8 JANUARI — Acapkali kita dituduh malas jika sedang bersantai. Santai di sini maksudnya dalam keadaan tidak tergesa-gesa, gopoh gapah, menggelabah dan kelam kabut yang sudah menjadi ciri utama sifat rajin. Dalam erti kata kapitalis adalah produktif. Tetapi bukan semua kapitalis, hanya penganut aliran memaksimumkan keuntungan.

Sebuah negara bahkan tidak terlepas dari dituduh malas. Malaysia contohnya menubuhkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (PPM). PPM seperti tertera di laman web mereka telah ditubuhkan sebagai Pusat Daya Pengeluaran Negara pada tahun 1962, iaitu suatu projek bersama Dana Khas Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kerajaan Persekutuan dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai agensi pentadbir. Misi utamanya meningkatkan produktiviti untuk inovasi dan daya saing global.

Berkat dari penubuhan PPM ini, Malaysia adalah antara negara yang berdaya saing di dunia. Dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia berada di tangga ke-18. Ada baik dan buruknya ranking ini. Namun satu hal pasti kita yang di Malaysia merasa dampaknya dengan harus menjadi robot.

Kesan baik dengan bersikap rajin adalah cenderung menghantarkan seseorang itu ke gerbang kejayaan. Sama ada kejayaan yang kemudian tidak membahagiakan dan membawa rasa takut pada setiap ketika itu adalah persoalan lain. Kesan buruknya pula adalah kita menjadi “buruh paksa” zaman moden, dipaksa rajin dengan bayaran yang jauh dari setimpal.

Advertisement

Penulis sempat bekerja tujuh tahun di alam pekerjaan formal yang mengkedepankan produktiviti. Derita sekali meski setiap bulan beroleh pendapatan. Pada satu titik penulis mengalami kejenuhan dan merasa hidup ini telah disongsangkan dengan kata “untung”. Janji manis kapitalis lebih keji dari janji manis ahli politik yang sering dicerca. Sewaktu merugi kita berkorban, sewaktu untung mereka mengorbankan kita.

Sejak merdeka dari penjajahan produktiviti, penulis sering kali bermimpi datang lambat ke tempat kerja lama, tidak mendapat kenaikan gaji tahunan, penilaian prestasi kurang bagus dan sebagainya. Betapa kuatnya penjajahan ini meresap ke alam fikiran tanpa sedar sehingga mimpinya lebih menakutkan dari mimpi hantu.

Syed Hussein Alatas dalam bukunya “Mitos Pribumi Malas: kajian imej orang Jawa,Melayu dan Filipina dalam kapitalisme penjajah” melihat kapitalisme penjajah sebagai alat penindasan kepada peribumi. Peribumi dikatakan malas oleh penjajah dari Eropah kerana tidak cekap bekerja. Walhal malas itu didasari oleh penolakan terhadap keserakahan penjajah. Sebut saja kerja paksa di kalangan orang Jawa yang dilakukan oleh Belanda dan kengganan orang Melayu bekerja di perladangan dan perkebunan British.

Advertisement

Meski penjajah sudah tiada, sifat keserakahan terus subur dan lagi-lagi peribumi di Malaysia, Indonesia dan Filipina dituduh malas. Malas dalam kerangka orientalisme diterima tanpa penolakan dan sifat kritis. Lebih parah tiada usaha serius melihat semula makna kata malas yang diberikan kapitalisme penjajah. Rantau Asia Tenggara yang sifatnya bertani dan santai seolah-olah dilupakan. Kebenaran ditentukan gara-gara zaman industri di barat yang bermula daripada abad ke-16 hingga abad ke-20.

Penjajah Eropah yang konon rajin setelah menindas jutaan warga dunia ratusan tahun kini hidup santai dan bersenang lenang sedangkan yang ditindas masih lagi terjajah dan bersusah payah mengejar “rajin” si “pemalas” Eropah. Meski penulis belum pernah ke Eropah, kisah-kisah tentang pemalasnya atau santainya orang Eropah sering diceritakan teman-teman couchsurfing penulis dari pelbagai negara Eropah.

Tambah parah ada si terjajah dari Malaysia yang ke Bali juga berminda penjajah dengan sesuka hatinya merasa kasihan dan sedih dengan kemiskinan yang dilihat. Sedangkan “kemiskinan katanya” yang dilihat itu dinilai dengan kayu ukur kapitalisme penjajah. Tidak mempunyai televisyen, kereta dan santai bercucuk tanam sendiri pada sebahagian masyarakat adalah pilihan bukan kemiskinan.

Kebergantungan melulu kepada produk dan perkhidmatan adalah kemiskinan yang baru. Merasa tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki adalah penderitaan yang baru. Maka santai atau kerja dan hidup sewajarnya adalah perlawanan. Perlawanan terhadap kapitalisme penjajah bentuk lama dan baru.

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.