25 JULAI — “THEATRE is a form of knowledge; it should and can also be a means of transforming society. Theatre can help us build our future, rather than just waiting for it,”

Dua tahun yang lalu, ketika Teach For The Needs (TFTN) memulakan kelas tusyen percuma di rumah anak yatim, ramai yang bertanya kepada kami; apa akan jadi kepada TFTN lima tahun akan datang.

Tak tahu. Selalunya itulah jawapan kami, kerana memang kami sendiri tak pasti ke mana hujungnya kelas-kelas tusyen percuma yang kami gerakkan ini. Tetapi di dalam perbincangan komiti kecil sentiasa kami ingatkan, akademik itu nombor dua.

Nombor satu ialah pendidikan. Makanya kami ambil keputusan untuk cipta definisi sendiri tentang pendidikan. Dari kelas tusyen percuma, kelas-kelas kami bergerak menjadi kelas tentang kehidupan. Tentang bagaimana manisnya hubungan abang-kakak atau adik beradik. Tentang berbuat baik sesama. Tentang perlunya menyiapkan kerja rumah. Tentang sikap, tentang mesti tahu membaca.

Advertisement

Tentang bagaimana membaca kehidupan pada masa depan.

“We must all do theatre — to find out who we are, and to discover who we could become,”

Dan syukur, terdapat peningkatan akademik di kalangan anak-anak, walau ianya belum signifikan. Yang tidak boleh membaca sudah boleh mendapat nombor di dalam kelas, yang dahulu senyap kini sudah rajin bertanya soalan kerja rumah.

Advertisement

Lalu kami fikir, anak-anak yatim, anak miskin dan marginal ini tidak boleh selamanya bergantung kepada markah ujian akademik. Dalam putaran dunia yang ganas diketuai rahib kapitalisme ini, beratur mengikut “trend” mengejar “A” adalah perangkap yang maha dahsyat.

Mana mungkin anak-anak ini bersaing dengan murid kelas hadapan? Ketika anak kelas hadapan mengunjungi pusat tusyen 49 jam setiap hujung minggu, anak yatim dan miskin ini perlu memenuhi undangan tujuh kenduri tahlil kariah sekitar.

Ketika anak kelas hadapan menyiapkan 78 muka surat latihan Matematik saban malam, anak ini hanya punya buku latihan SRP, hasil wakaf buku dan derma dari datuk — datin yang mahu mengubahsuai rumah dan perlu mengosongkan rak. Dengan adanya kami pun saban minggu, benar-benar kami fikir kerja bersaing ala pasaran-bebas ini mustahil dan kerja gila.

“We are all actors: Being a citizen is not living in society, it is changing it.”

Tetapi, hidup ini bukan tentang A sahaja bukan? Lalu kami fikir, mesti ada alternatif. Mesti ada kerja gila yang boleh dilakukan. Mesti ada inisiatif luar kotak yang boleh diusahakan. Hidup kalau asyik mahu jadi doktor, jurutera, juruterbang atau pensyarah memanglah membosankan.

Di luar sana, ruang terbentang luas untuk anak-anak ini pilih apa yang mereka mahukan. Sudah pasti menjadi manusia itu tidak terhad kepada pekerja pejabat atau makan gaji kerajaan. Potensi diri seperti upaya sastera, bakat di dalam seni persembahan, mengembangkan seni tampak dan peluang untuk mencipta revolusi di dalam industri muzik hanyalah mozek-mozek kecil yang sempat kami fikirkan.

Maka tahun ini kami pilih seni persembahan teater untuk diperkenalkan kepada anak-anak.

Kami mahu anak yatim dan miskin ini belajar menangani malu. Kami mahu teater memulihkan semula semangat mereka. Kami mahu anak ini belajar keupayaan diri dan potensi dalaman. Melalui teater, anak-anak akan diajarkan untuk menghadapi dan menentang masyarakat sebagai anak merdeka. Lebih dari itu, teater memberi peluang kepada anak-anak ini kepuasan untuk menjadi orang lain.

Seni persembahan teater akan membantu anak-anak ini kenal semula diri mereka, dan bagaimana menggunakannya untuk berdepan realiti masa depan. Bak kata Augusto Boal: “Theatre has nothing to do with buildings or other physical constructions. Theatre is the capacity, this human property which allows man to observe himself in action, in activity. The self-knowledge thus acquired allows him to be the subject of another subject. It allows him to imagine variations of his action, to study alternatives. Man can see himself in the act of seeing, in the act of acting, in the act of feeling, the act of thinking. Feel himself feeling, think himself thinking,”

Inilah asal-usul kepada Festival Teater Anak TFTN yang akan diadakan pada 23 Ogos 2014 ini di Petaling Jaya Live Arts Centre (PJLA) pada jam 8.00 malam. Projek rintis ini akan disertai oleh tiga buah rumah anak yatim di bawah seliaan TFTN iaitu Rumah Anak Yatim Al Khairiah, Klang, Rumah Kasih Harmoni, Keramat serta Rumah Anak Yatim Baitul Mahabbah, Tanjung Malim. Festival ini akan dirasmikan oleh Dato' Saifuddin Abdullah serta diadili oleh dua orang juri berpengalaman iaitu saudara Redza Minhat dan saudari Fazleena Hishamuddin.

Rumah Anak Yatim Al-Khairiah akan mempersembahkan Peristiwa 45, sebuah adaptasi kisah orang Melayu di zaman penjajahan Jepun. Diarahkan oleh saudara Ahmad Fidza serta dibantu oleh Project Manager TFTN di sana, sdr Ahmad Zahiruddin. Rumah Kasih Harmoni Keramat akan mempersembahkan Trata, sebuah kisah Cinta dan kisah perjalanan mencari manisnya hidup. Diarahkan oleh saudara Asyraf Syahir dari Creept Production. Manakala Rumah Anak Yatim Baitul Mahabbah, Tanjung Malim pula akan mempersembahkan Rendang Nenek, kisah mengenai Sudin yang kerinduan.

Pementasan ini diarahkan oleh Muhammad Ilya Fikri dari Fakulti Seni Persembahan, UPSI.

Kesemua pementasan ini dilakonkan sepenuhnya oleh anak-anak dari tiga buah rumah tersebut.

Mengikut penulis ini, nombor satu ialah pendidikan. Makanya kami ambil keputusan untuk cipta definisi sendiri tentang pendidikan. – AFP pic
Mengikut penulis ini, nombor satu ialah pendidikan. Makanya kami ambil keputusan untuk cipta definisi sendiri tentang pendidikan. – AFP pic

Sebagai anak yang hidup dengan belas ehsan masyarakat, peluang seperti ini jarang sekali hadir di dalam hidup mereka. Inilah peluang kita, saya, anda dan semua lapis masyarakat untuk meraikan mereka, agar menjadi kuat semula untuk mengenali dan meneroka kemampuan sebenar yang selama disimpan dan terpendam. Tetapi projek ini tidak akan berhenti setakat festival ini sahaja. Pasca-festival, bengkel-bengkel pementasan akan dilebarkan kepada 15 rumah anak yatim yang lain di bawah TFTN. Akademi Teater TFTN akan ditubuhkan untuk memberi fokus kepada pemilihan bakat serta latihan, untuk pementasan yang lebih khusus di masa hadapan.

Tetapi seni pementasan teater hanyalah satu dari pelbagai cabang seni yang boleh diteroka anak-anak TFTN. Siapa tahu pada tahun hadapan, anak-anak ini akan mengadakan Pameran Seni Anak TFTN di Galeri Petronas, KLCC?

“When we look beyond appearances, we see oppressors and oppressed people, in all societies, ethnic groups, genders, social classes and casts; we see an unfair and cruel world. We have to create another world because we know it is possible. But it is up to us to build this other world with our hands and by acting on the stage and in our own life.”

* Semua petikan kata-kata di atas ialah dari Augusto Boal, pengasas Theatre of the Oppressed.

** Tiket Earlybird bermula dari RM 80, boleh dibeli di www.tix.my. Hasil jualan tiket akan dimasukkan ke dalam Tabung Pendidikan TFTN untuk menampung perbelanjaan projek pendidikan di 18 rumah anak yatim di bawah seliaan TFTN seluruh negara untuk sesi 2015-2016. Untuk maklumat lanjut layari, www.teachfortheneeds.org.

*** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.