28 JANUARI — Berapa ramaikah sahabat baik yang anda ada ketika ini? Siapakah mereka itu?

Adakah sahabat-sahabat baik ini sentiasa bersama dengan anda bukan sahaja semasa anda senang bahkan juga ketika anda dilanda musibah dan masalah?

Bagaimana pula dengan kesanggupan sahabat-sahabat baik ini untuk memberikan bantuan kepada anda tanpa mengharapkan sesuatu kembali?

Jika jawapan anda kepada kesemua persoalan di atas adalah positif, maka anda sangat bertuah kerana dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang tulen dan sejati. Namun, jika anda menjawab tidak kepada kesemua persoalan tadi, maka sahabat-sahabat yang ada tadi bukanlah sahabat yang sejati.

Advertisement

Begitulah resam kehidupan seharian dan ini adalah hakikat sebenar. Dalam dunia yang materalistik dan kompetitif, masing-masing perlu hidup dan bersaing bagi memastikan kelangsungan mereka terus terpelihara. Untuk itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana bagi mereka, kelangsungan diri mengatasi segala-galanya.

Itu sebabnya, sahabat baik atau best friend hanyalah suatu terma yang hanya wujud sekiranya masing-masing mempunyai kepentingan yang perlu dicapai. Dalam erti kata lain, anda diperalatkan oleh sahabat anda untuk tujuan tertentu dan begitu juga sebaliknya.

Keadaan ini jelas terserlah ketika seseorang itu merupakan seorang yang berkuasa dan berada. Pada ketika itulah, ramai yang akan berpusu-pusu menelefon anda bertanya khabar dan mengajak anda untuk keluar minum walhal sebelum ini mereka tidak pernah berbuat demikian. Mereka juga mahu mendampingi anda dengan harapan memperolehi sesuatu kembali.

Advertisement

Bagaimanapun, apabila mereka mendapati bahawa anda sebenarnya bukan seorang yang berpengaruh ataupun jatuh sakit, maka kumpulan sahabat-sahabat yang tadinya datang bertanya khabar, akan mula menjauhkan diri dengan sebab mereka sahaja yang tahu.

Apa yang dijelaskan di atas mengenai erti persahabatan sebenar juga sesuai untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita seharian. Dalam kehidupan seharian, sentiasalah berbuat baik kepada orang dan jangan sesekali mengambil kesempatan daripada kebaikan orang yang pernah membantunya.

Begitu juga keadaannya apabila seseorang itu dilanda kesusahan. Apabila sahabat kita dilanda kesusahan, bantulah mereka mengikut kemampuan dan tidak mengharapkan sesuatu kembali. Nescaya, suatu hari nanti, mungkin sahabat kita yang pernah dibantu, akan membantu kita kembali.

Meskipun mesej dalam artikel kali ini adalah mudah difahami, akan tetapi, masih ada kalangan manusia di luar sana yang mungkin menganggap perkara berkenaan tidaklah penting. Pada mereka, selagi kepentingan peribadi mereka berjaya dipenuhi, tindakan tersebut adalah dihalalkan.

Dan kerana itu jugalah, artikel ini berperanan sebagai pesanan kepada kita semua agar sentiasa menjadi seorang umat manusia yang tahu bersyukur dan sentiasa berbuat kebaikan. Tidak rugi jika kita berbuat lebih banyak kebaikan dan menghindari sikap pentingkan diri sendiri. Mudah-mudahan dengan menghindari keburukan dan sikap yang tidak elok, kehidupan kita akan menjadi lebih baik dan tenteram sekaligus memberi impak positif kepada segenap aspek kehidupan.

Peringatan ini juga merupakan bekalan penting kepada kita semua sebagai persiapan untuk berhadapan dengan Pencipta kita apabila kita dipanggil kembali untuk bertemu denganNya.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.