12 OKT — Penulis baru saja pulang dari trip backpacking ke Taman Nasional Komodo yang terletak di Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur. 

Ada dua cara untuk ke sini iaitu 1) dengan pesawat ke Labuhan Bajo dari Bali dan kemudian menggunakan bot 2) menggunakan bot dari Lombok dan tamat di Labuhan Bajo.

Penulis menggunakan cara kedua yang mengambil masa selama empat hari. Sebuah pengalaman baru bagi penulis yang tidak membesar di laut. Makan dan tidur di dalam bot serta mandi ketika sedang snorkeling.

Kelebihan cara kedua meski agak memenatkan adalah lebih murah dan dapat singgah di beberapa pulau yang terletak berdekatan Pulau Sumbawa (pulau yang terletak di antara Lombok dan Flores) seperti Gili Bola, Pulau Moyo dan Pulau Satonda.

Advertisement

Dari awal trip ini motivasi utamanya adalah untuk melihat komodo yang hanya ada di Indonesia. Selain dari itu adalah bonus seperti keindahan panorama dari Gili Laba. Komodo di Taman Nasional Komodo dapat dilihat di dua pulau yang dibuka untuk pelancong iaitu, Komodo dan Rinca. Manakala Nusa Kode dan Motang ditutup.

Sejak Taman Nasional Komodo rasmi dipilih sebagai 7 keajaiban dunia untuk kategori alam pada 2012 oleh Yayasan New7Wonders, kunjungan pelancong terutama asing meningkat. Dampaknya harga penyewaan bot semakin turun dari tahun ke tahun sekaligus mampu menarik kunjungan pelancong tempatan.

Tidak seperti Bali dan Lombok yang banyak dikunjungi pelancong Malaysia, Taman Nasional Komodo masih jarang. Beberapa agen pelancongan yang penulis temui di Lombok dan Labuhan Bajo mengiyakan fakta ini. Salah satu faktor utama menurut penulis adalah ketiadaan pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Labuhan Bajo. Semoga setelah lapangan terbangnya dinaik taraf, AirAsia atau Malindo akan terbang ke sini.

Advertisement

Berbicara tentang Taman Nasional Komodo, tidak dapat dinafikan potensinya sebagai objek pelancongan masih belum dimanfaatkan sebaiknya. Meski kunjungan terus meningkat, biaya untuk ke sini tetap tinggi. Solusi yang selalu dibincangkan adalah menaik taraf lapangan terbang.

Meski masih di tahap perbincangan, penulis sempat bertanya hal ini kepada backpackers yang ikut bersama. Bagaimana jika akses ke Taman Nasional Komodo dipermudahkan? Rata-rata jawapan yang diterima adalah menolak keras dengan alasan jika terlalu ramai dikunjungi sesuatu tempat itu tidak akan rare lagi.

Sekawanan komodo di Pulau Rinca.
Sekawanan komodo di Pulau Rinca.

Sebenarnya penulis tidak terkejut dengan jawapan tersebut kerana corak pemikiran tersebut sudah menjadi mainstream di sekelompok backpackers. Menurut penulis, mereka mementingkan diri sendiri (selfish backpackers/travellers) dalam mengembara. Semakin tidak ramai dikunjungi semakin rare bagi mereka. Soal dampak ekonomi kepada penduduk tempatan tidak pernah difikirkan.

Penulis turut melontarkan soalan yang sama kepada penduduk tempatan dan jawapan yang diterima berbeza sama sekali. Rata-rata penduduk tempatan berkeinginan tempat mereka semakin ramai yang mengunjungi. Menurut mereka, sejak Taman Nasional Komodo dipilih sebagai 7 keajaiban dunia, ekonomi mereka semakin membaik.

Tidak dapat dinafikan pelancongan kadangkala memberi dampak buruk kepada alam sekitar dan budaya setempat. Meski demikian ini bukan alasan menafikan pembangunan apatah lagi jika penduduk tempatan menginginkannya. Apa yang perlu dilakukan adalah kerjasama antara penduduk, NGO terutama berkaitan alam sekitar, pelabur dan kerajaan untuk mewujudkan pelancongan yang berasaskan kemanusiaan dan bukan keserakahan.

Jika backpackers menolak komersialisasi kerana alasan dampak buruknya, hal ini masih boleh diterima. Sangat wajar seorang backpackers sedih melihat kerosakan yang dilakukan di atas bumi. Akan tetapi sangat tidak wajar komersialisasi ditolak kerana alasan tidak rare lagi kerana jelas mementingkan diri sendiri. Kelompok ini biasanya akan ke satu-satu tempat yang rare untuk menonjolkan dirinya, bukan memberdayakan penduduknya.

Kebelakangan ini muncul kelompok backpackers yang tidak sekadar mengembara untuk mengambil pengalaman dan kenangan, tetapi memberi. Semoga ke depan kelompok backpackers mampu menjadi elemen yang sama penting dalam perancangan ekonomi setempat bersama-sama penduduk, NGO, pelabur dan kerajaan.

Sudah saatnya backpackers menjadi rare dengan berbuat sesuatu yang bermanfaat bagi penduduk tempatan meski kecil. Juga sudah bukan zamannya merasa lebih best kerana lebih awal ke sesuatu tempat.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.