30 APRIL — Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan oleh Hootsuit dan We Are Social baru-baru ini mendapati, jumlah pengguna Internet di negara ini meningkat kepada 25.08 juta pengguna yakni mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan, 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial. Laporan berkenaan turut mendedahkan jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding tahun lalu, menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial.

Apa yang dinyatakan dalam laporan tersebut tidaklah mengejutkan. Sebaliknya, laporan itu jelas menunjukkan bahawa rakyat kita sememangnya celik dan menjadikan media sosial sebagai sumber untuk mendapat berita dan maklumat.

Namun demikian, di sebalik kecelikan itu, timbul juga sikap kebanyakan pengguna yang gemar memuat naik paparan mereka dalam akaun media sosial mereka seperti Instagram atau Facebook dengan bermacam-macam kisah.

Advertisement

Ada paparan yang menjurus kepada kehidupan peribadi mereka dan tidak kurang juga, paparan yang agak menjolok mata. Tidak pasti mengapakah paparan-paparan sedemikian dimuat naik namun ada kemungkinan ia dibuat untuk menarik perhatian mahupun untuk mendapat hits yang lebih tinggi.

Penulis agak aktif dalam laman sosial Instagram. Boleh dikatakan jika ada sesuatu yang menarik untuk diceritakan, penulis akan berkongsi gambar-gambar yang bersesuaian sahaja untuk tatapan ‘pengikut’ yang mengikuti akaun Instagram penulis.

Baru-baru ini, penulis sempat melayari laman instagram figura-figura awam yang terkenal. Bukan sahaja jumlah pengikut mencecah puluhan ribu bahkan juga paparan juga mencatatkan angka yang serupa. Cuma, apa yang kurang elok adalah tindakan segelintir figura sebegini menceritakan kisah-kisah peribadi di laman sosial hatta sampai masuk hospital dan jenis ubåt yang diambil pun dirakamkannya.

Advertisement

Sudahlah bergelar figura awam, mereka sepatutnya lebih berhati-hati dengan paparan-paparan dalam media sosial. Soalnya, apakah ada keperluan untuk memuat naik paparan-paparan sedemikian? Tidak terfikirkah mereka impak dan kesannya jika paparan-paparan itu disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?

Pada ketika itu, siapakah yang harus dipersalahkan? Diri sendiri atau pihak berkuasa? Soal untuk menyalahkan mana-mana pihak tidak berbangkit dalam konteks ini. Di pihak berkuasa, pelbagai kempen advokasi dan kesedaran telah pun dijalankan untuk mendidik pengguna menggunakan Internet secara berhemah. Inilah masanya untuk masyarakat untuk tampil memainkan peranan dalam menangani isu yang dinyatakan.

Pihak berkuasa boleh melakukan apa sahaja inisiatif dalam hal ini namun sekiranya masyarakat masih degil dan bertegas untuk melawan arus, maka tiada siapa yang harus dipersalahkan melainkan diri mereka sendiri.

Kepada figura-figura awam ini, jagalah keperibadian dan tingkah laku anda di khalayak. Janganlah memuat naik paparan-paparan secara sewenang-wenangnya di media sosial. Fikir dan pertimbangkan terlebih dahulu keperluan dan keutamaan untuk memuat naik paparan-paparan terbabit.

Fikir dulu sebelum sebar!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.