SEPTEMBER 8 — Berita yang menggemparkan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 pasti masih segar dalam ingatan orang ramai.

Apatah lagi, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mempertahankan keputusan mahu menggunakan akta itu walaupun amat jelas bahawa tiga guru yang sebenarnya melakukan hasutan dalam kes ini.

Sekadar imbasan, seorang pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang dikatakan telah menyukai (like) laman “I Love Israel” di Facebook.

Harap maklum bahawa pelajar berkenaan tidak melakukan apa-apa ulasan atau komentar; apatah lagi hasutan.

Advertisement

Malah, pelajar berkenaan membuat laporan polis pada 11 Ogos 2014 dan mengesahkan bahawa dia tidak pernah melakukannya (menyukai laman berkenaan).

Tidak hairanlah tindakan pihak berkuasa yang dianggap zalim, keterlaluan dan mencabul hak rakyat menerima kritikan bukan hanya di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Amat jelas siapa yang sebenarnya melakukan hasutan dalam kes ini.
Amat jelas siapa yang sebenarnya melakukan hasutan dalam kes ini.

Advertisement

Saya mengikuti kes ini sebaik selepas pelajar terbabit membuat laporan polis. Bagaimanapun, untuk rekod, harap maklum bahawa tiada sebarang komunikasi antara saya dan pelajar serta ibu bapanya sehingga saat ini.

Sebab itulah apabila berkali-kali pihak berkuasa (polis dan jabatan pendidikan) bertanya kepada pelajar dan ibu bapanya sama ada mereka mengenali saya, mereka bercakap benar (“Tidak”).

Begitu juga apabila ditanya bertalu-talu bagaimana segala maklumat mengenai perkembangan kes itu sampai kepada saya, mereka tetap bercakap benar (“Tidak tahu”).

Pihak berkuasa perlu sedar dan faham bahawa pelbagai pihak yang prihatin tampil menyampaikan maklumat kepada saya supaya dapat dikongsikan menerusi media alternatif dan media sosial.

Dengan adanya media alternatif dan media sosial jugalah “kezaliman” yang dilakukan pihak berkuasa sampai kepada pengetahuan masyarakat awam.

Rata-rata orang ramai terkejut dengan ketegasan polis mahu menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat seorang budak bawah umur.

Rakyat berani bersuara menentang kezaliman

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataanya menyifatkan tindakan polis sebagai keterlaluan.

Pandangan ini senada dengan komen mana-mana pihak yang mampu berfikir secara rasional menggunakan akal yang sihat.

Polis bertegas mahu menggunakan Akta Hasutan terhadap seorang pelajar.
Polis bertegas mahu menggunakan Akta Hasutan terhadap seorang pelajar.

Namun, pada 19 Ogos 2014, ketua jabatan siasatan jenayah Pulau Pinang, Mazlan Kesah dilaporkan tetap mempertahankan penggunaan Akta Hasutan bagi menyiasat pelajar berkenaan.

Pada 1 September 2014, saya berkongsi pendirian menerusi Facebook bahawa kalaulah cadangan Akta Hasutan tehadap pelajar berkenaan diteruskan, pihak berkuasa memang sengaja mengundang laknat.

Dalam komennya, seorang rakan bernama Mogan Raaj membandingkan apa yang berlaku ini dengan Ops Lalang.

Thilagavathy Marimuthu pula melahirkan kebimbangan kerana Malaysia dilihatnya sebagai sedang menuju kemusnahan yang diundang (self destruction).

Aktivis pelajar, Adam Adli pula menulis di laman rangkaian sosial: “1948, Akta Hasutan digunakan untuk melawan kempen komunis. 2014, Akta Hasutan digunakan untuk siasat budak sekolah.”

Selepas mendapat kritikan pada peringkat tempatan dan antarabangsa, Mazlan Kesah mengakui bahawa polis sebenarnya sekadar bertindak atas arahan pihak atasan (Malaysiakini, 21 Ogos 2014).

Pesuruhjaya Suhakam, Khaw Lake Tee pula dilaporkan segera menyelar Mazlan dengan mengingatkan hakikat bahawa perbuatan polis secara terang-terangan melanggar hak asasi remaja itu yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa Mazlan mengakui bahawa perbuatan seseorang menyukai (like) sesuatu laman di Facebook tidak bermakna individu berkenaan menyokong apa-apa agenda yang dipromosikan laman berkenaan.

“Mungkin pelajar itu hanya mahu mendapatkan maklumat terkini. Kalau dia tidak ‘menyukai’ laman itu, bagaimana dia boleh dapatkan maklumat?” katanya secara penuh ironis.

Siapa sebenarnya penghasut?

Pengakuan dan “akal” (atau “budi” — kedua-duanya Sanskrit) yang ditampilkan oleh Mazlan sudah cukup untuk membuktikan betapa tidak adil bagi pihak berkuasa menyiasat pelajar terbabit; apatah lagi di bawah Akta Hasutan.

Dalam pada itu, usah kita lupa siapa yang sebenar-benarnya melakukan “hasutan” dalam kes ini.

Jangan pula kita turut terpedaya dengan permainan politik dan silap mata polis sehingga lupa akan penghasut sebenar.

Paparan yang menunjukkan pelajar berkenaan kononnya menyukai laman “I Love Israel” dibuat tangkapan skrin (screenshot) oleh seorang guru sebuah sekolah di Bandar Tasek Mutiara.

Tangkapan skrin itu dipaparkan pada dinding (wall) Facebook guru berkenaan dengan komen “Anak muridku suka Israel? Buat malu cikgu sahaja.”

Beliau yang merupakan lepasan pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang menyatakan pekerjaannya sebagai “cekgi” dan tinggal di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Seorang lagi guru lepasan ijazah sarjana muda seni halus Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga tinggal di Simpang Ampat mula melakukan hasutan. Ulang: hasutan.

“Sedangkan sekutu Israel kita boikot, apakan lagi budak ini. Boikot saja. Mulai hari ini, boikot dia. Jangan berkawan dengannya atau berkomunikasi dengannya.”

Demikian lebih-kurang kata-kata hasutan yang ditulis guru wanita itu.

Saya turut terkejut apabila seorang guru lain menyimbah minyak ke dalam api dengan menulis komen “Kita bakor je hahaha.”

Mengikut Seksyen 3 (1) Akta Hasutan, perbuatan “mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan yang berbeza di Malaysia” termasuk dalam definisi hasutan.

Pesalah dilindungi, mangsa dizalimi

Akan tetapi, apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes ini? Umum mengetahui menerusi laporan media bahawa polis bertegas mahu menyiasat pelajar (budak bawah umur) itu di bawah Akta Hasutan.

Bagaimana pula dengan guru-guru wanita terbabit yang secara terang-terangan melakukan hasutan menerusi laman rangkaian sosial?

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Osman Hussain dilaporkan sebagai berkata pada 18 Ogos 2014 bahawa guru terbabit “dibebaskan” selepas memohon maaf dalam suatu pertemuan tertutup dengan pelajar terbabit dan ibu bapanya.

Seminggu kemudian, Osman mendedahkan bahawa guru yang melakukan hasutan “Kita bakor je” mungkin ditukarkan ke sekolah lain.

Bagaimanapun, pertukaran itu bukan sebagai hukuman atas hasutan yang dilakukan. Sebaliknya, Osman menekankan, tindakan itu bagi melindungi guru berkenaan. Baca: Melindungi penghasut.

Osman juga mengakui bahawa pelajar terbabit (si mangsa hasutan) diberikan amaran kerana, katanya, pelajar itu perlu faham bahawa dia tidak boleh menyukai laman “I Love Israel” kerana perbuatan itu boleh menyentuh sentimen masyarakat tertentu di negara ini.

Agak aneh kerana saya turut menyukai (like) laman itu tetapi tidak pula disiasat di bawah Akta Hasutan. Mungkin polis hanya berani membuli budak-budak bawah umur.

Selaku pemilik tunggal syarikat ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’, saya tahu — dan disahkan oleh orang dalam — bahawa blog serta Facebook saya dipantau pihak berkuasa dan pihak ada kuasa.

Baguslah! Sebab itulah juga saya memaparkan segala pendedahan mengenai kes ini secara terbuka di Facebook supaya mesej saya sampai kepada pihak berkenaan.

“If the Penang CID Chief continues with the Sedition Act towards the 17-year-old student from a school in Bandar Tasek Mutiara, Penang, he sure is licking for trouble. Pun intended.”

Demikian rumusan saya pada 3 September 2014 dan saya — sepertimana media antarabangsa — sedang menantikan perkembangan lanjut kes ini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.