28 OGOS ― Malaysia sangat bertuah. Negara ini dikurniakan tiga bangsa besar di Asia iaitu Melayu, Cina dan India untuk tinggal bersama. Bertuahnya Malaysia sehingga bahasa ibunda masing-masing bangsa masih digunakan dalam keseharian. Harga yang dibayar tiada identiti nasional yang kuat seperti Indonesia. Oh tidak mengapa kerana itu persoalan lain.

Bertuahnya kita mahu tidak mahu harus diakui hasil kecekapan pemimpin dahulu hingga kini meski banyak cacat celanya. Segala macam rancangan yang dibuat banyak yang membuahkan hasil meski ada ketirisan di sana sini. Maka Malaysia menjadi negara kelas menengah.

Kelas menengah Malaysia terbahagi dua, satu tinggal di kota yang umumnya tidak pernah merasa puas dengan pencapaian yang ada dan satu lagi tinggal di desa yang mudah berpuas hati jika sudah memiliki kereta dan rumah sederhana besar. Baik di kota atau desa, mereka adalah kelompok perut kenyang dan membentuk majoriti. Kelas bawahan masih ada tetapi peratusannya kecil dan umumnya perutnya kenyang juga. Apa yang membezakan adalah pilihan jenis santapan.

Ketika tulisan ini ditulis, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu sedang bersiap menerima kehadiran ribuan warga untuk perhimpunan aman Bersih 4. Perhimpunan ini bertujuan mendesak lima tuntutan: Pilihanraya Bersih, Kerajaan Bersih, Kukuhkan Demokrasi Berparlimen, Hak Membantah dan Selamatkan Ekonomi Negara.

Advertisement

Turun ke jalan bukan sepenuhnya milik rakyat yang perutnya lapar. Kadang perut yang kenyang lebih berbahaya.
Turun ke jalan bukan sepenuhnya milik rakyat yang perutnya lapar. Kadang perut yang kenyang lebih berbahaya.

Seperti perhimpunan sebelumnya, Bersih 1, Bersih 2 dan Bersih 3. Bersih 4 tidak terlepas dari mengundang pandangan pro dan kontra di kalangan masyarakat. Pandangan yang kontra sudah dijangkakan. Namun yang menarik kali ini adalah banyaknya pandangan pro yang mengandungi sedikit kontra. Perhimpunan bakal sia-sia kerana tidak akan menjatuhkan kerajaan dan peserta perhimpunan terlalu baik dan berdisiplin antara yang disebut-sebut.

Dari pengalaman penulis pandangan tersebut benar sekali. Banyak teman-teman penulis di Indonesia mengatakan peserta perhimpunan atau demonstran Bersih tidak cukup anarkis apatah lagi untuk membuat revolusi. Tiada yang ingin membakar diri dan tiada pula yang ditembak mati. Demonstrannya tidak berdisiplin, tidak mengikut arahan dan berterabur. Gas pemedih mata dilepaskan bertempiaran ke sana sini.

Kenapa begitu di Malaysia? Menurut penulis hanya satu faktor iaitu perut kenyang. Demonstran di Malaysia agak unik berbanding negara-negara membangun lainnya. Majoriti demonstran adalah kelas menengah yang serba ada dan cukup makan (makanan yang sedap). Mereka hadir tidak dipaksa dan tidak mudah terpancing dengan segelintir demonstran yang cenderung anarkis. Setelah disembur gas pemedih mata, beransur-ansur mereka pulang dan memenuhi kedai makan.

Advertisement

Jika ditanya apa hasil perhimpunan Bersih terhadap pengukuhan demokrasi, tata kelola negara, keterbukaan dan seumpamanya, lihatlah Malaysia dan rakyatnya selepas pilihanraya umum 2008 dan 2013. Rakyat semakin berani dan masih dalam batasannya dan pemimpin tidak dihormati membabi buta lagi. Jika ada yang tidak mengakui keberhasilannya, ya silakan terus dalam sindrom penafian.

Turun ke jalan bukan sepenuhnya milik rakyat yang perutnya lapar. Kadang perut yang kenyang lebih berbahaya. Perut yang kenyang akalnya lebih sihat dan rasional dalam berfikir berbanding perut yang lapar. Sudah menjadi kelaziman di mana-mana perut yang lapar dipergunakan sekelompok yang mengatasnamakan rakyat dan revolusi untuk kepentingan politik dan kekuasaan mereka. Jika perutnya kenyang, laungan "hidup rakyat!" yang keramat itu tidak akan dihadam begitu saja.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.