6 OGOS — Sejak 11 Jun 2013, Pegawai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah beberapa kali datang melihat kawasan Pangsapuri Taman Permata, Dengkil yang disahkan tidak selamat dihuni.

Permintaan yang dikemukakan oleh penduduk kepada semua wakil kerajaan pusat yang datang adalah bahawa mereka (penduduk) mahukan rumah teres satu tingkat seperti dijanjikan sebelum mereka dipindahkan dari ladang dahulu.

“Itulah janji wakil MIC kepada kami pada tahun 1994. Kami hanya menyedari bahawa kami sebenarnya telah ditipu bulat-bulat oleh mereka apabila kami berpindah ke Taman Permata pada 1999,” Bendahari Persatuan Bertindak Penduduk Taman Permata, Manoharan meluahkan kekecewaan mewakili para penduduk terbabit semasa saya dan Perzeus James mengunjungi mereka di khemah sementara pada 3 Ogos 2013.

Mereka menuntut rumah teres satu tingkat yang dijanjikan pada 1994. — Gambar-gambar oleh Uthaya Sankar
Mereka menuntut rumah teres satu tingkat yang dijanjikan pada 1994. — Gambar-gambar oleh Uthaya Sankar

“Saya sudah berumur 80 tahun. Sewaktu keluarga saya dipindahkan dari Ladang Prang Besar ke Taman Permata, apa yang dijanjikan adalah rumah teres satu tingkat. Rupa-rupanya kami dicampak ke pangsapuri yang tidak selamat didiami. Rumah saya pula di tingkat empat. Bayangkan betapa susah bagi warga emas seperti saya,” kata K. Suppiah pula.

Advertisement

Menurut warga emas itu, apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila beliau mendapat tahu bahawa pihak yang menipu mereka semua sejak dahulu hingga kini adalah orang MIC sendiri.

“Kami bukannya meminta rumah mewah. Kami hanya menuntut hak memiliki rumah teres yang selamat dan selesa seperti dijanjikan dahulu,” katanya sambil mengawal air mata.

Menghuraikan lebih lanjut, Saminathan menceritakan bahawa perjuangan mereka menuntut rumah teres satu tingkat sebenarnya sudah bermula sejak mula-mula dipindahkan ke situ.

Advertisement

“Dahulu, suara kami kurang didengari. Tambahan pula, pihak yang menipu dan memanipulasi kami ternyata adalah MIC sendiri yang mempunyai suara penting dalam kerajaan. Bagaimanapun kini, suara rakyat semakin lantang dan orang ramai juga mula mengambil tahu tentang penderitaan kami sejak hampir 15 tahun lalu akibat ditipu pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada tahun 2001, berlaku banjir besar di kawasan tersebut dan sejak itulah hakisan serta mendapan tanah semakin menjadi-jadi. Bangunan menjadi kurang stabil. Keretakan berlaku sedikit demi sedikit sahaja pada mulanya tetapi semakin menjadi-jadi. Paip-paip air dan saluran najis mula bocor. Saya dan Perzeus berpeluang menyaksikan sendiri keadaan yang menjijikkan itu.

Rupa-rupanya tanah ini memang tidak sesuai dijadikan kawasan perumahan. Lebih membimbangkan kerana laluan talian paip gas bawah tanah juga berada di sebelah bangunan Blok 5. Malah, Pusat Anak Permata Negara cawangan Dengkil juga terletak di zon bahaya ini! Pasti Datin Seri Rosmah Mansor yang prihatin akan bertindak tangkas sekiranya beliau mendapat tahu perkara ini.

Mereka tidak tahu berapa lama lagi mereka perlu tinggal di dalam khemah.
Mereka tidak tahu berapa lama lagi mereka perlu tinggal di dalam khemah.

Bagi para penduduk pula, berdasarkan situasi bahaya yang wujud, mereka memutuskan bahawa mereka tidak boleh lagi tinggal di kawasan berkenaan yang ternyata tidak selamat. Mereka menuntut rumah teres seperti yang dijanjikan dahulu.

“Pada 9 September 2012, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel memaklumkan bahawa beliau telah mendapatkan peruntukan RM25 juta daripada Kerajaan Barisan Nasional bagi kerja-kerja membaiki segala kerosakan pada bangunan-bangunan perumahan di Taman Permata.

“Kami menjelaskan bahawa kerja-kerja baik pulih tidak akan menyelesaikan masalah. Kami bertegas mahukan rumah teres satu tingkat seperti dijanjikan. Palanivel berjanji di depan para penduduk bahawa beliau akan berusaha memastikan permintaan kami dipenuhi. Sehingga kini, janji tinggal janji. Kami sudah mengirim tiga surat kepadanya tetapi tiada sebarang balasan,” Manoharan menceritakan.

Pada 19 Jun lalu, sebahagian penduduk yang terlalu kecewa dengan segala apa yang berlaku telah mengadakan perhimpunan aman di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Selepas itu, wakil mereka dipanggil untuk menghadiri perbincangan bersama dua pihak iaitu bersama Timbalan Menteri di JPM, P. Waythamoorthy dan seorang lagi pegawai khas yang menguruskan hal ehwal kaum India di JPM.

Khabarnya atas arahan Perdana Menteri sendiri, mereka pula memanjangkan tuntutan penduduk Taman Permata kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; meminta supaya kes itu dikaji segera dan diambil tindakan yang sewajarnya.

Paip air dan saluran najis turut pecah akibat keretakan bangunan.
Paip air dan saluran najis turut pecah akibat keretakan bangunan.

“Waythamoorthy datang melihat sendiri keadaan di sini pada 28 Jun lalu. Katanya, salah satu tuntutan Hindraf adalah supaya pekerja ladang mendapat tempat tinggal yang selesa. Katanya, Datuk Seri Najib Razak sudah meluluskan tuntutan dalam memorandum yang dikemukakan. Maka, beliau meminta tempoh tiga bulan untuk cuba melakukan sesuatu bagi membantu kami,” seorang penduduk menceritakan sambil kami melawat sekitar sepuluh rumah yang terjejas di Blok 5.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau juga melawat bagi kali kedua dan memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan tanah seluas 30 ekar untuk membina rumah teres satu tingkat bagi kesemua 400 keluarga di situ. Berita ini ada juga disiarkan di akhbar Selangor Kini (19 Julai 2013) dan beberapa portal berita dalam talian.

Sebelum ini, semasa Dr Xavier Jayakumar menjadi Exco, sejumlah 18 ekar tanah diperuntukkan bagi tujuan sama. Malangnya, menurut Manoharan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula memberitahu bahawa tanah yang diperuntukkan itu tidak boleh dijadikan tempat pembinaan rumah.

Akibat tinggal di dalam khemah sejak lebih 55 hari yang lalu, para penduduk terbabit terpaksa berdepan dengan masalah hujan dan angin kencang kerana khemah yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak sesuai dijadikan tempat tinggal kekal.

Pendedahan media membantu penduduk ini meneruskan perjuangan menuntut hak.
Pendedahan media membantu penduduk ini meneruskan perjuangan menuntut hak.

“Kami juga bimbang memikirkan keselamatan anak-anak dan bayi. Bau busuk dari longkang dan paip najis yang bocor terpaksa ditanggung. Kami tiada pilihan kerana pangsapuri dan rumah kami tidak selamat didiami, manakala kami tidak ada rumah lain untuk pergi tinggal sementara,” seorang wanita menceritakan.

Kaum wanita yang tidak bekerja kelihatan memasak secara berkelompok di khemah itu. Bagi murid-murid dan pelajar, di situlah tempat mereka membuat kerja rumah dan bermain. Bagi mereka yang balik dari kerja, di situlah juga tempat untuk melepaskan lelah.

Setiap malam, sekitar 70 hingga 80 orang tidur di khemah ini. Mungkin juga kemudahan yang dimiliki pendatang asing tanpa izin lebih mewah berbanding apa yang ada di sini!

“Kami benar-benar berharap masalah perumahan yang dihadapi akan dapat diatasi segera. Sehingga hari itu, kami akan terus berjuang dan kami bertekad untuk tinggal di dalam khemah ini sebagai bukti bahawa kami tidak mungkin berundur daripada perjuangan menuntut hak,” kata Manoharan mewakili para penduduk sebelum saya dan Perzeus berangkat pulang.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]

* This is the personal opinion of the columnist.