23 JUN — Kami merujuk kepada pendedahan yang dilakukan oleh Saudara Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan. Menjadi tanggunjawab kami sebagai seorang alumni UiTM untuk menggesa Perdana Menteri; Dato’ Sri Najib Razak dan kerajaan UMNO/Barisan Nasional untuk berlaku telus di dalam isu pembinaan sebanyak 10 kampus baru Universiti Teknologi MARA dengan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Melalui jawapan Perdana Menteri di Parlimen kos sebenar pembinaan UiTM Pasir Gudang adalah antara RM280 juta sehingga RM315 juta. Namun; keputusan UMNO dan Barisan Nasional; satu projek yang jika ditanggung kerajaan UiTM terikat dengan sewa sekitar RM56 sehingga RM69 juta selama 23 tahun. Secara tidak langsung kosnya adalah sekitar 4 kali ganda lebih besar dan dikhuatiri membebankan UiTM.

UMNO sering kali melaungkan diri mereka sebagai pejuang kepentingan Melayu; hakikatnya ini adalah satu sandiwara untuk mengabsahkan amalan korup, kronisme dan nepotisme yang membarah dan menghantui sistem negara. Sudah banyak konsesi perjanjian yang dianjurkan UMNO dan Barisan Nasional akhirnya dipergunakan sebagai satu sumber untuk syarikat UMNO atau berkaitan dengan individu UMNO mengaut keuntungan dan kekayaan. Kali ini lebih memalukan apabila kerajaan UMNO sanggup menggunakan UiTM; salah satu institusi terulung Bumiputera untuk tujuan ini.

Kami selaku alumni UiTM merasa sedih dan kecewa; kerana hakikatnya UiTM telah dipergunakan UMNO dan Barisan Nasional. Kami merasa gusar dengan masa depan UiTM kerana dengan bentuk ‘penswastaan’ ini; akhirnya ia bakal merugikan kerajaan dalam jangka masa panjang dan dikhuatiri bakal menyebabkan kos penyelenggaraan terpaksa ditanggung UiTM dan akhirnya kos lebihan ini terpaksa ditanggung pelajar UiTM.

Dengan perbelanjaan sebegini besar menggunakan dana awam; kami menyeru kepada warga UiTM; agar menuntut daripada Perdana Menteri dan Kerajaan satu reformasi akademik dan pentadbiran dilakukan. Amalan korup di dalam pentadbiran wajib dihapuskan, dan yang lebih penting, autonomi universiti dan kebebasan akademik ditegakkan di dalam UiTM. Rasuah, kronisme dan sekatan ke atas kebebasan akademik tidak akan membantu warga UiTM untuk maju bahkan bakal menghancurkan masa depan universiti ini dan kepentingan Bumiputera di negara ini.

Kami alumni UiTM menggesa Perdana Menteri agar mengkaji semula konsesi berat sebelah ini dan memperbetulkannya semula demi kepentingan dan kelangsungan UiTM sebagai sebuah universiti. Jika beliau gagal, maka ini adalah satu bukti bahawa UMNO tidak lagi mewakili kepentingan Bumiputera tetapi mengutamakan kroni dan keluarga semata-mata.

Kami, pimpinan muda dalam Pakatan Rakyat percaya; bagi mengubah sistem dan amalan korup ini - satu reformasi menyeluruh wajib berlaku di dalam kerajaan. Sistem tender terbuka yang telus wajib diperkenalkan terutamanya yang melibatkan projek kerajaan dan perbelanjaan dana awam. Penghapusan rasuah di setiap peringkat juga adalah langkah untuk mengembalikan negara ini di landasan yang betul. Selaku alumni UiTM; kami tidak sanggup melihat UiTM tergadai kepada syarikat-syarikat konsesi ini hanya kerana kerakusan pimpinan UMNO yang ingin menjadi cepat kaya dan mengaut keuntungan di atas keringat rakyat.

*Kenyataan media ini dihantar dari Biro Komunikasi Parti Keadilan Rakyat yang diwakili oleh:

Dr Afif Bahardin

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

ADUN Seberang Jaya

Eekmal Ahmad

Ahli Majlis Pimpinan

Angkatan Muda KEADILAN Negeri Kedah

Mazir Ibrahim

Ahli Jawatankuasa

Pemuda DAP

Dyana Sofya Mohd Daud, LLB Hons (UiTM)

Setiausaha Politik kepada Ketua Ahli Parlimen DAP

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.