‘Who dares to teach must never cease to learn.’ — J. C. Dana (1856-1929)

20 JAN — Ini adalah tulisan kedua dari tiga siri tulisan mengenai Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kritik terhadapnya. Pada bahagian pertama yang lalu saya telah menulis mengenai realiti ‘Pelatih Guru’ di IPG dan menyatakan cadangan lanjut.

Tulisan kali ini saya akan menyentuh mengenai pensyarah pula. Ada yang berpendapat apabila saya menulis mengenai pensyarah, seolah-olah saya tidak punya hormat terhadap mereka yang pernah mengajar saya dahulu kerana berani mengkritik mereka.

Ini sangat berbeza dengan amalan di negara maju. Mengkritik dan menjalankan analisis kritikal sangat berbeza dengan mengutuk. Saya menulis kerana berpendapat bahawa kita mengamalkan demokrasi partisipasi di mana setiap orang mempunyai hak untuk bersuara. Keduanya saya menulis atas rasa bertanggungjawab untuk meneliti dan menganalisis amalan yang sekian lama dipakai ini serta menyatakan cadangan lanjut, kerana ianya akan memberi kesan terhadap anak-anak saya sendiri pada masa hadapan.

Advertisement

27 IPG bukanlah jumlah yang kecil. Sebagai pensyarah di IPG, merekalah arkitek kepada bakal guru, yang akan mencorak dan melaksanakan perubahan pendidikan kepada lebih dari 10,000 sekolah pada masa hadapan. Oleh yang demikian, sekiranya tulisan ini tidak benar ataupun boleh disanggah, saya mengalu-alukan tulisan atau kritikan balas terhadapnya.

Mentaliti Budaya Ilmu

Pensyarah IPG perlu sedar bahawa dunia sedang berubah. Mahasiswa pendidikan yang masuk saban tahun bukan lagi pelajar lepasan sekolah seperti abang dan kakak mereka ketika program Diploma 10 atau 15 tahun yang lalu. Mereka adalah Gen-Y yang peka gajet elektronik dan terbuka kepada aplikasi media sosial dalam talian. Mereka memperoleh maklumat lebih laju dari pustakawan IPG kerana maklumat dalam talian kini di dalam poket serta genggaman mereka.

Advertisement

Amalan pengajaran dan pembelajaran perlu berubah seiring dengan perkembangan global. Para pelajar perlu didedahkan segera dengan amalan dan teknik kajian terbaharu dalam pendidikan seperti Teknik Delphi atau Interpretive Structural Modelling (ISM). Teknik tradisional seperti Kajian Tindakan sudah boleh dihentikan kerana mahasiswa pendidikan perlu didedahkan dengan teknik kajian masa hadapan.

Lebih besar, inovasi sistem pendidikan akan lebih meriah dan dinamik sekiranya lebih ramai para pensyarah yang mengajar mahasiswa pendidikan ini menulis di jurnal antarabangsa bertaraf ISI/Scopus. Dan ini tidak akan dapat dicapai jika budaya ilmu tidak berkembang mekar di kalangan tenaga pengajar IPG ini. Budaya ilmu pula hanya akan berkembang sekiranya para pensyarah ini sedar tanggungjawab mengembangkan ilmu bukan hanya hadir melalui rekod kedatangan kelas, penghantaran tugasan ataupun markah kuiz dan peperiksaan. Ilmu akan berkembang kerana adanya sifat cinta terhadap ilmu.

Perbincangan mengenai falsafah pendidikan, pedagogi, penggubalan polisi, pendidikan minoriti mahupun perkembangan kurikulum perlu kembali dipupuk di kalangan mahasiswa pendidikan. Falsafah pendidikan misalnya tidak harus dibahas semata-mata merujuk kepada lima item di dalam Falsafah Pendidikan Negara. Perbahasan intelektual mengenai falsafah pendidikan yang lebih besar perlu segera digerakkan. Falsafah pendidikan Greek, Jepun mahupun Finland atau Korea Selatan perlu segera diselak semula oleh kalangan pensyarah untuk mencetuskan revolusi pemikiran di kalangan mahasiswa pendidikan agar mereka mampu membuat analisis yang lebih kritikal apabila berdepan realiti di sekolah nanti.

Wacana mengenai pedagogi juga tidak seharusnya terhad di sekitar Taksonomi Bloom atau pembelajaran koperatif semata-mata. Perkembangan semasa Pedagogi Kritikal misalnya oleh Henry A Giroux yang mempersoal ‘production of knowledge’ ataupun Pedagogi Cinta yang diadaptasi dari hasil kerja Paulo Freire perlu dijalankan untuk menyemai budaya ilmu di kalangan mahasiswa pendidikan. Mahasiswa ini perlu diajar bukan sahaja untuk membaca teks subjek bidang mereka sahaja, tetapi juga menjengah teks pembinaan sosial Ibn Khaldun, teori peradaban Malek Bennabi ataupun pemikiran Ibn Sina terhadap pendidikan. 

Sebagai guru muda, mahasiswa pendidikan ini perlu disediakan bukan setakat untuk mengambil kedatangan pelajar mahupun sebagai pengurus kelas sahaja. Keupayaan mereka dari segi intelek harus segera dikembangkan. Jurnal-jurnal pendidikan antarabangsa seharusnya menjadi medan para pensyarah ini bersilat bukan sahaja untuk mencipta idea baharu menerokai ruang pendidikan masa hadapan seperti teknologi mikro, tetapi juga sebagai panduan kepada guru muda, mahasiswa pendidikan belajar. Dan ini seharusnya tidak dapat dimulai jika budaya ilmu tidak dimulai oleh kalangan tenaga pengajar IPG sendiri.

Struktural vs Hasil

Di Sweden, penggubal kurikulum mula bercakap mengenai konsep pembelajaran ‘paperless’. Murid akan membawa hanya iPad ke sekolah. Di New York, kurikulum menggunakan permainan video telah dilaksanakan sejak 2009. Perkembangan dunia bergerak seiring dengan perkembangan digital mahasiswa pendidikan.

Kelas-kelas pengajian perlu segera berubah bukan semata-mata kelas psikologi atau pengurusan kelas, tetapi kelas-kelas untuk mengurus masa hadapan yang lebih canggih. Teknologi seperti ‘augmented reality’, teknologi robotik serta teknologi aeronautik adalah masa hadapan pendidikan. Pengumuman Amazon berkenaan ‘drone’ Prime Air serta pembelian Boston Robotics oleh Google menunjukkan sistem pendidikan masa kini sama sekali tidak akan sama dalam masa 30 tahun ke hadapan.

Pendidikan dalam talian, penggunaan gajet di dalam kelas serta penggunaan media sosial sebagai penghubung di antara guru dan pelajar adalah di antara prinsip perubahan besar dalam pendidikan masa hadapan. Kesemua ini akan dihadapi oleh guru muda untuk 30 tahun ke hadapan, mahasiswa pendidikan yang pada hari ini masih berada di IPG. Dan segala prinsip perubahan idea dan teknologi ini tidak akan dapat diadaptasi oleh mereka sekiranya ianya tidak didedahkan pada awal tempoh pengajian mereka sebagai guru di IPG. Para pensyarah harus mengambil tanggungjawab ini dengan amalan kajian yang mengikut perkembangan semasa.

Mahasiswa pendidikan ini perlu dilatih dengan idea dan inovasi, bukan lagi dengan tradisi. Para pensyarah harus segera sedar tangggungjawab mereka bukan lagi sebagai guru, tetapi lebih besar mereka ialah ‘awakener’ di kalangan guru muda ini agar sistem pendidikan nasional berjaya mencetuskan revolusi sosial yang lebih baik berkadaran dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. Konsep pengajian struktural yang mementingkan senarai kehadiran, rekod dan ISO perlu segera diubah kepada konsep pengajian berteraskan cinta ilmu serta percambahan prinsip perubahan idea dan tekonologi di dalam kelas.

Oblomovisme dan anti-Intelektualisme

Syed Hussein Alatas di dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, Bab 3 berkenaan Bebalisme sempat menceritakan mengenai istilah Oblomovisme yang diperkenalkan oleh novelis Rusia Goncharov.

“Profesor akan berhenti memberi kuliah, si pelajar akan berhenti belajar, para pengarang akan menghentikan penulisannya, si pelakon tidak pernah muncul di pentas dan seniman akan mematahkan pahat dan paletnya...mereka hanya berbicara berkenaan perjuangan luhur, kesedaran akan kewajipan moral, dan kepentingan bersama; apabila diuji semua itu ternyata hanyalah kata-kata, tak lebih dari kata-kata belaka. Perjuangan mereka yang paling tulus dan sepenuh hati ialah perjuangan untuk istirehat, memakai gaun rumah dan kegiatan mereka tidak lebih dari memakai gaun rumah yang terhormat. Ini menunjukkan bahawa segala hal yang mereka bicarakan dan impikan tentangnya sesungguhnya asing bagi mereka, dangkal, jauh dalam lubuk hatinya mereka hanya mengharapkan satu impian, impain yang ideal – istirehat yang tidak terganggung, ketenangan-isme,”

Mengambil konsep ini, Syed Hussein Alatas memperkenalkan konsep Bebalisme yang menurutnya; ‘sikap berfikir yang lesu, tidak berfikir, tidak terpengaruh oleh logik, tidak estetaik, kadangkala kasar, acuh tidak acuh, lekas percaya, tidak ilmiah, tidak suka mengawas diri, tidak berdaya cipta dan tanpa tujuan akhir yang diikrarkan dengan sedar,’. Beliau menyambung di hujung Bab 3 tersebut; ‘Selain itu bebalisme menjadikan orang berpendidikan buta terhadap pokok pemikiran mereka. Tambahan pula bebalisme tidak mempunyai cukup kemampuan untuk menyangkal akal fikiran dan perasaan yang kurang halus,’.

Syed Hussein Alatas menulis konsep Bebalisme ini 27 tahun yang lalu. Namun tidak mustahil konsep ini masih berleluasa di IPG samada di kalangan tenaga pengajar mahupun mahasiswa pendidikan. Harapan saya; agar graduan mahasiswa pendidikan IPG ini keluar dengan pemikiran terhadap bangsa dan agama, bukan semata-mata ilmu tentang bidangnya sahaja. Negara pasti tidak mahu mahasiswa pendidikan yang kerjanya saban masa bermain Dota di biliknya atau saban minggu keluar menonton wayang kerana sistem pembelajaran IPG yang membosankan.

Sistem pendidikan di Malaysia sedang berada di dalam fasa kritikal tatkala isu minoriti, antara-bangsa dan inter-etnik kembali timbul seperti di awal penubuhan Malaysia 50 tahun dahulu. Asas falsafah pendidikan, pemilihan pedagogi yang sesuai serta rombakan kurikulum yang dibuat harus segera mengambil kira semua latar belakang tersebut. Tetapi kerja memperbaiki dan meningkatkan mutu pendidikan ini tidak boleh dilaksanakan oleh pihak kementerian sebagai pihak berwajib sendirian. Pensyarah IPG sebagai guru dan mentor kepada mahasiswa pendidikan ini harus mengambil tanggungjawab menyediakan semua guru muda ini untuk kembali memegang amanah sebagai guru dan pendidik di dalam kelas, bukan hanya sebagai kerani dan pengurus murid. Guru muda ini harus dilatih untuk menyampaikan ilmu, bukan penyampai buku teks.Tanpa menafikan saya sendiri banyak terkesan dengan beberapa pensyarah IPG yang berjaya mencorak pemikiran dan budaya diri, tulisan ini ialah ikhtiar kecil saya terhadap pembangunan sistem pendidikan guru yang lebih baik untuk masa hadapan Malaysia.

* Tulisan ini perlu dibaca bersama dengan 2 bab tulisan Syed Hussein Alatas di dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun iaitu; Bab 2, ‘Kaum Intelektual dan Fungsinya’ serta Bab 6, ‘Kepentingan Kaum Intelektual’.

** Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.