30 OGOS — Lama tinggal di Indonesia tidak membuat saya hilang cinta terhadap negara di mana saya dilahirkan, Malaysia. Cinta kepada tanah kelahiran itu perkara wajar kerana dua faktor - di situ kita dilahirkan dan juga dibesarkan. Sudah pasti, fasa dibesarkan datang satu pakej dengan proses cuci otak untuk mencintai negara yang lazimnya bermula dari sekolah — contoh dengan mengenal bendera, menyanyikan lagu kebangsaan dan sebagainya. Namun tidak seperti memilih pasangan hidup, kita boleh memilih mencintai lebih dari satu negara atau tempat seperti mana saya mencintai Malaysia dan Indonesia.

Setiap negara ada kekuatan dan kelemahannya, yang kuat kita perkuat dan yang lemah kita perbaiki. Membandingkan Malaysia dengan negara itu dan negara ini perkara wajar, tetapi jangan sampai semberono tanpa melihat konteks.

Setelah 57 tahun Merdeka, 4 perkara yang saya syukuri;

1) Kerajaan Barisan Nasional (BN) — sebuah kerajaan yang relatif cekap mentadbir dan membangunkan negara ini meski banyak kelemahan dan rasuah di sana sini. Kerajaan BN tidak perlu melakukan penipuan yang mencolok dalam pilihanraya seperti mana di Indonesia pada zaman Soeharto kerana majoriti rakyat mengkehendaki BN (kecuali pada 2008 & 2013) — sebuah kerajaan yang stabil dan tidak ekstrem seperti PAS. Meski meluat dengan perangai BN, saya tidak mampu menidakkan pencapaian mereka. Apatah lagi saya mula mengenal BN hanya pada 1990 dan bersahabat (dalam erti mengenal lebih dalam) pada 1994. Tidak cukup menilai BN sepenggal-sepenggal tanpa melihatnya secara menyeluruh.

Advertisement

2) Kemerdekaan yang dikecapi tanpa darah umumnya telah melahirkan masyarakat Malaysia yang rasional. Meski Darurat 1948-1960 adalah persitiwa berdarah, ia sangat berbeza dengan peristiwa sama yang berlaku di Indonesia sebagai contoh. Malaysia tidak perlu malu dan merasa rendah diri dengan negara yang merdeka dengan darah. Hingga saat ini provokasi untuk melaga-lagakan agama dan kaum tidak dilayan rakyat Malaysia dan panggilan untuk revolusi terhadap kerajaan BN juga tiada siapa yang peduli. Setiap negara ada jalannya masing-masing.

3) Wujudnya gabungan parti-parti pembangkang di peringkat pusat iaitu Pakatan Rakyat (PR) dan masyarakat sivil yang kuat, lantas membuatkan BN harus bekerja keras dan persaingan politik di Malaysia semakin kompetitif. Ini perkara yang paling menyeronokkan di Malaysia sejak 2008. Dua gabungan parti-parti politik ini, BN dan PR sedang menjadi macai kepada rakyat. Meski masih jauh dari menjadi macai rakyat, proses ke arah itu terus berlangsung.

4) Kepelbagaian bahasa rakyatnya tanpa perlu mengikut model asimilasi Thailand dan Indonesia sebagai contoh. Ramai membandingkan Malaysia dengan Indonesia, tetapi ramai tidak tahu Indonesia kehilangan banyak penutur bahasa etniknya seperti Bali, Batak, Sunda, Mandarin, Tamil, Bugis dan banyak lagi atas nama Bahasa Indonesia. Bukan itu saja, orang Melayu Indonesia di Pulau Sumatera juga hilang Bahasa Melayunya dan lebih fasih berbicara dalam Bahasa Indonesia. Indonesia juga hilang daya saingnya — rakyat Indonesia berketurunan Cina dan India tidak mampu bertutur dalam bahasanya dan majoriti rakyat Indonesia tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Maka gunakanlah peluang yang ada di Malaysia untuk menguasai lebih dari dua bahasa. Kita punya sekolah yang mengajar dalam Bahasa Mandarin, kita punya akhbar Bahasa Inggeris yang edarannya meluas sampai ke pekan-pekan kecil dan kita punya pejabat kerajaan yang menggunakan Bahasa Melayu dalam urusannya.

Advertisement

Meski demikian, bersyukur itu bukan bermakna kita selesai di sini. Seperti saya sebut di awal, proses perkuat dan perbaiki harus berjalan terus. Salam Merdeka.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.