5 OKTOBER—Bagi penikmat muzik punk, Pulau Bali bukan sekadar tentang pantai, kehidupan malam di Kuta atau yoga di Ubud. Bali adalah Superman Is Dead (SID). Band yang dianggotai Bobby Kool, Jon Eka Rock dan JRX ini telah berkecimpung selama 20 tahun di dalam industri muzik Indonesia. Penggemarnya bukan saja di Indonesia tetapi di Malaysia sehingga pernah diundang sebanyak dua kali untuk tampil di negara tetangga.

Beberapa bulan lalu penulis berkesempatan menemuramah pemain drum SID, JRX. Pemilik nama penuh I Gede Ari Astina menjadi sosok kontroversi gara-gara sangat vokal dalam menyuarakan penolakan terhadap projek pulau buatan (reklamasi) di Tajung Benoa.

Kenapa SID menolak projek reklamasi ini? Jawabnya ringkas, projek ini hanya membawa dampak buruk kepada alam sekitar serta simbol kepada semua kerakusan pemodal yang selama ini hanya memanfaatkan Bali untuk kepentingan mereka tanpa mempedulikan nasib masa depan Bali dan masyarakatnya. Keuntungan sudah diraih, mereka akan pindah mencari pulau “syurga” baru.

Gig di balai raya

Advertisement

SID dibentuk pada tahun 1995. Pada waktu itu SID sering tampil di pentas balai banjar. Banjar adalah unit terkecil dalam masyarakat adat Bali dan menjadi tempat bagi masyarakat untuk menyelesaikan pelbagai permasalahannya. Di setiap banjar ada balai banjar di mana aktiviti masyarakat  berlangsung seperti balai raya di Malaysia. JRX menyebut bahawa SID banyak menimba pengalaman bermain muzik melalui gig di balai banjar.

Menurut JRX gig di balai banjar suasananya bersifat komuniti dan tidak berbayar. Biasanya band-band yang tampil di balai banjar dibayar dengan minuman, makanan dan rokok. Jenis persembahan juga bercampur diselang seli dengan seni tradisional. Muzik punk sangat merakyat pada masa tersebut dan tidak bersifat eksklusif hanya kepada penggemarnya.

Namun begitu pasca bom Bali semuanya berubah. Bali yang masih trauma dengan insiden pengeboman (dilakukan orang Jawa) mengambil langkah mengukuhkan identiti mereka dengan politik identiti “Ajeg Bali” yang boleh disamakan dengan “Ketuanan Melayu” di Malaysia. Muzik punk perlahan-lahan disingkirkan dari balai banjar kerana Ajeg Bali merupakan pengagungan identiti Bali sehingga seni yang dikatagorikan tidak mencerminkan identiti Bali tidak diberikan ruang sama sekali. Semenjak itu muzik punk bermain di konsert luar balai banjar dan kembali ke gig-gig kecil di ruang komunitinya.

Advertisement

Tanpa sedar Ajeg Bali tidak hanya mendiskrimasi orang bukan Bali tetapi masyarakatnya sendiri meskipun mereka adalah kelompok minoriti. Kini muzik punk tidak begitu merakyat kerana hanya tampil di ruang-ruang tertentu seperti di bar dan ruang-ruang yang dimiliki komuniti seni. Sangat disayangkan.

Menyedari SID sebagai band besar yang memiliki banyak peminat. SID memanfaatkan media sosial menyebarkan idea-idea perlawanan agar para peminatnya  terutama di Bali terinspirasi untuk melakukan hal yang sama.
Menyedari SID sebagai band besar yang memiliki banyak peminat. SID memanfaatkan media sosial menyebarkan idea-idea perlawanan agar para peminatnya terutama di Bali terinspirasi untuk melakukan hal yang sama.

Melawan dengan seni

Ketika ditanya perbezaan muzik punk di Bali sebelum dan selepas reformasi, JRX menyebut sebelum tumbangnya Soeharto anak punk hanya menikmati muzik punk untuk merosak tubuh seperti minum arak atau menghisap dadah. Tidak ada perlawanan yang nyata seperti sekarang di mana lirik lagunya banyak menyerang kerajaan dan ikut menyertai demonstrasi di jalan raya. Menurut JRX kemunculan anak punk yang kritis di Bali pasca tumbangnya Soeharto disebabkan maklumat mengenai pemikiran kiri dan kritis mudah diperolehi menerusi internet.

Meski demikian, apa yang difikirkan anak punk ini tidak sama dengan kebanyakan orang Bali. Dunia pelancongan mendidik orang Bali untuk sentiasa sopan dan senyum serta sentiasa percaya bahawa Bali adalah pulau syurga. Tidak mungkin sebuah syurga dilawan. Hal ini menyebabkan orang Bali sukar mengkrtitik apatah lagi secara langsung.

Menurut JRX contoh terdekat adalah dalam isu reklamasi di mana umpatan protes masyarakat di media sosial banyak kedengaran tetapi mereka tidak mahu menzahirkan protesnya dengan turun ke jalan. Sebagai jalan keluar sementara, SID dan rakan-rakan seperjuangan melakukan protes melalui seni dengan turun ke jalan raya bagi mewakili suara masyarakat yang masih takut-takut. Situasinya mirip seperti di Malaysia sebelum reformasi 1998. Apa yang pasti harus bermula meski dari kecil.

Menyedari SID sebagai band besar yang memiliki banyak peminat. SID memanfaatkan media sosial menyebarkan idea-idea perlawanan agar para peminatnya  terutama di Bali terinspirasi untuk melakukan hal yang sama. Apatah lagi anak muda di Bali tebal dengan budaya hedonisme dan dibuai dengan paradigma bahawa hidup itu harus dinikmati, tidak perlu disibukkan dengan hal-hal rumit, yang penting rajin sembahyang dan semua akan baik.

Harapan ke depan hendaknya orang Bali terutama anak muda lebih memperhatikan pulaunya yang semakin rosak ini tanpa perlu didorong oleh pemuzik. Tidak masalah melepak di kafe hipster di Seminyak asalkan melawan. Semoga kita di Malaysia turut terinspirasi melawan penindasan-penindasan di sekeliling kita tanpa perlu menunggu diarahkan ahli politik berkepentingan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.