JOHOR BARU, 5 Dis — Polis menahan pasangan suami isteri di Kota Tinggi, dua hari lepas, dan seorang lelaki penjawat awam, di daerah sama, semalam, bagi membantu siasatan memiliki senjata api dan peluru.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata pasangan suami isteri berumur 47 dan 55 tahun itu ditahan pada 3.30 petang di sebuah pondok dalam kawasan Ladang Kelapa Sawit Poh Cong, di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru.

Penjawat awam berumur 41 tahun, yang merupakan rakan mereka pula ditahan pada 2.38 pagi semalam, di Taman Saujana.

“Menerusi penahanan terhadap suami isteri terbabit, polis merampas empat senapang patah, satu senapang angin buatan sendiri, 23 butir peluru penabur serta dua bungkusan guli.

Advertisement

“Hasil siasatan kemudian mendapati, dua senapang daripadanya adalah milik suami isteri manakala tiga senapang lain serta 23 butir peluru adalah milik rakan mereka (penjawat awam),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata bertindak atas maklumat suami isteri berkenaan, polis kemudian pergi ke Taman Saujana lalu menahan penjawat awam berkenaan.

Beliau berkata soal siasat terhadap ketiga-tiga mereka mendapati kesemua senjata api terbabit dibeli pada harga RM700 dan digunakan untuk tujuan berburu.

Advertisement

Katanya kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 7(2) dan Seksyen 9 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 36 (1) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Dalam perkembangan lain, Ahsmon berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menerima 25 laporan terhadap satu syarikat yang didakwa gagal menguruskan pakej umrah dan haji setelah menerima wang daripada bakal jemaah.

Beliau berkata dalam laporan berkenaan, pemilik syarikat tersebut, seorang lelaki berumur 40-an turut didakwa menerima pembayaran sejumlah RM322,493 daripada 48 orang mangsa di sekitar daerah Kota Tinggi dan gagal menguruskan visa bagi pakej umrah serta haji seperti dijanjikan.

“Mangsa juga sudah membuat laporan polis di beberapa kontinjen lain seperti Pahang, Perak dan Kedah. Oleh itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, Ashmon turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam memilih pakej umrah dan agensi yang menguruskannya. — Bernama