatik filem Ola Bola menjadi filem Malaysia ketiga terlaris sepanjang zaman setelah Polis Evo dan The Journey.

Luar biasa dan pastinya suatu fenomena. Membaca komentar-komentar positif tentang filem ini di media sosial sangat mengharukan. Keyakinan bahawa negara ini masih punya harapan terus subur.

Meski berkisar tentang bola sepak, tidak dapat dinafikan magnet filem ini adalah kisahnya tentang pengorbanan, keazaman dan kesatuan.

Inti utama filem ini tentang hal-hal yang mudah dihadam dan bersifat positif seperti jika kita hadir ke kursus motivasi. Apa yang berbeza adalah kursus motivasi membosankan kerana jauh dari budaya pop dan malas berubah.

Menjual kenangan apatah lagi utopia Malaysia yang bersatu ketika dulu adalah hal mudah seperti ahli politik dan pakar motivasi menjual kata-kata. 

Kita semua suka melihat kenangan-kenangan yang indah untuk membezakan dulu dan sekarang. Contoh terdekat mengenang indahnya hidup di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir meski pada waktu itu menyumpah seranah. Tunduk pada kenangan hal yang wajar kerana kuasa kenangan itu terlalu kuat dan sifatnya autoritarian. Kenangan sukar untuk dirasionalkan.

Sabtu lalu bermula Liga Super Malaysia, sebuah pertandingan bola sepak kasta tertinggi menghimpunkan 12 pasukan terbaik yang majoriti adalah pasukan negeri. Penulis untuk pertama kali setelah beberapa musim gagal hadir pada perlawanan pertama liga melibatkan pasukan kesayangan iaitu Selangor. Di usia begini penulis ikhlaskan sahaja kerana sedang berada di luar Malaysia.

Pengarah ‘OlaBola’, Chiu Keng Guan. Berlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola adalah cerita kejayaan pasukan bola sepak Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1980. — CinemaOnline pic
Pengarah ‘OlaBola’, Chiu Keng Guan. Berlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola adalah cerita kejayaan pasukan bola sepak Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1980. — CinemaOnline pic

Namun begitu sukar untuk penulis mengikhlaskan rasa gusar dan kecewa terhadap tidak berbilang kaumnya penonton di stadium. Meski penulis tidak di stadium, kawan-kawan penulis yang berada di stadium seluruh Malaysia ketika ditanya ada atau tidak perbezaan demografi penonton di stadium jawapannya mengecewakan sekali. Penonton liga bola sepak tempatan majoriti hampir mutlak adalah Melayu jika di Semenanjung. 

Nyata sebuah filem masih gagal melonjakkan wacana dan hasrat ke bentuk tindakan dengan hadir ke stadium. Ya, ini bukan perlawanan melibakan pasukan Malaysia. Namun yang menjadi tanda tanya tatkala pasukan dari London seperti Arsenal dan Chelsa berbondong-bondong ke stadium. Bukankah menyokong Perak di Stadium Ipoh atau menyokong JDT di Stadium Larkin itu sebahagian dari jalan menuju “Malaysia”? 

Ya penulis tahu pasti banyak alasan diberikan; sebut saja tiada meritokrasi di dalam pemilihan pemain, komposisi pemain yang tidak berbilang bangsa dan seumpamanya. Entah betul atau tidak tetapi itu alasan lazim tatkala persoalan identiti dan semangat cinta negara dibangkitkan. Sampai terlalu lazim penulis jengkel mendengarnya. Pada penulis setiap pemain yang bermain untuk pasukan kelab, negeri dan negara adalah rakyat Malaysia. Mudah dan tidak perlu dirumitkan dengan membawa-bawa Umno ke dalam wacana.

Ola Bola pada akhirya hanya sebuah filem. Jangan diharap terlalu banyak. Lihat saja filem Sepet yang gagal mengubah apa-apa sebaliknya pasca-Sepet chauvinis di kalangan semua kaum semakin bertambah. Satu hal pasti orang Malaysia banyak beralasan itu ini untuk membuat perubahan. Kenangan indah tinggal kenangan. Kita terus mencipta kenangan buruk. Semoga penulis salah kali ini.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.