28 SEPTEMBER —Sejak wujudnya syarikat penerbangan berbiaya rendah AirAsia di Malaysia, minat orang kita untuk melancong atau mengembara ke luar negara semakin bertambah. Di beberapa destinasi yang dikunjungi AirAsia seperti Bandung, Bali, Lombok, Aceh, Boracay dan Siem Reap pelancong Malaysia mulai mendominasi. Kehadiran AirAsia dan syarikat penerbangan lain seumpamanya seperti Malindo adalah sebuah berkah tersendiri.

Penulis sendiri pertama kali mengembara ke luar negara atau istilah popularnya backpacking pada Oktober 2004 dengan pesawat AirAsia menuju Jakarta. Ketika itu umur penulis 23 tahun, cukup muda pada waktu tersebut tetapi sudah tua untuk waktu sekarang. Kini anak-anak muda seawal 20 tahun sudah mulai mengembara dan destinasinya jauh nun di Eropah. Sudah jauh jaraknya, tempohnya lama pula berbulan-bulan.

Backpacking sudah menjadi gaya hidup. Selain dari wajah-wajah orang Malaysia yang berselerakan di destinasi tujuan AirAsia terutamanya, forum tertutup di Facebook seperti Backpackers Buddies Malaysia dan Malaysian Backpackers Club telah berjaya menarik keanggotaan seramai 66,795 dan 43,279 ahli (setakat tulisan ini ditulis). Kini, merancang perjalanan atau percutian kadangkala lebih diutamakan daripada merancang membeli kereta, rumah dan perkahwinan.

Secara peribadi penulis gembira backpacking ke luar negara sudah menjadi gaya hidup kerana dengan berbuat demikian minda dan cara melihat dunia seseorang akan bertambah luas. Lebih baik duit dihabiskan untuk pengalaman yang berharga daripada membeli sebuah kereta yang hanya memberi beban.

Advertisement

Sudah lumrah dalam setiap perkara pasti ada pengotornya. Gaya hidup backpacking yang semangatnya adalah kepekaan terhadap kondisi ekonomi, politik dan sosial setempat masih gagal digarap sebahagian backpacker. Bagi kelompok ini, backpacking sekadar fesyen untuk fotonya diminati ramai di akaun Instagram. Persediaan  mereka untuk backpacking lebih tertumpu kepada hal teknikal seperti beli beg jenis apa berbanding membuat kajian tentang negara yang dikunjungi.

Mari kIta amati satu persatu. Secara ekonomi sering terjadi backpacker yang tawar menawar harga sesuatu barangan dan perkhidmatan pada harga yang tidak masuk akal dan cenderung menindas penjual. Tidak dinafikan lazimnya di tempat pelancongan penjual yang menindas. Namun itu bukan alasan untuk berbuat hal yang sama. Ketakutan ditipu harga menjadikan mereka penindas tanpa sedar. Andaikan saja ketakutan itu dilawan dengan banyak membaca pasti tidak terjadi penindasan sebaliknya perdagangan adil (fair trade). Perdagangan adil adalah dengan membayar sesuatu barangan dan perkhidmatan pada harga sebenarnya bukan pada harga diskaun melampau sehingga merugikan salah satu pihak.

Secara politik pula, sebahagian backpacker sering tidak sensitif dalam menyikapi perbezaan-perbezaan sistem politik yang dianut sesuatu negara di mana dampaknya dirasai dalam bentuk dasar-dasar yang dilaksanakan. Mengeluh tentang peraturan visa yang ketat dan tiket-tiket masuk yang dikenakan kemudian membandingkan dengan negara sendiri adalah contoh-contohnya.

Pada hemat penulis, gaya hidup backpacking seharusnya menganut fahaman kosmopolitanisme yang menurut Kwame Anthony Appiah bermaksud kesejagatan ditambah perbezaan (universality plus difference). Namun secara sosial kerap terjadi backpacker yang memperlekeh budaya setempat seperti kata-kata, “Sayang orang Bali, rajin sembahyang tetapi sia-sia masuk neraka juga nanti” dan “Macam takde benda lain nak makan selain babi”. 

Advertisement

Dalam bukunya Cosmopolitanism: Ethics in a World of Strangers (2007), beliau menekankan bahawa nilai kesejagatan harus didahulukan sebelum perbezaan. Perbezaan harus disatukan di dalam kerangka kesejagatan nilai-nilai kemanusiaan. Budaya berbeza yang ditemukan sepanjang backpacking seharusnya dirayakan agar proses dialog dan pertukaran budaya dapat dilakukan.

Kritikan ini tidak bermakna gaya hidup ini harus dilawan sebaliknya sebagai cerminan diri untuk penulis dan kita semua agar budaya backpacking mampu membawa perubahan positif kepada dunia. Satu hal pasti dengan backpacking kita telah melakukan perlawanan kecil terhadap golongan pemodal besar yang cenderung menindas dengan lebih parah lagi. Memilih tinggal di homestay jauh lebih baik dari hotel 5 bintang contohnya.

Namun jika ada backpacker mentertawakan mereka yang menggunakan beg tarik tetapi di dalam masa meminta diskaun melampau untuk khidmat pemandu kereta, maka mereka bukan backpacker. Sahabat penulis bernama Namy menyebut, “Pendek kata orang kita cuma suka murah dan bukannya minat untuk mengembara di dunia ini secara backpacking. Beza langit dengan bumi di situ”. Sudahlah murahan menindas pula. Semoga dijauhkan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.