14 OKTOBER — “Let me tell you something my friend. Hope is a dangerous thing. Hope can drive a man insane.” Ellis Boyd ‘Red’ Redding

Pertama, kita telah ditipu hidup-hidup. Kita telah diberitahu bahawa kita perlu sekolah. Bahawa kita perlu masuk kelas. Kita perlu duduk di atas kerusi, menulis di atas meja. Kita perlu ambil ujian. Kita perlu lulus ujian.

Kedua, kita telah diberitahu bahawa semua ini adalah sebuah sistem – yang perlu kita ikuti. Semua orang perlu patuhi sistem ini. Yang tidak mahu patuh – boleh dikenakan tindakan.

Ketiga, kita tidak diberi pilihan.

Advertisement

PENDIDIKAN ADALAH SISTEM?

Inilah masalah masyarakat kita. Masyarakat kelas ketiga yang membayangkan mereka sebenarnya masyarakat kelas pertama.

Masyarakat ini ingat negara ada KLCC, ada Nicol David, ada KLIA2, jadi mereka ingat mereka berada di landasan yang benar. Masyarakat ‘pulp fiction’ ini ingat pendidikan ialah sebuah sistem. Mereka ingat hal seperti moral, etika dan budaya itu boleh dibentuk seperti tanah liat. Mereka ingat hal seperti agama, sejarah dan falsafah itu boleh dibina seperti mencipta logo Wawasan 2020.

Advertisement

Mitos inilah yang seringkali diulang-ulang, diletakkan di dalam otak masyarakat untuk menghilangkan fungsi sebenar pendidikan iaitu kehidupan itu sendiri. Jadi, apakah sebenarnya pendidikan? Apakah sistem pendidikan itu boleh diukur? Apakah sistem itu apabila wujudnya kementerian-kementerian, atau wujudnya bangunan-bangunan?

Atau apakah pendidikan itu dikira melalui bilangan universiti, atau tangga kedudukan universiti di carta-carta yang dibina oleh cukong dan tukang niaga pendidikan Barat?

ANDY DUFRESNE, CITRA WARGA TERTINDAS

Ketika dihukum penjara seumur hidup kerana dituduh membunuh isteri dan rakan isterinya pada 1947, pengurus bank, Andy Dufresne dihantar ke Shawshank State Penitentiary di daerah Maine.

Namun kisah sebenar Dufresne hanya diketahui setelah setahun Tommy Williams berada di penjara Shawshank. Tommy ialah anak muda yang Dufresne bantu di dalam penjara sehingga lulus peperiksaan G.E.D.-nya.

Tommy mendedahkan pada 1966, hampir 19 tahun setelah Dufresne meringkuk di dalam Shawshank tentang kisah rakan selnya di penjara yang lain sebelum ini yang mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan isteri dan rakan Dufresne.

Dufresne kemudiannya menemui Warden Norton menceritakan kisah ini dan kemungkinan maklumat baharu Tommy membolehkannya mendapatkan pengadilan yang adil.

WARDEN NORTON, CITRA WARGA PENINDAS

Tetapi Warden Norton tidak mengendahkan permintaan Dufresne untuk membuka kembali fail siasatan dirinya, sebaliknya menghumban Dufresne ke ‘solitary confinement’ selama dua bulan.

Tommy pula dibunuh oleh Kapten Hadley dengan tuduhan melarikan diri walaupun hakikatnya adalah untuk menghapuskan satu-satunya bukti Dufresne tidak bersalah. Dufresne meneruskan hidupnya di dalam penjara seperti biasa selepas kematian Tommy.

Walau kematian Tommy membuktikan dirinya tidak bersalah dan tidak patut hidup sebagai banduan, Dufresne tetap meneruskan aktiviti penggubahan wang haram untuk Warden Norton setelah diugut perpustakaannya akan dibakar serta kawalan istimewa oleh pegawai dan sel lamanya ditarik balik jika tidak mahu membantunya menjalankan kerja haram tersebut.

Bob Gunton yang memegang watak Warden Norton di dalam filem ini dipotretkan sebagai seorang yang alim, boleh menuturkan serta menghafal ayat-ayat Bible dengan lancar.    

KITA SEMUA ADALAH BROOKS HATLEN

Setelah 2 tahun di dalam penjara, Dufresne kemudian ditugaskan dari ruang dobi ke perpustakaan penjara untuk membantu Brooks Hatlen pada 1949. Brooks Hatlen ialah banduan senior yang menghabiskan sehingga 50 tahun di dalam penjara. 

“Dear fellas, I can’t believe how fast things move on the outside. I saw an automobile once when I was a kid, but now they’re everywhere. The world went and got itself in a big damn hurry.”

Brooks menggantung dirinya tepat 7 tahun setelah Dufresne dipenjarakan. Ironi, Brooks menggantung dirinya setelah dibebaskan.

“I have trouble sleepin’ at night. I have bad dreams like I’m falling. I wake up scared. Sometimes it takes me a while to remember where I am. Maybe I should get me a gun and rob the Foodway so they’d send me home. I could shoot the manager while I was at it, sort of like a bonus. I guess I’m too old for that sort of nonsense any more. I don’t like it here. I’m tired of being afraid all the time. I’ve decided not to stay. I doubt they’ll kick up any fuss. Not for an old crook like me,”

Petikan-petikan surat Brooks kepada rakannya di dalam penjara menjelaskan betapa Brooks tidak lagi mampu menempuh kehidupan di luar penjara. Di penjara, Brooks akan bangun apabila diminta, makan apabila disuruh dan tidur apabila tiba masanya. Semua perkara disediakan, dari baju sehinggalah aktiviti harian. Setelah 50 tahun hidupnya di-institusikan, beliau hidup dalam ketakutan di luar penjara.

TUKUL DAN RITA HAYWORTH SEBAGAI HARAPAN

Di dalam penjara, Dufresne berkawan dengan Ellis ‘Red’ Redding, seorang penyeludup barangan yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup. Barangan pertama yang beliau minta Red seludup ke dalam penjara ialah sebuah tukul kecil dan juga poster besar Rita Hayworth.

Tukul inilah yang digunakan oleh Dufresne untuk menggali lubang kecil sebelum berjaya meloloskan diri 20 tahun kemudiannya. Poster Rita Hayworth yang telah digantikan dengan Raquel Welch pula sebenarnya digunakan untuk menutup lubang yang sedang digali Dufresne.

Jadi sebenarnya, seluruh kesibukan Dufresne membina perpustakaan dan mendekati Warden Norton adalah cara paling ‘cult’ untuk melawan sistem. Jelas, sistem kehakiman yang bermula dari perbicaraan sehingga kepada corak pemerintahan rejim di Shawshank adalah sistem bobrok yang menindas.

Watak tertindas di sini ialah Dufresne sendiri di mana pihak pendakwaan jelas telah tersilap menghukum orang yang tidak bersalah.Watak penindas pula ialah Warden Norton sendiri. Menariknya, watak penindas ini didatangkan bersama watak alim-alim kucing Warden Norton yang kononnya sangat arif dengan kitab Bible.

Pertama, watak penindas sinonim dengan pemilik kuasa. Keduanya, watak penindas ini juga selalunya sinonim dengan agamawan. Ketiga, penindas hadir dengan sistem yang tersusun dan sistematik. Dalam konteks The Shawshank Redemption, satu-satunya cara untuk melawan sistem ialah bukan dengan konfrontasi.

Perlawanan ialah melalui strategi, melalui kreativiti, perlawanan perlu dimulakan dari pemikiran dan ideologi yang dipandu oleh harapan. Dan satu-satunya harapan yang Dufresne ada di dalam Shawshank ialah tukul kecil dan poster Rita Hayworth.

PENJARA SEBAGAI SATU SISTEM

The Shawshank Redemption menunjukkan kepada kita satu perkara bahawa, sistem yang kita sedang hadapi dan jalani pada zaman moden ini ialah sistem yang tidak adil dan menindas.

Sistem yang menindas ini pula lahir dari perut dan celah kelangkang undang-undang. Bapanya sudah pasti ialah – demokrasi. Selain sistem yang tersusun dan sistematik, filem ini juga mengajarkan kita bahawa perlawanan secara terang-terangan adalah mustahil untuk dilakukan. Yang tertindas tidak punya pilihan selain mendengar dan mengikuti arahan.

Tetapi, Dufresne mengajarkan kita satu perkara iaitu dalam keadaan ditindas, satu-satunya senjata untuk melawan ialah harapan. Dufresne menunjukkan kepada kita bahawa kehidupan di luar penjara itu wujud dan boleh dicapai. Hanya melalui semangat dan harapan, perlawanan menentang penindasan akan berjaya.

Sistem pendidikan - sejak zaman Jeremy Bentham lagi sudah diinstitusikan. Sekolah-sekolah dibina bagaikan penjara. Pondok-pondok pengawal didirikan untuk mengelakkan murid keluar dari sekolah. Guru-guru dilatih untuk menjadi pengawal, mengawal apa yang boleh dipelajari dan apa yang tidak boleh dibaca.

Sistem ini kemudiannya membesar dan menjadi gergasi yang tidak lagi boleh dikalahkan. Pendidikan menjadi komoditi untuk dijual beli, sebagaimana Warden Norton menjual tenaga buruh di Shawshank.

Teori-teori Karl Mannheim ataupun Jose Ortega y Gasset mungkin boleh dijadikan panduan, tetapi malangnya dunia berubah terlalu pantas.Ketika kita di benua ini sibuk membincangkan samada iPhone 6 bengkok atau tidak, benua Afrika sedang menggigil berdepan wabak Ebola. Negara di Timur Tengah pula, satu-persatu jatuh ke dalam lubang demokrasi ciptaan Amerika.

Terus, apa semangat Dufresne yang boleh kita contohi mendepan masa depan ala-‘Shawshank’ seperti hari ini? Pertama, pendidikan bukanlah sistem untuk dilawan. Pendidikan ialah kehidupan itu sendiri. Kedua, memenangi kehidupan bukan melalui kebodohan atau kesombongan. Hidup hadir kepada kita jika kita sabar dan tetap berusaha memenanginya.

“Remember, Red. Hope is a good thing, maybe the best of things, and no good thing ever dies,” Andy Dufresne.

* Tulisan ini telah dibentangkan di Mimbar Gerak Budaya yang diadakan di Bangunan SIRD, Petaling Jaya pada 2 Oktober 2014.

** Ini adalah pendapat peribadi penulis.