JOHOR BARU, 15 Mac -- Menteri Pelancongan dan Kebudayaan hari ini menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan meminta ampun kerana ‘bertelagah’ tentang isu politik tiga tahun lalu.
Pertemuan berlaku hampir sejam di Istana Pasir Pelangi, di sini, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Sebagai manusia biasa kita pasti ada buat silap. Jadi bila sedar sudah silap, cepat-cepatlah minta maaf. Jangan sampai berpecah-belah.
“Tambahan pula kita orang Melayu sangat beradab. Jika buat salah, datang mengadap dan mohon ampun,” titah banginda dalam kenyataan di Facebook.
“Apa jua kemelut yang berlaku sebelum ini saya sudah ampunkan dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) juga sudah ampunkan.”
Nazri dan Tunku Ismail pada 2015 dilaporkan sering berbalas kenyataan berhubung isu politik negara.
Keadaan itu menyebabkan Sultan Ibrahim tidak duduk diam dan mengingatkan Nazri supaya tidak mencampuri urusan istana Johor.
Menganggap isu itu selesai, baginda memberi amaran kepada “segelintir pihak” supaya perkara sama tidak dipanjangkan.
“Apa yang penting, kita perlu bergerak ke hadapan dan sentiasa mengutamakan perpaduan. Jangan cuba memecah-belahkan perpaduan yang sudah terbina selama ini,” titah baginda.