21 SEPTEMBER — Syukur. Kita baru saja menyelesaikan tugas tahunan sebagai warga Malaysia iaitu menyambut hari kemerdekaan dan hari Malaysia. Uniknya tahun ini sedikit berbeza kerana ditandai dengan warna merah dan kuning. Merah merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu dan kuning kepada Perhimpunan Bersih 4. Di minggu-minggu mulia ini kita terpecah dua atau tiga sebenarnya — merah, kuning dan tiada warna. Tiada warna merujuk kepada mereka yang buta warna atau buta kepedulian.

Meski perbezaan itu hal normal, ada yang tidak normal di sini apabila ada unsur-unsur membenci dan perkauman tebal yang pada penulis adalah jenayah kemanusiaan. Jenayah kemanusiaan bukan perbezaan yang harus dirayakan tetapi sebaliknya dilawan habis-habisan. Tetapi ada baiknya kita mulakan dengan hal-hal kecil.

Contoh-contohnya:

Sengaja aku memekakkan telinga daripada mendengar ceramah-ceramah agama berunsur kebencian kepada penganut agama bukan Islam yang disampaikan segelintir ustaz dan ustazah semasa di sekolah asrama dahulu. Mengurut abang senior tanpa kerelaan jauh lebih indah.

Advertisement

Sengaja aku berkawan dengan penyokong Umno dan Tun Mahathir Mohamad di universiti semasa tahun-tahun reformasi supaya ketaksuban kepada satu jenis kebenaran tidak mendarah daging.

Sengaja aku menjaga hubungan yang baik dengan keluarga dan saudara mara meski banyak perbezaan pandangan kerana tiada guna banyak pandangan tetapi tiada yang ingin mendengar.

Sengaja aku berbual dalam bahasa kebangsaan dengan mereka yang lantang berbicara tentang bangsa Malaysia tetapi lemah penguasaan bahasa kebangsaan bangsa Malaysia iaitu Bahasa Melayu. Biar mereka sedar diri.

Advertisement

Sengaja aku tidak membuang kawan-kawan di Facebook yang tidak sealiran kerana membuang mereka seperti membuang kemanusiaan. Bicara tentang kemanusiaan tetapi lemah dengan manusia yang beza aliran. Hilang kemanusiaan.

Sengaja aku tidak membenci bekas kekasihku kerana jika ini gagal dilakukan, kemanusiaan dan keadilan yang dilaungkan hanya berupa kata-kata kosong tidak berguna.

Sengaja aku tidak menyindir mereka yang memilih gaya hidup halal kerana jika hal sekecil ini tidak boleh difahami maka gagal kita sebagai warga Malaysia yang bermajoriti Muslim.

Sengaja aku tidak terikut-ikut dengan simbol budaya "melawan" seperti minum arak, hisap ganja dan sebagainya. Apa ertinya menjadi manusia jika takut dilabel tidak "cool" oleh mereka yang kononnya liberal tetapi sebenarnya sama seperti kelompok yang dikata.

Sengaja aku tidak terlalu memikirkan tentang ideologi seseorang apabila ingin melawan penindasan kerana penindas tidak mengenal ideologi. Oh pembodohan ideologi juga satu bentuk penindasan.

Kesengajaan di atas masih penulis lakukan sehingga ke hari ini. Tiada yang tidak sengaja kerana apabila jenayah benci dan perkauman mula dibuang dari dalam diri, secara automatik sengaja-sengaja seperti di atas harus mulai dilakukan.

Bercita-cita besar boleh-boleh saja tetapi sila jujur dan tanya diri adakah kita sebenarnya juga manusia pembenci dan perkauman? Kelompok pembenci dan perkauman tanpa sedar tetapi dengan tegas menolak ini sebenarnya jauh lebih berbahaya.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.