25 JUN — Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu, rata-rata rakyat Malaysia berasa gembira atas kemenangan Pakatan Harapan dalam mengakhiri dominasi Barisan Nasional sebagai parti pemerintah sejak 61 tahun yang lalu.

Pelbagai harapan disuarakan dengan harapan negara tercinta ini akan memasuki fasa baharu dan kembali sebagai sebuah negara yang disegani di seantero dunia.

Ada yang melihat kemenangan ini sebagai bermulanya sebuah Malaysia Baharu. Tidak kurang juga, ada yang menyifatkan keputusan PRU bersejarah itu permulaan kepada sistem dua parti di negara ini. Sudah pasti dengan senario baharu dalam politik negara, ramai yang mengharapkan agar mentaliti masyarakat juga turut berubah.

Dengan berubahnya mentaliti dalam kalangan rakyat secara total, barulah negara kita boleh melangkah jauh ke hadapan dan menjadi sebuah negara yang benar-benar maju.

Advertisement

Bercakap mengenai masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama, Jepun sering kali dijadikan sebagai suri-teladan kepada semua. Lihat sahaja kepada gelagat penyokong-penyokong Jepun yang berada di Rusia untuk memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan mereka. Selepas sahaja tamat perlawanan, mereka akan membersihkan tempat duduk di stadium dengan mengutip sampah-sarap tanpa perlu disuruh.

Lihat juga kepada sikap rakyat mereka ketika beratur menunggu ketibaan pengangkutan awam. Begitu juga dengan kelakuan mereka di jalan raya. Dan yang paling membanggakan ialah ketika bencana tsunami yang melanda negara matahari terbit itu beberapa tahun lalu. Mereka dengan penuh disiplin menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak pula cuba menjarah barang-barang dari kedai seperti yang kita lihat di negara-negara lain. 

Inilah rahsia dan kehebatan Jepun. Tatkala negara berkenaan menghadapi kemusnahan yang amat dahsyat kesan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, tidak sampai dua dekad, kedua-dua bandar itu telah kembali pulih.

Advertisement

Apakah negara kita mampu mencapai ke tahap sedemikian? Di manakah tahap mentaliti rakyat kita? Jika diperhatikan, banyak lagi ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan. Misalnya, sikap rakyat di atas jalan raya masih di takuk lama. Ada yang memandu begitu laju di jalan raya sehingga membahayakan keselamatan awam. Ada pula yang enggan memberhentikan kenderaan mereka walaupun lampu isyarat sudah menunjukkan warna merah yakni tanda untuk berhenti.

Begitu juga dengan sikap kita yang gemar meletakkan sisa-sisa makanan di atas meja di restoran selepas makan tanpa segan-silu seolah-olah itu adalah tanggungjawab untuk pekerja restoran untuk membersihkannya. Bercakap soal kebersihan dan etika, ternyata kita masih jauh ketinggalan. Memang ada antara kita yang pernah membuang sampah dari tingkap kereta dan tidak dinafikan juga, sikap segelintir awam dalam menggunakan tandas awam juga mengecewakan.

Selagi kesemua sikap buruk yang dinyatakan tadi masih tidak berubah, maka selagi itulah negara kita tidak boleh dianggap sebagai sebuah negara maju. Tiada gunanya jika infrastruktur-infrastruktur yang dibina adalah bertaraf dunia tetapi sikap rakyat masih terbawa-bawa dengan perangai yang buruk. Untuk Malaysia melangkah ke era baharu yang sebenar-benarnya, kedua-dua aspek tadi haruslah seiring.

Oleh itu, marilah kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.