11 NOVEMBER—”Kami putra dan putri Indonesia menjunjung bahasa persatuan, Bahasa Indonesia.”

Demikian salah satu dari tiga keputusan Kongres Pemuda Kedua pada 1928 yang kemudiannya dikenal dengan nama “Sumpah Pemuda”. Bahasa Indonesia di sini merujuk kepada bahasa yang berakar dari Bahasa Melayu. Sudah 87 tahun Sumpah Pemuda berlalu dan terus subur dan hidup bahasanya meski mengalami banyak perbezaan dengan Bahasa Melayu asal. Jika sering ke Indonesia atau menonton drama televisyennya, perbezaan ini pasti terlihat. Sebut saja pengalihan makna kata “seronok” yang digunakan oleh media Jakarta (Yusmar Yusuf, 2015).

Meski begitu bagi penulis yang bukan ahli bahasa, hal tersebut adalah kecil kerana hal terbesar adalah di sini Bahasa Indonesia tetap menjadi bahasa pemersatu. Bahasa ini menjadikan mereka satu bangsa jika ke Solo yang kental dengan Bahasa Jawa, Lombok dengan Sasak, Bali dengan Bali, Bandung dengan Sunda dan seluruh wilayah lainnya dengan ratusan bahasa etnik.

Sejak mengenal Indonesia lebih dalam pasca-reformasi 1998 melalui filem dan buku seperti filem “Ada Apa Dengan Cinta” arahan Rudy Soedjarwo dan buku “Bumi Manusia” karya Pramoedya Ananta Toer. Penulis punya impian untuk berpindah ke sini. Bertutur dan membaca di dalam bahasa ibunda dalam kehidupan seharian adalah benar-benar ideal penulis. Hal ini sukar dicapai jika terus berada di Malaysia.

Advertisement

Jauh sebelum mengenal negara Indonesia selain dari pekerjanya, penulis sering dicuci otak dan ditakut-takutkan sewaktu di sekolah menengah oleh beberapa orang guru bahawa kegagalan menguasai Bahasa Inggeris akan berakibat buruk. Masih segar peristiwa seorang guru penulis merendah-rendahkan Bahasa Melayu di dalam kelas meski sudah berlalu 20 tahun.

Syukur beberapa hari kemudian penulis terbaca satu tulisan di akhbar Berita Harian yang intinya mengatakan Bahasa Melayu akan menjadi bahasa penting di dunia kerana jumlah penuturnya yang terus bertambah. Tanpa buang masa penulis menggunting tulisan tersebut dan esoknya sudah berada di papan kenyataan kelas. Hingga kini tiada siapa tahu yang melakukannya kecuali tiga orang termasuk penulis.

Penghinaan tidak berhenti di situ, “ekstremis” Bahasa Inggeris di sekolah dan luar sekolah terus menerus menyebar ketakutan seolah-olah hidup tanpa menguasai Bahasa Inggeris tidak akan bermakna. Tidak pernah dibahas kenapa bangsa-bangsa lain boleh maju tanpa menggunakan Bahasa Inggeris. Tidak pernah juga dibahas fakta bahawa penguasaan ilmu pengetahuan dan keterampilan diri itu jauh lebih penting.

Advertisement

Peranan kerajaan terutama Umno dalam mengikis kepentingan Bahasa Melayu tidak mahu penulis bahas di sini kerana hal basi. Apatah lagi menyalahkan kerajaan hal yang mudah sekarang. Andai ingin tahu juga, kesimpulan Wong Chin Huat barangkali sudah cukup (The Malaysian Insider, 8/11), “Bagi saya, pempolisan Bahasa Melayu seperti ini yang menjatuhkan kebergunaan dan kebolehgunaan Bahasa Melayu. Selagi kita enggan membebaskan Bahasa Melayu daripada penjara intelektual, usah kita berangan Bahasa Melayu boleh kembali ke zaman keemasannya dan menjadi lingua franca sekali lagi di Asia Tenggara”.

Namun demikian ancaman ketakutan tersebut penulis sambut dengan positif. Bermula di tingakatan 4 penulis memaksakan diri membaca akhbar The Star yang berlarutan hingga kini dan majalah Time yang dipinjam dari perpustakaan khusus bahan berbahasa Inggeris. Hasilnya penguasaan penulis bertambah baik terutama dalam aspek pembacaan kerana di situ lubuk ilmu pengetahuan. Penulisan dan pendengaran penulis tidak memberi keutamaan tinggi kerana tidak mahu penguasaan Bahasa Melayu sampai terabai.

Sambil mengkritik kurangnya terjemahan buku-buku dari bahasa asing ke Bahasa Melayu yang dilakukan badan kerajaan bertanggungjawab, penulis memulakan usaha kecil menyebar ilmu pengetahuan yang diraih berkat penguasaan Bahasa Inggeris dengan berdiskusi dan menulis dalam Bahasa Melayu. Penulis sedar dan percaya usaha penerjemahan dan penyebaran ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu sangat penting dalam memberdayakan mereka yang berbahasa ibunda Melayu.

Selesai alam kuliah memasuki alam kerja di sektor swasta, penulis merasa terhentak dengan pengagungan berlebihan Bahasa Inggeris. “Ekstremis” Bahasa Inggeris ligat dan cerdik dalam meminggirkan Bahasa Melayu. Ada saja pembenarannya seolah-olah sebegitu hina mereka yang berilmu pengetahuan tetapi tidak menguasai Bahasa Inggeris. Anehnya menguasai Bahasa Mandarin sebagai contoh tidak dipermasalahkan. Lantas muncul pertanyaan inikah Malaysia? Menguasai bahasa kebangsaan negaranya tidak membawa erti apa-apa melainkan berkhidmat di sektor kerajaan. Sadis sekali negara ini.

Seperti di sekolah, penghinaan ini penulis sambut dengan positif. Menimba ilmu pengetahuan di sektor swasta dengan paksa rela menggunakan Bahasa Inggeris menjadi keutamaan. Setelah beberapa tahun penulis mengundurkan diri dan kemudian pada 2009 menggerakkan kolektif seni budaya bernama Frinjan bersama kawan-kawan lain. Agenda utamanya memanfaatkan seni dalam Bahasa Melayu sebagai alat pemerkasaan anak-anak muda untuk mendepani pemasalahan yang berlaku di mana-mana setelah jenuh melihat seni budaya “alternatif” dimonopoli oleh kelompok berbahasa Inggeris.

Meski bukan hasil langsung dari Frinjan, kini seni budaya “alternatif” semakin beragam dan Bahasa Melayu menjadi semakin kuat. Penulis percaya tanpa pertolongan kerajaan sekalipun Bahasa Melayu mampu hidup dan subur di Malaysia jika tidak dikekang dengan pemaknaan Bahasa Melayu yang sempit oleh kerajaan. Untuk ini tabik hormat buat penerbit-penerbit buku “alternatif” atau “indie” atau apa jua istilahnya di atas kerja-kerja memartabatkan Bahasa Melayu mengikut acuan masing-masing.”Belanjawan” atau “bajet”, “kawasan” atau “precint” itu hal kecil. Tidak perlu dipermasalahkan dengan serius.

Mereka-mereka yang memilih menggunakan Bahasa Melayu di zaman globalisasi adalah pahlawan. Gempuran “ekstremis” Bahasa Inggeris atas nama globalisasi dan persaingan padahal ia adalah sebuah bentuk penyeragaman. Globalisasi adalah keberagaman bukan pertandingan kuat mengalahkan lemah. Daripada mendengar keluhan-keluhan tentang penguasaan Bahasa Inggeris rakyat Malaysia yang semakin lemah, mengapa tidak kita berfikir sebaliknya dengan meningkatkan kebergunaan dan kebolehgunaan Bahasa Melayu bak kata Wong Chin Huat?

Penulis tidak bermusuh dengan Bahasa Inggeris kerana bahasa ini telah memberdayakan penulis dalam banyak aspek kehidupan. Malah kolum penulis ini berada di media berbahasa Inggeris. Tanpa “ekstremis” Bahasa Inggeris belum tentu penulis melakukan hal-hal di atas. Lagi pula penulis sudah memilih untuk terus tinggal di Indonesia. Keberagaman harus dirayakan tetapi tidak kepada ancaman ketakutan dan penindasan atas nama bahasa. Marilah bersama-sama berusaha menjadikan Bahasa Melayu yang indah itu penting.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.