24 NOV — Awal 2013 yang lalu di dalam jurnal La Nouvelle Revue d’Histoire, sejarawan ultra-kanan Perancis, Dominique Venner pernah menulis; “To die is sometimes another way of existing.”

Shakespeare and Company

Untuk mereka yang pernah sampai ke kedai ini di ‘kilometer zero, Paris’, mereka akan tahu betapa kecil dan sempitnya kedai ini, walau terdiri daripada dua buah kedai (bahagian kiri adalah kedai buku antik — antiquarian bookshop) serta bahagian kanan adalah kedai buku utama yang mempunyai dua tingkat.

Walaupun kecil dan sempit, kedai buku ini mampu menarik sehingga jutaan pengunjung setiap tahun. Terkenal kerana masih menghidupkan sastera moden kota Paris dengan pelbagai aktiviti setiap bulan, kedai buku ini juga menyediakan penginapan percuma kepada ‘backpackers’ yang sanggup bekerja selama mana mereka tinggal di sana.

Advertisement

Terletak bersebelahan dengan gereja paling terkenal di kota Paris, Notre Dame di seberang sungai Seine, saya sampai dengan beban 26.3kg ‘rucksack’ yang digalas, beg troli dengan beban 25kg dan sebuah beg laptop. Jadi untuk memilih buku dengan kesemua beban tersebut adalah mustahil. Saya terpaksa meninggalkan beg laptop dan beg troli di kaunter hadapan, dan terpaksa bersesak dengan pengunjung yang lain dengan ‘rucksack’ yang saya galas.

Mempunyai masa lebih kurang sejam sebelum saya perlu bergegas mencari stesen Metro Line 4 di Hotel de Ville, saya sempat menyambar buku Viktor E. Frankl bertajuk “Man’s Search For Meaning” dan “An Answer To The Question: What is Enlightenment” karangan Immanuel Kant. Terpaksa diakui buku-buku di kedai ini agak mahal jika dibandingkan dengan kedai lain secara relatif, bahkan judul yang ada juga tidak sukar untuk dicari di kedai lain.

Nota kecil jam 4

Advertisement

Jam 1 petang saya bergegas ke Notre Dame, duduk merenung gereja gergasi itu dari pintu hadapan sambil meneliti gelagat pelancong yang lain.

Tepat jam 4 petang 21 Mei 2013 yang lalu, Dominique Venner, seorang filsuf dan sejarawan berhaluan kanan Perancis berumur 78 tahun berjalan masuk menuju ke altar gereja ini. Beliau kemudiannya meletakkan sebuah sampul surat dengan tajuk “Declaration of Dominique Venner: reasons for a voluntary death” — sejurus sebelum beliau mengeluarkan pistol kecil buatan Belgian, mengacu ke dalam mulutnya sendiri dan menarik picu.

David Sessions di dalam The Daily Beast menyifatkan beliau sebagai veteran kepada kumpulan neo-fasis dan militan kepada kumpulan ultra-kanan di Perancis. Reaksi radikal beliau ini adalah berkaitan dengan dengan kebebasan untuk berkahwin di kalangan gay yang telah diluluskan oleh kerajaan Perancis baru-baru ini. Nota kecil (berjumlah 400 patah perkataan) itu berbunyi;

“I am healthy in body and mind, and I am filled with love for my wife and children. I love life and expect nothing beyond, if not the perpetuation of my race and my mind. However, in the evening of my life, facing immense dangers to my French and European homeland, I feel the duty to act as long as I still have strength. I believe it necessary to sacrifice myself to break the lethargy that plagues us. I give up what life remains to me in order to protest and to found. I chose a highly symbolic place, the Cathedral of Notre Dame de Paris, which I respect and admire: she was built by the genius of my ancestors on the site of cults still more ancient, recalling our immemorial origins.”

Kelihatannya seperti saya seorang sahaja yang ke hulu dan ke hilir menggalas bagasi dalam suhu sekitar 3 darjah Celcius. Ini menjadikan saya tidak ubah seperti gelandangan kota Paris yang lain. Bezanya, saya tidak mempunyai cawan kosong untuk meminta sedekah.

Pada jam 2 petang saya mula menggalas semula ‘rucksack’, dan mula menarik beg troli dan beg laptop yang diletakkan di atas beg troli untuk ditarik bersama. Suasana di hadapan Notre Dame cukup meriah dengan gelagat pelbagai pelancong luar. Sebenarnya ini bukan kali pertama saya duduk merenung Notre Dame ini.

Saya pernah ke sini pada musim dingin 2011 yang lalu. Bahkan kedatangan saya ke sini lagi pada kali ini didorong kuat oleh tambang murah yang ditawarkan oleh Saudi Airlines.

Saya membeli tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Paris sebulan sebelum bertolak dan hanya membayar US$480. Penerbangan SV 831 dari Kuala Lumpur bertolak pada jam 3 petang 17 November 2013 dan sampai di Jeddah 8 jam kemudian. Saya kemudiannya transit selama 6 jam sementara menunggu ‘connecting flights’ yang dijadualkan pada jam 1.35 pagi 18 November 2013. Bayangkan transit selama 6 jam dan saya lansung tidak mempunyai satu sen wang Riyal-pun untuk membeli kopi! Penerbangan SV 127 dari Jeddah ke Paris pula mengambil masa selama lima jam.

Saya sampai di lapangan terbang Charles de Gaulle pada jam 6.05 pagi, 18 November 2013. Tren TGV dari stesen Gare du Lyon ke Besancon, destinasi akhir saya ialah pada jam 4.53 petang, membuatkan saya mempunyai sekitar 10 jam waktu terluang. Oleh yang demikian, saya membuat keputusan untuk menaiki tren RER B dari stesen Aeroport Charles de Gaulle ke stesen Cite di tengah kota lama Paris, berdekatan Notre Dame dengan harga tiket €9.50 untuk melawat Notre Dame dan membaca semula nota kecil Dominique Venner.

Setelah bersesak dan berebut tempat duduk bersama-sama dengan warga kota Paris yang mahu ke tempat kerja di awal pagi, saya turun di stesen Chatelet sebelum menukar metro Line 4 untuk ke stesen Cite. Dari sana saya berjalan kaki menelusuri sungai Seine, meneliti sehingga 4 ke 5 kedai kopi sebelum memilih untuk duduk dan minum di kedai kopi Le Gentilhommiere, 15, place St-Andre, des Arts. Oleh kerana kedai kopi ini menyediakan perkhidmatan wi-fi secara percuma, saya duduk di sana dari jam 10 pagi sehingga jam 12 tengah hari, mengemaskini apa yang patut sambil menikmati Cappucino Chantilly yang sungguh borjuis rasanya.

*Catatan ini ditulis di dalam perpustakaan Centre de linguistique appliquee (CLA), Universite de Franche Comte ketika suhu di luar mencecah 0 darjah Celcius dan salji turun buat pertama kalinya untuk musim ini di Besancon, Perancis.

**Bersambung di Bahagian Kedua.

*** This is the personal opinion of the columnist.