21 OGOS — Akta Hasutan telah diperkenalkan pada tahun 1948 oleh penjajah British dan masih berkuatkuasa hingga hari ini. Undang-Undang yang diperkenalkan oleh penjajah kita ini, telah mendapat sokongan golongan-golongan yang mendakwa dirinya sebagai nasionalis atau cintakan agama, bangsa, negara.

Sebuah undang-undang yang diperkenalkan oleh penjajah disokong oleh mereka yang cintakan agama bangsa dan negara? Itu satu persoalan yang hingga kini saya belum temukan jawapannya.

Masih relevan?

Bagi mereka yang menyokong akta kolonial ini, pendirian mereka berasaskan alasan bahawa ia sangat penting untuk mencegah huru-hara, menjaga kestabilan dan keamanan negara dan sebagainya.

Benarkah begitu?

Dalam kes Oh Keng Seng pada tahun 1979, mahkamah memutuskan bahawa dalam kes akta hasutan, pendakwa tidak perlu membuktikan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh tertuduh itu benar atau salah atau menyebabkan huru-hara dan ketidakstabilan negara.

Ini bererti jika kenyataan tersebut tidak mempunyai unsur-unsur mengancam keamanan negara, ia masih boleh dikira sebagai hasutan. Nah, apakah itu relevan untuk menyatakan bahawa akta kolonial ini penting untuk menjaga kestabilan negara?

Kes Surendran

Saudara N.Surendran dihadapkan ke Mahkamah atas tuduhan menghasut melalui kenyataan media yang bertajuk ‘’ Court of Appeal’s Fitnah 2 written judgment is flawed, defensive and insupportable’’.

Apabila seseorang dihadapkan ke Mahkamah atas tuduhan di bawah akta hasutan maka prinsip-prinsip ini akan digunapakai berdasarkan kes-kes akta hasutan sebelum ini:

i.    Niat tertuduh tidak perlu dibuktikan

ii.   Tidak perlu dibuktikan bahawa kenyataan yang dikeluarkan bersifat menghasut atau boleh mengancam keamanan negara

iii.  Pendakwa tidak perlu menyatakan secara spesifik kecenderungan menghasut yang manakah relevan untuk digunakan terhadap tertuduh

iv.  Apa yang perlu dibuktikan oleh pendakwa ialah kenyataan tersebut dibuat oleh tertuduh. Itu sahaja.

Berdasarkan bacaan saya di media, terdapat dua respons yang diberikan oleh saudara N.Surendran:

i.    Kenyataan media tersebut adalah berdasarkan hujah-hujah yang menjadi sebahagian daripada hujah rayuan yang akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

ii.   Hanya mengkritik fakta penghakiman tersebut.

Mengkritik keputusan mahkamah adalah sesuatu yang normal dalam dunia undang-undang bahkan itu adalah sebahagian daripada silibus pelajar undang-undang dan dijadikan salah satu bentuk soalan dalam kertas peperiksaan. Justeru adakah ia wajar diklasifikasikan sebagai berkecenderungan untuk menghasut?

Lebih buruk lagi, kenyataan media tersebut adalah berdasarkan hujah-hujah yang menjadi sebahagian daripada hujah rayuan yang akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Apakah hujah-hujah tersebut dikira menghasut atau punya kecenderungan untuk menghasut?

Akta Hasutan yang sudah begitu ‘ajaib’ isi kandungan dan modus operandi, kini digunapakai dengan ‘logik’ yang sangat ‘ajaib’ juga. Maka di sini, inginlah saya bertanya kepada pembaca sekalian,

Apakah Malaysia masih memerlukan Akta Hasutan?

* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.