13 OGOS — Semasa di bangku sekolah dahulu, kita sering diingatkan oleh guru-guru sekolah bahawa adalah penting dan perlu untuk sentiasa menjaga tutur kata dan perlakuan ketika berada di khalayak.

Guru-guru sekolah itu sempat berpesan, ke mana sahaja seseorang pergi, kenalah pandai membawa diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mengaibkan diri sendiri serta keluarga.

Sesungguhnya, perwatakan yang mulia mencerminkan keperibadian dan sikap kita. Lebih tinggi keperibadian, lebih dihormati dan disanjung seseorang itu di mata masyarakat.

Justeru, apabila berbicara mengenai isu ini, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran semua adalah telatah dan gelagat wakil-wakil rakyat yang dipilih. Bagi kebanyakan daripada rakyat, mereka beranggapan bahawa wakil-wakil rakyat yang dipilih ini sudah tentulah mereka yang berpengalaman, bijaksana, berwibawa dan berperwatakan mulia. Malahan, wakil-wakil rakyat ini juga orang yang berkuasa untuk membuat itu dan ini.

Advertisement

Malangnya, persepsi yang digambarkan itu tidak tepat seperti yang digembar-gemburkan jika perangai buruk segelintir wakil-wakil rakyat yang berbahas di Parlimen dijadikan sebagai penanda aras. Beberapa insiden di Dewan Rakyat yang menyaksikan segelintir ahli-ahli Parlimen mengeluarkan kata-kata kesat dan mengemukakan cabaran untuk bergaduh, baru-baru ini amat mendukacitakan dan menjijikkan. Tatkala terdapat usaha murni yang dijalankan untuk menjadikan Parlimen sebagai institusi yang dihormati, perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Hakikatnya, sikap biadap yang dinyatakan itu bukanlah perkara baharu. Sebaliknya, ia turut berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia. Dari Taiwan ke India kepada Turki hinggalah ke Afrika Selatan, tindakan ahli-ahli Parlimen bertikam lidah merupakan pemandangan biasa. Cumanya, di negara-negara lain, keadaan adalah lebih teruk. Disebabkan wujud perbezaan pendapat dan tidak setuju dengan sesuatu dasar, ada yang sanggup bergaduh dengan bertumbuk, menendang malah ada juga yang menarik rambut. Mujurlah standard dan ahli-ahli Parlimen kita tidaklah sampai ke tahap sedemikian.

Dalam membuat perbandingan ahli-ahli Parlimen kita dengan negara-negara lain, ini tidak bermakna sikap ahli-ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata kesat itu boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang pasti, perbuatan berkenaan tidak boleh dikompromi sama sekali kerana ini melibatkan soal integriti dewan dan imej ahli-ahli Parlimen secara keseluruhan. 

Advertisement

Sama ada perkataan pukimak, kepala bapak, f*** you, bocor dan sebagainya, ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk menjaga tutur kata mereka di khalayak. Sebagai seorang figura awam, segala pergerakan dan tutur kata mereka diperhatikan. Salah cakap mungkin boleh menyebabkan pemimpin-pemimpin berkenaan dipersoalkan oleh orang awam. Bak kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Kepada yang mengeluarkan kata-kata tersebut, mereka patut rasa malu. Hanya mereka yang tidak tahu malu sahaja yang akan berasa bangga dengan tindakannya itu. Apa motif sebenar mereka mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan itu? Apakah mereka mahu menjadikan Dewan Rakyat sebagai sarkas? Jika beria-ia untuk bergaduh, bolehlah pergi ke pasar atau kawasan lapang untuk melepaskan geram!

Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, mereka haruslah menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas. Setiap ahli Parlimen perlu juga bersikap terbuka dan mendengar pendapat orang lain, bukannya menolak terus segala cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan diri sendiri. Mereka bukan sahaja harus indah akhlaknya, lunak bahasanya, ikhlas kerjanya bahkan juga adil khidmatnya serta santun budinya. Amalan tatasusila tinggi yang sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia seharusnya menjadi pegangan semua para Yang Berhormat agar menjadi suri teladan kepada rakyat marhaen. Jika mereka sendiri tidak tahu untuk mengawal emosi dan sikap mereka, bagaimanakah anda boleh mengharapkan rakyat marhaen untuk menghormati mereka?

Perlu diingatkan bahawa Dewan Rakyat adalah tempat penting untuk membincangkan kepentingan awam serta tempat perbahasan rang undang-undang demi kesejahteraan negara dan rakyat. Perbahasan Parlimen seharusnya berjalan dengan penuh harmoni, disertai fakta konkrit berkisar soal pembangunan negara, kebajikan rakyat dan bukannya tempat melabel musuh politik dengan cercaan mahupun makian yang keji. Kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, sekiranya perkara sama berulang, ada baiknya jika ahli-ahli Parlimen yang berkenaan dihantar untuk mempelajari kembali nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati dan sopan-santun.

Selepas ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak harus bertolak-ansur dengan perbuatan terbabit dengan sekadar memberikan amaran lisan atau meminta perkataan kurang sopan ditarik balik. Sudah sampai masanya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bersalah. Jadikan hukuman ini sebagai panduan kepada ahli-ahli Parlimen lain supaya menjaga kelakuan mereka di masa-masa akan datang.

Cukuplah dengan gelagat yang tidak parliamentarian itu!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.